Oleh NUR FATIHAH ABDULLAH DALAM era yang serba moden dan canggih kini, kita sering alpa tentang tanggungjawab sebagai
seorang hamba kepada Tuhan Yang Esa. Tugas manusia bukan hanya pada duniawi sahaja tetapi kita mempunyai satu hala tuju dan matlamat yang sama iaitu kembali kepada fitrah semula jadi sebagai seorang khalifah yang membawa satu amanah yang mulia di muka bumi yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Allah tidak menciptakan manusia dengan sia-sia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan meneruskan perjuangan bagi menegakkan syiar Islam. Mutakhir ini, ramai manusia tewas dengan godaan duniawi yang tiada kesudahan.
Mereka lebih mementingkan keseronokan dunia yang sementara sedangkan alam akhirat adalah alam yang kekal abadi yang akan menentukan sama ada manusia itu akan mendapat tempat yang tertinggi di sisi Tuhan ataupun sebaliknya.
Kurangnya pengetahuan dan kesedaran terhadap maksud dan tujuan sebenar kehidupan, mendorong mereka kepada kancah moral.
Antara kesan jelas adalah bertambahnya jumlah kes pembuangan bayi, gejala penyalahgunaan dadah, ajaran sesat, sumbang mahram, pembunuhan dan banyak lagi. Perkara ini yang sering kali menjadi tatapan kita di dada akhbar bahkan telah menjadi satu isu yang entah bila akan berakhir.
Golongan ini menganggap bahawa dunia merupakan medan bagi mencari keseronokan dan kebebasan sedangkan Allah menitipkan dalam diri setiap anak Adam itu satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan pengabdian berpandukan al-Quran dan hadis. Kedua aspek ini penting untuk memandu manusia ke jalan yang diredai Allah selari dengan hukum yang telah ditetapkan sejak azali lagi.
Allah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. untuk memimpin manusia daripada kegelapan kepada cahaya. "Tidak aku utuskan kamu wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam." (Surah Al-Anbia, ayat 107)
Allah mengurniakan manusia akal fikiran untuk memberi peluang bagi menilai sesuatu perkara sama ada akan memberi kebaikan ataupun sebaliknya. Justeru, sebagai seorang Muslim kita patut bersyukur dengan kurniaan yang tidak ternilai itu.
Inilah yang membezakan antara manusia dan haiwan.
Betapa Allah amat mengasihi hamba-Nya dengan memberikan segala bentuk kebaikan walaupun terkadang kita sering melakukan sesuatu yang di luar kewarasan akal fikiran manusia.
Pengabdian kepada Yang Maha Esa merupakan wadah yang utama kepada seluruh umat Islam untuk mendapatkan keredaan Allah dalam kehidupan yang kekal selama-lamanya iaitu alam akhirat.
Dunia hanyalah tempat percubaan untuk mengetahui tahap keteguhan iman kepada Allah. Dengan pengabdian diri terhadap Allah di dunia, maka akan cemerlanglah kehidupan di alam akhirat kelak.
>> Penulis adalah siswi USIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan