Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar…
Firman Allah Ta'ala yang bermaksud; "Dan kamu hendaklah menyempurnakan ibadat puasa bulan Ramadan dengan sempurnanya dan cukup mengikut masa dan harinya, dan kamu juga hendaklah membesarkan dan memuliakan Allah dengan takbir, tasbih dan tahmid, kerana mengenangkan kurnia Allah yang tidak terhingga dengan nikmat menjadi orang-orang Islam. Dan mengerjakan ibadat secara Islam supaya kamu termasuk di kalangan orang-orang yang bersyukur". Kepada seluruh muslimin dan muslimat, saudara-saudari yang dikasihi sekalian. Saya bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri setelah kita selesai menunaikan ibadat puasa yang diwajibkan oleh Allah di bulan Ramadan.
Bulan kita semua dijemput menjadi tetamu Allah SWT dengan hidangan rohani dan jasmani bagi menguatkan diri kita, jasad dan roh serta menjadi orang Islam yang bertaqwa kepada Allah SWT. Dengan mengikut segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Bersedia untuk mengikut segala petunjuk yang terkandung di dalam al-Quran Karim dengan beriman dan yakin kepada ketuhanan kebesaran dan kemuliaan Allah SWT, yang tiada tandingan dan tiada bandingan bagi meneruskan perjuangan menegakkan agama Islam ini, supaya menjadi agama yang berdaulat, agama yang memerintah, agama yang sebenarnya membawa rahmat kerana Islam adalah rahmat dari Allah SWT kepada seluruh manusia. Hukumnya yang adil, hukumnya yang bijaksana dari Tuhan Yang Maha Adil Lagi Maha Bijaksana. Islam menjadi penyelamat kepada seluruh manusia sama ada Islam atau bukan Islam. Pelbagai bangsa dan puak sepanjang zaman, tempat kerana Islam adalah ciptaan Tuhan seluruh alam ini. Bukan sahaja manusia, tempat termasuklah masa dan zaman. Maka, yakinlah kita dengan petunjuk Allah ini setelah kita meninggalkan Ramadan dengan rasa gerun kepada kebesaran Allah SWT. Maka, kita menganggap kuasa-kuasa besar dunia dan pengikut-pengikut mereka yang menghalang cita-cita Islam ini adalah terlalu kecil di hadapan kebesaran Allah SWT.
Marilah, kita merasa Izzah, merasa kemuliaan dan kehebatan bersama dengan Islam. Khususnya ketika umat Islam menghadapi cabaran yang menguji mereka apabila saudara-saudara kita seIslam diserang bertubi-tubi di Gaza (Palestin). Dihujani dengan serangan di udara, darat dan laut dalam satu kawasan yang kecil. Mereka tegak bersama dengan Iman dan keyakinan kepada Islam, dan kepada Allah SWT. Mereka adalah kumpulan yang disifatkan oleh Rasulullah SAW, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud "Akan tetap ada di kalangan umat aku satu kumpulan yang berdiri berjuang menegakkan kebenaran agama Allah. Mereka tidak boleh dikalahkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga datangnya urusan Allah SWT, yang berakhir dengan kemenangan Islam.
Lalu para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW, siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Sabda Rasulullah SAW, "Mereka ialah penduduk-penduduk Baitul Maqdis dan yang mengelilingi Baitul Maqdis". Mereka adalah kumpulan yang disifatkan oleh Rasulullah SAW yang bercakap dengan benar, bercakap dengan wahyu, bercakap dengan ilham dan petunjuk yang benar daripada Allah SWT. Maka, binasalah orang-orang yang membiarkan mereka, orang-orang yang mengecewakan mereka di keliling bumi Gaza, di keliling bumi Palestin, di keliling Masjidil Aqsa yang tidak membuat apa-apa kenyataan. Mereka diam membisu walau pun dalam keadaan mengaku sebagai orang-orang Islam dan penganut Islam, tetapi merasakan kuasa-kuasa besar dunia lebih hebat dari Allah SWT.
Ada pun kita orang-orang yang beriman mestilah menganggap ini adalah satu ujian dari Allah SWT untuk menapis umat Islam di akhir zaman ini. Siapakah yang benar-benar beriman secara ikhlas, siapa yang cakapnya beriman tetapi bohong. Inilah firman Allah SWT yang bermaksud; "Adakah kamu mengira kamu dapat masuk Syurga dengan percuma. Padahal belum lagi datang kepada kamu ujian kesengsaraan yang penderitaan yang dialami oleh umat lebih dahulu daripada kamu. Mereka digoncang dengan kehebat-hebatnya sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang bersama dengannya. Bilakah lagi datangnya pertolongan Allah, ingatlah pertolongan Allah itu terlalu hampir dan pertolongan Allah pasti datang".
Perkara yang akan datang adalah dekat sekiranya kita beriman, yakin dan percaya. Marilah seluruh umat Islam menguatkan saf mereka, merapatkan persaudaraan mereka dan menyatukan kedudukan mereka, menyelesaikan pertelingkahan yang dialami sesama umat Islam. Menghindarkan fitnah yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW di akhir zaman. "Jangan kamu menyeleweng selepas aku wafat nanti kamu bunuh-membunuh di antara satu sama lain". Marilah, kita melihat fitnah yang dilanda umat Islam di akhir zaman ini sehingga jumlah orang Islam yang dibunuh sesama Islam di bumi Islam lebih ramai dari mangsa di Gaza, mangsa di Palestin dan mangsa umat Islam yang dibunuh oleh musuh kalangan yang bukan Islam.
Di manakah kesilapannya, mari kita muhasabah diri sebelum kita dihisab di hadapan Allah SWT. Dengan kita kembali kepada Islam petunjuk Allah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, yang dinyatakan oleh sabdanya bermaksud; "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selepas aku (wafat) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu al-Quran dan Sunnahku". Ajaran Rasulullah SAW dan itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah Ta'ala, petunjuk yang menyatukan umat Islam dan berpeganglah kamu semua dengan tali agama Allah, jangan kamu berpecah belah dan bercerai-berai.
Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin
DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan