RUJUKAN DARI KITAB "MASALAH MUWAFIK DAN MASBUK" OLEH HASAN BIN AHMAD
HUKUM ORANG MUWAFIK
Maknanya ialah makmun yang sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri (qiam) imamnya, dan kesempatan berjemaah dengan imam itu hendaklah mempunyai sekadar masa yang membolehkan beliau membaca surah Al-Fatihah hingga selesai dengan bacaan orang ramai, tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat. Dimaafkan kepadanya tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya. Contoh rukun yang panjang ialah rukuk dan sujud. Iktidal dan duduk di antara dua sujud tidak dikira sebagai rukun yang panjang.
Contoh-contoh dan gambarannya:
Seorang makmum yang muwafik sedang sembahyang berjemaah, sebelum imam qiam berdiri tegak dari sujud yang ke2 dia sudah rukuk. Maka makmum berkenaan mendapat rakaat itu kerana ketinggalannya dari imam belum masuk kepada rukun ke4.
Seorang makmum yang muwafik sedang solat berjemaah sebelum imam duduk tasyahud akhir makmum berkenaan sudah rukuk, hukumnya dia juga mendapat rakaat itu.
Jika seorang muwafik itu solat berjemaah, apabila imamnya sudah berada dalam qiam ke2 untuk membaca al-Fatihah tetapi makum berkenaan masih lagi berada di qiam pertama belum habis lagi bacaan al-Fatihahnya, atau imam sudah berada ditasyhud akhir sedangkan makmum masih lagi berada di qiam pertama dan al-Fatihahnya belum selesai, hukum makmum demikian ialah batal solatnya, kecuali ia membuat 2 pilihan segera semasa imam hendak berpindah kepada rukun yang ke4 iaitu
Pilihan pertama, makmum berkenaan dikehendaki meninggalkan bacaan al-Fatihahnya dan terus mengikut dan melakukan apa yang sedang dilakukan oleh imam, dan ia tambah satu rakaat lagi selepas salam imam.
Pilihan kedua, makmum berkenaan dikehendaki niat mufarakah (berpisah) dari mengikut imam, kemudian ia hendaklah meneruskan bacaan al-Fatihah dan rukun-rukun yang lain dengan seorang diri sehingga selesai solatnya.
Jika makmum berkenaan gagal membuat pilihan segera sebelum imam sampai kepada rukun ke4 iaitu qiam ke2 atau tasyahud akhir maka batal solat makmum itu dengan sampainya imam kepada rukun ke4 sedangkan ia masih berada di rukun yang pertama, tetapi tidak mengapa jika bersama-sama selisih, iaitu makmum sedang berpindah kepada rukuk manakala imam sedang berpindah kepada qiam ke2 atau berpindah kepada tayahud akhir.
MASALAH-MASALAH MAKMUM YANG MUWAFIK
Orang muwafik yang dimaafkan oleh syarak kepada yang tertinggal 3 rukun jarak daripada imam itu ialah orang yang lambat bacaannya kerana tabiat kejadiannya begitu dan bukan was-was. Tetapi orang yang lambat bacaannya kerana was-was tidak dimaafkan ketinggalan 3 rukun melainkan dimaafkan sekadar imam belum turun untuk sujud dia selesai bacaan al-Fatihahnya, yakni orang muwafik yang was-was boleh menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum imam turun sujud jika ia belum habis lagi baca al-Fatihah imamnya turun untuk sujud, maka batal solatnya kecuali makmum berkenaan niat mufarakah[mufarakah bermaksud niat berpisah dengan imam, kemudiannya meneruskannya dengan solat bersendirian] sebelum imam turun sujud dan dia pada waktu itu dikehendaki meneruskan bacaan al-Fatihahnya dan mengerjakan rukun-rukun yang lain hingga selesai solat. Kepada orang muwafik yang was-was tidak boleh meninggalkan bacaan al-Fatihah dan terus melakukan apa yang dibuat oleh imam bila dia tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihahnya, kerana ia dikira seperti hukum orang yang sengaja meninggalkannya.
Orang muwafik yang syak sebelum dia rukuk dan sesudah imamnya rukuk adakah ia sudah membaca al-Fatihah atau belum, maka wajib keatasnya membaca al-Fatihah dan di maafkan ketinggalan 3 rukun dari imamnya.
Seorang muwafik yang lupa membaca al-Fatihah sehingga imamnya rukuk tetapi makmum berkenaan belum rukuk, kemudian ia teringat bahawa ia belum lagi membaca al-Fatihah, makmun itu di wajibkan membaca al-Fatihah dan dimaafkan ketinggalan 3 rukun seperti di atas.
Seorang muwafik yang syak adakah ia telah membaca al-Fatihah atau belum lagi, atau ia teringat ia teringat bahawa ia belum lagi membaca al-Fatihah sesudah imam dan ia sendiri telah melakukan rukuk, hukum orang itu tidak boleh lagi ia kembali membaca al-Fatihah tetapi wajib keatasnya terus mengikut imam dan apabila salam imamnya dia dikehendaki menambah satu rakaat lagi.
Orang muwafik yang syak sesudah ia rukuk sedangkan imam belum lagi rukuk, iaitu syak adakah ia sudah baca al-Fatihah atau belum. Hukumnya ia wajib kembali qiam dan baca al-Fatihah, dan ia dimaafkan ketinggalan 3 rukun yang panjang daripada imamnya.
Orang muwafik yang tertinggal baca al-Fatihah kerana baca doa iftitah, tiba-tiba imamnya rukuk sebelum ia sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah, samada dia telah membaca sebahagian daripada ayat-ayat al-Fatihah ataupun belum sempat membacanya walau sedikitpun, hukumnya wajib ia baca al-Fatihah dan dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imamnya.
Orang muwafik yang sedang menunggu saktah imamnya yakni ia memperhatikan bacaan al-Fatihah imamnya untuk mendapatkan sunat dan beradang baca al-Fatihah apabila imam baca surah nanti, tetapi imam apabila ia selesai membaca al-Fatihah terus rukuk tanpa membaca mana-mana surah, dengan itu makmum tidak sempat baca al-Fatihah, hukumnya dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imam dan wajib keatasnya baca al-Fatihah.
Orang muwafik yang sedang menunggu saktah imamnya yakni ia memperhatikan bacaan al-Fatihah imamnya untuk mendapatkan sunat dan beradang baca al-Fatihah apabila imam baca surah nanti, tetapi imam apabila selesai baca al-Fatihah dibacanya surah yang pendek menyebabkan makmum tidak sempat menyempurnakan bacaan al-Fatihahnya sedangkan imam sudah rukuk atau sujud, hukumnya dimaafkann ketinggalan 3 rukun daripada imamnya.
Masalah khilaf
Masalah khilaf antara ulama muta'akhirin dalam menetapkan hukum terhadap orang muwafik adalah seperti berikut:
Seorang muwafik solat jemaah bersama imamnya tiba-tiba ia tertidur di tasyahud awal dengan tanpa papan punggungnya di tempat duduk,dia terus tidur sehingga semasa imamnya turun rukuk atau berada di akhir qiam baru ia terjaga dari tidurnya, hukumnya khilaf antara Syeikh Ramli dengan Syeikh Ibnu Hajar. Pendapat Syeikh Ramli bahawa makmum itu masuk dalam bab orang muwafik juga dan hukumnya dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imamnya tetapi Syeikh Ibnu Hajar berpendapat bahawa makmum itu sudah termasuk dalam bab orang masbuk, hukumnya tidak boleh ketinggalan 3 rukun daripada imam, bahkan ia membaca al-Fatihah sekadar yang dapat dan wajib ia terus mengikut imamnya rukuk, jika ia rukuk sempat thamaninah sebelum imamnya bangkit daripada rukuk maka ia mendapat rakaat itu.
Seorang muwafik solat berjemaah bersama imamnya, bila imamnya bertakbir untuk qiam disangkanya takbir itu untuk duduk tasyahud awal dia pun duduk tasyahud awal, kemudian ia mendengar pula imam bertakbir untuk rukuk disangkanya takbir itu untuk berdiri daripada tasyahud awal, selepas itu barulah makmum itu sedar bahawa sebenarnya takbir imam itu untuk rukuk. Dalam masalah ini kata Syeikh Ramli bahawa makmum itu termasuk dalam bab muwafik dan hukumnya dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imam. Manakala Syeikh Ibnu Hajar berpendapat bahawa makmum itu sudah termasuk dalam bab orang masbuk, dan hukumnya tidak boleh lagi ketinggalan 3 rukun daripada imamnya bahkan ia membaca al-Fatihah sekadar yang dapat dan wajib ia mengikut imamnya rukuk, jika makmum itu sempat rukuk dengan imamnya dengan thamaninah sebelum imamnya bangkit daripada rukuk maka ia mendapat rakaat itu.
Seorang muwafik solat jemaah bersama imamnya bersama-sama membaca tasyahud awal, apabila imamnya qiam daripada tasyahud awal, makmum itu masih lagi belum selesai membaca tasyahudnya, manakala makmum itu berdiri tegak dan didapati imamnya sudah rukuk atau hampir rukuk. Menurut Syeikh Ramli, ia juga termasuk dalam bab orang muwafik dan dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imamnya. Manakala menurut Syeikh Ibnu Hajar ia termasuk dalam bab masbuk dan tidak dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imamnya kerana ia meninggalkan bacaan dengan sengaja, hukumnya jika makmum itu dapat menyempurnakan bacaan al-Fatihahnya dan sempat rukuk sebelum imamnya turun kepada sujud maka ia mendapat rakaat itu, jika tidak hendaklah ia niat mufarakah dan hendaklah ia solat bersendirian dengan mengikut peraturan solat, jika ia menyalahi hukum ini solatnya menjadi batal. Begitu juga hukumnya jika seorang muwafik sedang solat jemaah dengan imamnya, tiba-tiba ia lupa bahawa ia mengikut imam, semasa dalam sujud barulah ia teringat yang ia mengikut imam, sebelum ia sempat qiam daripada sujud didapati imamnya telah atau hampir rukuk. Kata Syeikh Ramli, ia seperti hukum orang muwafik dimana ia wajib habiskan al-Fatihahnya dan dimaafan ketinggalan 3 rukun daripada imamnya. Tetapi kata Syeikh Ibnu Hajar bahawa masalah itu seperti hukum orang masbuk, kalau makmum itu dapat rukuk bersama imam dengan thamaninah [kadar masa thamaninah adalah sekadar masa menyebut lafaz subhanallah] maka ia mendapat rakaat itu, jika ia tidak sempat rukuk bersama imam maka wajib menambahkan satu rakaat lagi selepas salam imamnya.
Makmum masbuk
Maknanya ialah makmum yang tidak sempat berjemaah dalam masa qiam imamnya sekadar masa yang membolehkannya membaca al-Fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan dikalangan orang ramai. Umpamanya seorang makmum masuk solat jemaah lewat iaitu ketika imamnya membaca surah al kafirun hampir tamat pada rakaat pertama, makmum itu dinamakan masbuk kerana masa qiam imamnya itu tidak sempat dan tidak membolehkan ia membaca al-Fatihah sehingga selesai. Tetapi sekiranya makmum masuk solat berjemaah solat isyak ketika imamnya hendak melakukan bacaan surah ad-Duha selepas al-Fatihah, makmum itu dinamakan muwafik kerana berdiri imamnya sempat ia membaca
surah al-Fatihah mengikut pembacaan uruf orang ramai. Makmum masbuk dimaafkan meninggalkan bacaan al-Fatihah, kerana al-Fatihah belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja oleh makmum itu semuanya ditanggung oleh imamnya.
Contoh dan gambaran.
Setengah daripada makmum itu pada mulanya adalah makmum muwafik, didalam menunaikan peraturan-peraturan solat ia terlewat, belum sempat ia bangkit qiam tiba-tiba imamnya telah rukuk, hukum makmum itu adalah orang masbuk, jika ia sempat qiam dan terus rukuk sebelum imamnya bangkit dari rukuk maka ia mendapat rakaat itu dimaafkan dia membaca bacaan al-Fatihah.
Didapati imam-imam solat terlalu cepat membaca bacaan di dalam solat, apabila makmum qiam daripada sujudnya didapati imam telah rukuk dan ia tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah, maka hukumnya wajib ke atas makmum itu rukuk bersama-sama imamnya kerana ia seperti orang masbuk dan ia mendapat rakaat itu. Begitulah hukumnya jika hal keadaan seperti ini berlaku setiap rakaat sekalipun, kalau makmum itu meneruskan bacaan al-Fatihahnya sehingga imamnya rukuk dan bangkit dari rukuk sedangkan ia masih menyempurnakan bacaan al-Fatihah atau dia dapat rukuk bersama imam tetapi belum sempat ada thamaninah, imamnya telah bangkit dari rukuk, maka luputlah ia dari rakaat itu dan hendaklah ia melakukan apa yang dibuat oleh imamnya dan selepas salam imamnya, wajib keatasnya tambah satu rakaat lagi. Mengikut apa yang disebut oleh ulama bahawa sunat kepada orang masbuk tidak membaca apa-apa bacaan sunat selepas takbiratulihram tetapi hendaklah ia membaca al-Fatihah sahaja kecuali ia menjangka sempat membaca al-Fatihah dan membaca zikir yang sunat itu barulah boleh membuat demikian.
Seorang masbuk yang berjemaah dengan imam, apabila rukuk imamnya dan makmum yang masbuk belum lagi sempat baca al-Fatihah dimana ia tidak membaca apa-apa kecuali al-Fatihah, hendaklah ia tinggalkan bacaan al-Fatihahnya dan wajib mengikut imamnya rukuk, kerana al-Fatihah yang belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja itu semuanya ditanggung oleh imamnya jika makmum masbuk itu bertabiat lambat bacaannya sekalipun tidak wajib keatasnya membaca lebih dari kemampuan yang ia dapat, berlainan kepada makmum muwafik yang lambat bacaan, ia dikehendaki menghabiskan bacaan al-Fatihahnya dan dimaafkan ketinggalan 3 rukun dari imamnya sebagaimana dalam penerangan yang lepas.
Jika seorang makmum yang masbuk rukuk terkemudian daripada imam sebab ia baca al-Fatihah, hingga bangkit imamnya dari rukuk, maka luputlah rakaat itu dan wajib keatasnya tambah satu rakaat lagi selepas salam imamnya.
Seorang makmum yang masbuk bersolat jemaah sibuk membaca zikir yang sunat tiba-tiba imamnya rukuk sedangkan ia belum baca al-Fatihah, makmum itu wajib keatasnya baca al-Fatihah sekadar hurufhuruf yang di baca dalam zikir sunat itu, dan ia dikehendaki menggunakan ijtihad dalam hal ini.
Jika seorang makmum yang masbuk itu diam tanpa baca al-Fatihah selepas membaca takbiratulihram sehingga imamnya rukuk, wajib keatasnya baca al-Fatihah sekadar masa yang ia diam itu, dan ia dikehendaki menggunakan ijtihad dalam hal ini. Apabila makmum yang masbuk selesai baca al-Fatihah kerana menggantikan zikir sunat atau diamnya dalam contoh 5 dan 6, kemudian wajib ia rukuk, jika ia dapat rukuk dengan imam sekadar thamaninah dengan yakin sebelum imamnya bangkit dari rukuk makaia dapat rakaat itu. Jika imamnya telah bangkit dari rukuk sedangkan ia baru selesai baca al-Fatihah atau ia sempat rukuk dengan imamnya tetapi tiada thamaninah maka luputlah rakaat itu dan dia dikehendaki tambah 1 rakaat lagi selepas salam imamnya.
Jika imamnya sudah mengangkat kepala dari rukuk dan makmum yang masbuk masih lagi belum sempurna bacaan al-Fatihah wajib keatasnya niat mufarrakah sebagaimana di terangkan oleh syekh ibni hajar dalam kitab manhaj al qawim, diterangkan oleh Syeikh Ibnu Hajar dalam kitab Minhaj al Qawim dan di terangkan oleh Syeikh Ramli dalam kitab an Nihayah. Mengikut pendapat Syeikh Islam pula bahawa makmum yang masih belum sempurna bacaan al-Fatihahnya sedangkan imamnya sudah mengangkat kepala dari rukuk tidak wajib keatasnya niat mufarakah bahkan diberi pilihan antara mufarakah atau tinggalkan rukuk dan terus sujud bersama imamnya.
Dirumikan Oleh Mohd Hafiz Azmi
12 Jan. 2005
wallahua'lam,
apabila memikirkan apa kebaikan walaupun sedikit, elok dikongsikan. Jangan tunggu jadi ulama baru dikongsi.
_irhafiz
—————————————————————————————————————-
nota ringkas – boleh rujuk sini
Nota ringkas permasalahan Muafik dan Masbuk:
Ma'mum terbahagi kepada dua jenis/kategori:
Ma'mum muafik
Iaitu mereka yang sempat qiam/berdiri bersama-sama imam (berdiri semasa bacaan fatihah, bukan iktidal)
Tempoh berdiri bersama-sama imam tadi, perlulah sekurang-kurangnya kadar masa bacaan fatihah yang sederhana – tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.
Dibenarkan lewat dengan imam sebanyak 3 rukun yang panjang.
Perlu menghabiskan bacaan fatihah.
Ma'mum masbuk
Iaitu mereka yang tak sempat qiam bersama-sama imam pada kadar masa yang cukup untuk seseorang itu untuk membaca fatihah.
Dibenarkan lewat dengan imam sebanyak 3 rukun.
Tidak perlu menghabiskan fatihah, sebab fatihah beliau telah ditanggung oleh imam.
Rukun panjang:
Contoh rukun yang panjang adalah seperti berikut:
Ruku'
Sujud
Duduk tahiyat akhir
I'tidal dan duduk antara dua sujud tidak dikira sebagai rukun yang panjang.
Untuk mendapatkan rakaat bersama-sama imam, ma'mum perlu sekurang-kurangnya ruku' bersama-sama imam dengan thama'ninah.
Thama'ninah – diam seketika pada kadar masa bacaan 'subhanallah'. Thamaninah perlu ada pada setiap peralihan rukun fi'li (rukun yang melibatkan perbuatan, bukan bacaan – seperti peralihan qiam kepada ruku', daripada ruku' kepada I'tidal dan sebagainya).
Contoh situasi:
Seorang ma'mum datang ke surau dan mendapati imam telah pun ruku'. Beliau terus takbiratul ihram, dan ruku'. Belum pun beliau sampai pada keadaan ruku', imam pun bangun I'tidal. Maka pada keadaan ini, beliau tidak lagi mendapat rakaat tersebut bersama-sama imam, dan perlu menggantikannya setelah selesai salam imam.
Seorang yang datang untuk berjemaah, dan takbiratulihram. Beliau membaca doa iftitah, dan sejurus sahaja beliau habis doa ifititah, imam pun ruku'. Pada keadaan ini, beliau dikira sebagai ma'mum muafik kerana sempat berdiri bersama-sama imam pada kadar tempoh masa bacaan fatihah. (kerana tempoh bacaan doa ifititah tadi adalah sama/lebih daripada tempoh bacaan fatihah). Dia perlu menghabiskan bacaan fatihah tersebut, kemudian ruku'. Sebab, bacaan fatihahnya tadi tidak ditanggung oleh imam. Beliau diberi masa sebanyak 3 rukun panjang, untuk menghabiskan bacaan fatihah tadi.
Wallahua'lam.
Definisi :
Makna Masbuk ialah makmum yang ketinggalan. Iaitu makmum yang tidak mendapat masa yang cukup untuk membaca al-Fatihah bersama imam.
Contoh dan gambaran Masbuk :
Ini disebabkan semasa ia masuk berjemaah imam sedang rukuk atau hampir-hampir akan rukuk. Orang yang berkeadaan begini sekiranya ia dapati imam sedang rukuk maka hendaklah ia terus bertakbir serta niat sekali dan setelah berdiri sebentar (lamanya dalam kadar bacaan Subhanallah) teruskanlah rukuk bersama imam.
Sekiranya dapat berhenti bersama imam semasa rukuk, maka itu dikira satu rakaat walaupun tidak membaca al-Fatihah kerana orang yang masbuk al-Fatihahnya di tanggung oleh Imam.
Sekiranya ia berkesempatan berdiri bersama imam dalam masa yang singkat, maka hendaklah ia membaca al-Fatihah sekadar mana yang dapat dan teruskan mengikut imam dalam rukuk dengan syarat dapat berhenti bersama dalam rukuk itu.
Makna muafiq pula ialah makmum yang mempunyai masa yang cukup bersama imam untuk membaca al-Fatihah dengan bacaan yang sederhana.
Contoh dan gambaran Muafiq:
Jika sekiranya muafik masih belum selesai membaca al-Fatihah sedangkan imam telah rukuk, maka hendaklah ia menghabiskan al-Fatihah itu sehingga imam selesai sujud dan bangun daripada sujud yang kedua.
Sekiranya makmum masih tidak selesai juga sedangkan imam sudah pun bangun berdiri ataupun duduk tahiyat akhir maka hendaklah makmum itu memilih sama ada berpisah dengan niat mufaraqah (berpisah) ataupun terus mengikut perbuatan imam dan rakaat itu tidak di ambil kira. Jika tidak berbuat salah satu antara kedua hal tersebut,maka batallah solatnya.
Hukum orang muawiq
1) Hukum bagi orang muwafiq dimaaf kepadanya tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya.Tidak termasuk rukun yang pendek.
2) Contoh rukun panjang seperti rukuk dan sujud. Manakala rukun yang pendek seperti iktidal, duduk istirehat, duduk tasyahud awal dan duduk antara dua sujud.
Hukum orang yang masbuq
Ma'mum yang masbuq hukumnya dimaafkan meninggalkan bacaan fatihah, kerana fatihah yang belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja oleh ma'mum itu dikira semuanya ditanggung oleh imamnya.
1) Dari Sahal bin Saad r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Imam yang menanggung pembacaan, apabila baik bacaannya maka pahalanya untuk dirinya dan untuk mereka (ma'mum), dan jika rosak bacaannya maka dosanya di atas dirinya sendiri dan bukan atas mereka". (hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim)
2) Imam terlalu cepat membaca bacaan di dalam solat. Apabila ma'mum berdiri daripada sujudnya didapati imamnya sudah rukuk dan ia tidak sempat menghabiskan bacaan Al- Fatihah, maka hukumnya wajib ke atas ma'mum itu rukuk bersama-sama imamnya kerana ia seperti orang masbuq dan dia mendapat rakaat itu.
3) Jika seorang makmum masbuq rukuk terkemudian daripada imam sebab ia membaca al fatihah hingga imamnya bangkit daripada rukuk, maka luputlah rakaat itu dan wajib ke atasnya tambah satu lagi rakaat selepas salam imamnya.
Duduk Masbuq
Masbuq duduk mengikuti duduk imam. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:
"Sesungguhnya imam itu diangkat untuk diikuti" (HR.Al-Bukhari dan Muslim).
Makmum masbuq masih mendapat pahala berjemaah, apabila makmum dapat mengikutnya sebelum imam memberi salam. Akan tetapi makmum yang mengikuti dari mula mendapat ganjaran lebih banyak daripada makmum yang mengikuti kemudian.
SOALAN: SAYA solat berjemaah tetapi tidak sempat menamatkan Fatihah kerana imam membacanya telalu cepat. Adakah saya dikira sebagai makmum masbuk, kerana saya tidak dapat waktu bersama imam untuk membaca dan menghabiskan Fatihah. Malah pada rakaat berikutnya, saya masih juga tidak dapat mengejar solat imam kerana apabila saya bangkit dari sujud, imam sudah mula turun rukuk kembali. Adakah saya masih dikira sebagai masbuk juga?
– Rahimah Mohd Nur,
Pekan, Pahang.
JAWAPAN: Anda dikira sebagai makmum masbuk bila anda tidak ada masa dan ruang (kadar biasa) untuk membaca Fatihah atau menghabiskannya. Apabila anda dikira sebagai masbuk, maka anda tidak perlu membaca Fatihah atau menghabiskannya lagi, melainkan setakat yang termampu sahaja, dan terus mendapatkan imamnya bersama dalam rukuk tersebut (dengan sempurna dan dapat tamakninah bersama imamnya) sedangkan bakinya, imamlah yang menanggung sebagai gantinya. Sebab itulah mereka yang akan dipilih sebagai imam perlu daripada kalangan mereka yang benar-benar fasih dan faham aturan solatnya serta dapat melaksanakan solatnya dengan sempurna dan sah.
Ini untuk melayakkannya sebagai imam yang dapat menanggung kekurangan makmum di belakangnya. Tetapi masa atau ruang yang ada sebelum itu jangan pula digunakan untuk melakukan bacaan sunat yang lain kecuali Fatihah sahaja. Ini kerana kalau ruang tersebut digunakan untuk bacaan sunat yang lain, maka wajiblah digantikan masa tersebut dengan membaca Fatihahnya selama mana masa yang digunakan itu, kerana kesilapannya menyalahgunakan masa dan ruang tersebut untuk tujuan yang lain. Dan bila anda dikira sebagai masbuk, maka anda dibenarkan (dimaafkan) ketinggalan di belakang imam sebanyak tiga rukun yang panjang - panjang iaitu sampai imam bangkit dari sujud yang kedua, kerana iktidal dan tasyahud awal, dikira rukun yang pendek.
Anda juga dikira sebagai masbuk sekalipun dalam rakaat yang seterusnya. Ini kalau keadaan masih sama dengan rakaat yang pertama tadi, iaitu masih tidak ada masa dan ruang untuk membaca Fatihah atau menghabiskan bacaan Fatihahnya. Kerana mereka yang ada masa dan ruang untuk menyempurnakan bacaan Fatihahnya dalam kiam imannya dia dikira bukan masbuk lagi, malah dikira makmum yang muafiq dan hukumnya adalah lain pula. Lantaran mereka perlu menghabiskan bacaan Fatihah masing-masing kerana bacaan Fatihahnya perlu disempurnakan sendiri, manakala imamnya tidak dapat menanggung bacaannya. Nabi bersabda yang bermaksud: Tidak ada solat (yang diterima lagi sah atau sempurna) tanpa ada bacaan Fatihah (dalam setiap rakaatnya) (riwayat Bukhari). Wallahualam
PERSOALAN MASBUK KETIKA IMAM SEDANG RUKUK (TERLEWAT UNTUK BERSAMA IMAM DAN MENYERTAI SEMASA IMAM SEDANG RUKU)
PERSOALAN MASBUK KETIKA IMAM SEDANG RUKUK (TERLEWAT UNTUK BERSAMA IMAM DAN MENYERTAI SEMASA IMAM SEDANG RUKU)
Permasalahan yang selalu ditimbulkan adalah sama ada makmum yang menyertai imam ketika sedang rukuk itu dapat satu rakaat bersama imam atau tidak.
Mari kita lihat hadis-hadis nya.
Riwayat/atsar/hadis yang berkaitan:
"Dari Zain bin Wahab: Saya keluar bersama Abdullah (Ibnu Mas'oud) dari rumahnya menuju ke masjid. Ketika kami sampai di tengah-tengah masjid, imam sedang rukuk maka Abdullah (Ibnu Mas'oud) bertakbir dan ruku, saya pun rukuk bersama beliau. Kemudian kami berjalan sambil rukuk sehingga sampai ke saf, (setelah sampai ke saf) jamaah sedang mengangkat kepala mereka untuk berdiri (berdiri i'tidal). Setelah Imam selesai solat, saya berdiri kerana menganggap bahawa saya belum mendapat (terlepas satu) rakaat. Maka Abdullah (Ibnu Mas'oud) menarik tangan saya dan menahan saya agar tetap duduk. Lantas (setelah selesai solat) beliau berkata: Sesungguhnya engkau mendapat rakaat." (Hadis Riwayat Abi Syaibah, lihat: al-Mushannaf, 1/99/1-2. Aburrazak, 11/283, 3381. at-Thahawi, dalam Syarah al-Ma'ani, 1/231-232. at-Thabrani, dalam al-Mu'jam al-Kabir, 111/32/1. al-Baihaqi dalam as-Sunan, 11/90-91, dengan sanad yang sahih)
2 – "Telah menceritakan kepada kami, Muhammad bin Nasr (beliau berkata): Telah menceritakan kepada kami Harmalah bin Yahya, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahab dan mengkhabarkan kepada saya dari 'Ata' bahawa ia ('Ata') mendengar dari Ibnu Zubair, beliau berkata di atas mimbar: Apabila seseorang antara kamu masuk ke masjid, sedangkan para makmum sedang rukuk, kemudian ia berjalan sambil rukuk sehingga masuk ke dalam saf solat, maka sesungguhnya (perbuatan/amalan) yang demikian itu adalah amalan sunnah (bertepatan dengan sunnah)." (Dikeluarkan oleh at-Thabrani. Lihat al-Awsat, 1/33/1, dan Mu'jam as-Saghir. Lihat: al-Mushannaf 11/284/3386 oleh Abdurrazak. Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya, no. 1571. al-Hakim, 1/214 dan menurut beliau sahih, bertepatan dengan syarat Bukhari dan Muslim. Dan disepakati oleh az-Zahabi. Al-Baihaqi, 11/106. Menurut Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani: Harmalah adalah Tsiqah, dia merupakan perawi Bukhari dan Muslim. Dan menurutnya sanad hadis ini sahih)
3 – Dari Uthman bin al-Aswad: "Aku masuk bersama Abdullah bin Tamim ke masjid. Maka Imam terus rukuk, aku dan Abdullah bin Tamim pun rukuk, kami berjalan sambil rukuk hingga masuk ke dalam saf. Ketika solat telah selesai, Amr bertanya kepadaku: Yang engkau lakukan tadi dari siapa engkau mendengarnya? Aku menjawab: Dari Mujahid. Ia berkata: Sesungguhnya aku melihat Ibnu az-Zibair melakukan seperti itu." (Dikeluarkan oleh Abi Syaibah dengan sanad yang sahih. Rujuk: Mushannaf, 11/284. Abdul Razak. Rujuk: Irwa'ul Ghalil, no. 110, al-Albani)
4 – Dari Abu Bakrah bin Abdur Rahman bin al-Harith bin Hisyam, "bahawa Abu Bakr as-Siddiq dan Zaid bin Tsabit masuk masjid ketika imam sedang rukuk. Maka beliau berdua pun rukuk sambil berjalan masuk ke saf." (Hadis Riwayat al-Baihaqi, 11/90. Menurut Sheikh al-Albani para perawinya tsiqah)
5 – Dari Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif: "Sesungguhnya ia melihat Zaid bin Tsabit masuk masjid ketika imam rukuk, maka beliau pun berjalan sambil rukuk dengan harapan sampai ke saf. Oleh yang demikian beliau bertakbiratul Ihram dan beliau pun terus rukuk, kemudian beliau berjalan sambil rukuk sehingga sempat sampai ke saf." (Hadis Riwayat al-Baihaqi, 11/9083/106 dengan sanad yang sahih)
Kesimpulan:
Berdasarkan hadis-hadis yang jelas di atas, makanya, makmum yang masbuk ketika imam dalam keadaan rukuk, adalah rakaat tersebut diambil kira sebagai satu rakaat.
Bagaimana Dengan Hadis Yang Mengandungi Larangan Seperti Ini:
Terdapat sebahagian kaum muslimin yang mempertahankan pendapatnya, bahawa seseorang yang masbuk di ketika imam sedang dalam keadaan rukuk maka dia tidak mendapat rakaat kerana masuk ke saf dalam keadaan imam sedang rukuk dan tertinggal al-Fatihah. Mereka berpegang dengan Hadis Nabi s.a.w. berikut:
"Siapakah yang tadi rukuk di belakang saf kemudian sambil berjalan menuju ke saf? Abu Bakrah menjawab: Aku. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Semoga Allah menambahkan kepadamu semangat menjaga ibadah, dan janganlah engkau ulangi lagi." (Hadis Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Baihaqi, at-Thahawi, dan Ibnu Hazm)
Jawaban/Bantahan Kepada Pendapat Tersebut:
Adapun yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis tersebut adalah agar Abu Bakrah tidak mengulangi perbuatannya yang tergesa-gesa atau terburu-buru untuk bersama imam. Kerana apa yang dimaksud dan dikehendaki oleh Abu Bakrah ialah agar beliau sempat bersama imam dalam rakaat-rakaat yang terawal.
Dengan ini, bukanlah perbuatan tersebut dilarang iaitu bagi sesiapa yang masuk ke dalam saf dalam keadaan berjalan untuk mendapat rakaat berama imam kerana larangan Rasulullah ialah agar tidak terburu-buru atau tergesa-gesa menuju solat setelah imam sudah memulakan solat.
Sebab-sebab Timbulnya Larangan:
Persoalan ini dapat difahami berdasarkan hadis ini, "Abu Bakrah pernah sampai di masjid ketika Nabi s.a.w. sedang dalam keadaan rukuk. Maka Nabi s.a.w. mendengar suara sandal (langkah) Abu Bakrah yang sedang berlari-lari ingin mendapatkan rakaat solat bersama Nabi. Ketika Nabi selesai solat, baginda bersabda:
"Siapa tadi yang berlari-lari (menuju ke saf)? Abu Bakrah menjawab: Aku. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Semoga Allah menambahkan kepadamu semangat untuk menjaga ibadah maka janganlah engkau ulangi lagi." (Hadis Riwayat Ahmad, 5/42. Rujuk: Sahih Ibnu as-Sakan)
"Dari Abu Bakrah, beliau berkata: Aku sampai ketika Rasulullah s.a.w. sedang rukuk. Sesungguhnya perasaanku memaksa diriku agar tergesa-gesa, lalu aku rukuk di belakang sebelum sampai ke saf." (Hadis Riwayat Ahmad, 5/45)
Pengakuan Abi Bakrah di dalam hadis ini ialah bahawa beliau tergesa-gesa (berlari-lari untuk ke saf), maka yang dilarang oleh Rasulullah ialah perbuatan tergesa-gesa (sambil berlari-lari) menuju ke saf solat. Dan bukannya perbuatan rukuk sambil berjalan tersebut. Penjelasan ini dapat difahami dari hadis seterusnya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jika kamu mendatangi solat, maka janganlah kamu mendatanginya dengan berlari-lari (sebaliknya) wajib bagi kamu mendatanginya dengan tenang dan tidak terburu-buru." (Muttaqun 'Alaihi (H/R. Bukhari & Muslim))
Berlakunya muwafiq dan masbuq ke atas seseorang ma'mum pada mana-mana sahaja rakaat sembahyangnya, dan kadangkala berlakunya kepada ma'mum muwafiq menjadi ma'mum masbuq padarakaat berikutnya. Setiap ma'mum wajib mengetahui dan memahami tentang kedudukan ma'mum muwafiq dan masbuq untuk menjamin sembahyangnya sah dan tidak terbatal.
APA ITU MASBUQ?
Masbuq: seorang ma'mum yang tidak sempat berjemaah semasa berdiri imamnya dan tidak mendapat masa yang cukup untuk membaca Al-Fatihah bersama Imam. Ini disebabkan Imam telahpun rukuk atau hampir-hampir rukuk kemudian ma'mum tadi masuk ke saf sembahyang berjemaah.
APA ITU MUAFIQ?
Muafiq: Seorang ma'mum yang sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri (qiam) imamnya, di mana ia mempunyai masa yang cukup untuk membaca Al-Fatihah bersama Imam dengan bacaan yang sederhana.
BILA BERLAKU?
Ia boleh berlaku ke atas seseorang ma'mum kepada empat rakaat sama ada pada rakaat pertama, rakaat kedua, rakaat ketiga, dan seterusnya pada rakaat keempat
HUKUM ORANG MUAFIQ
Hukum bagi orang muafiq dimaaf kepadanya tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya. Tidak termasuk rukun yang pendek. Contoh rukun panjang seperti rukuk dan sujud. Manakala rukun yang pendek seperti iktidal, duduk istirehat, duduk tasyahud awal dan duduk antara dua sujud
CONTOH DAN GAMBARAN MUAFIQ
Seorang ma'mum yang muafiq sedang solat berjemaah, sebelum imam berdiri tegak daripada sujud yang kedua, dia sudah rukuk.Maka ma'mum berkenaan mendapat rakaat itu kerana ketinggalan daripada imam belum masuk kepada rukun keempat.
Seorang ma'mum yang muafiq sedang berjemaah sebelum imam duduk tasyahud akhir ma'mum berkenaan sudah rukuk, hukumnya dia juga mendapat rakaat itu
Kedua-dua contoh menunjukkan bahawa ma'mum berkenaan masih lagi berada dalam jarak tiga rukun daripada imamnya,belum lagi masuk ke rukun keempat.Sebagaimana contoh-contoh itu bahawa rukun-rukun yang jarak antara ma'mum dengan imam ialah tiga rukun yang dikira daripada:
Rukuk
Sujud yang pertama
Sujud yang kedua
HUKUM ORANG MASBUQ
Ma'mum yang masbuq hukumnya dimaafkan meninggalkan bacaan fatihah, kerana fatihah yang belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja oleh ma'mum itu dikira semuanya ditanggung oleh imamnya.
Dari Sahal bin Saad r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda:
"Imam yang menanggung pembacaan, apabila baik bacaannya maka pahalanya untuk dirinya dan untuk mereka (ma'mum), dan jika rosak bacaannya maka dosanya di atas dirinya sendiri dan bukan atas mereka".
(hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim)
CONTOH DAN GAMBARAN MASBUQ
ma'mum itu pada mulanya dia adalah muafiq, di dalam menunaikan peraturan-peraturan solatnya ia terlewat, belum sempat ia berdiri tiba-tiba imam telah rukuk atau hampir rukuk,hukum ma'mum itu ialah orang masbuq. Jika ia sempat qiam dan terus rukuk sebelum imamnya bangkit daripada rukuk maka ia
mendapat rakaat itu, dan diamaafkan dia meninggalkan bacaan fatihah.
CONTOH-CONTOH MASBUQ
Imam terlalu cepat membaca bacaan di dalam solat. Apabila ma'mum berdiri daripada sujudnya didapati imamnya sudah rukuk dan ia tidak sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah, maka hukumnya wajib ke atas
ma'mum itu rukuk bersama-sama imamnya kerana ia seperti orang masbuq dan dia mendapat rakaat itu.
Jika seorang makmum masbuq rukuk terkemudian daripada imam sebab ia membaca al fatihah hingga imamnya bangkit daripada rukuk, maka luputlah rakaat itu dan wajib ke atasnya tambah satu lagi rakaat
selepas salam imamnya.
MASBUQ JUMAAT
Solat jumaat diwajibkan dengan berjemaah. Oleh itu, tidak sah jumaat kecuali dengan berjemaah sekurang-kurangnya dengan 40 puluh orang yang berakal, cukup umur(baligh), merdeka dan bermastautin.
Bagi seorang ma'mum masbuq yang ingin mendapat jumaat, dia hendaklah sekurang-kurangnya sempat rukuk bersama imam pada rakaat yang kedua serta mempunyai tamakninah. Kemudian dia hendaklah menambah satu lagi rakaat selepas salam imam dan Jika ia tidak sempat mendapatkan rukuk bersama imam pada rakaat kedua itu, maka hendaklah ia menyempurnakan solat itu sebagai solat zohor iaitu dengan
menambahkan empat rakaat selepas salam imam. Bacaan fatihah serta ayat yang sunat selepasnya hendaklah dengan perlahan.
RUMUSAN MUWAFIQ DAN MASBUQ
Muwafiq ialah ma'mum yang sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah dengan bacaan sederhana ketika qiam imamnya sebelum rukuk imamnya.
Masbuq ialah ma'mum yang tidak sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah dengan bacaan sederhana
dalam qiam imamnya seperti ketika dia masuk berjemaah itu imamnya sedah hampir rukuk atau sedang rukuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan