Oleh AZIZ MUDA PERISTIWA hitam cukup menggemparkan berlaku di Mesir pada 24 Mac lalu pasti tidak mudah dilupakan oleh umat manusia seluruh d
unia, apabila mahkamah di negara itu menjatuhi hukuman bunuh ke atas 529 pemimpin dan ahli Ikhwanul Muslimin.
Serentak itu, umat Islam di seluruh dunia bangun dengan kecaman keras ke atas pihak berkuasa Mesir kerana menjatuhkan hukuman itu ke atas mereka, lebih-lebih lagi apabila keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah itu bukan atas dasar keadilan, tetapi kerana dendam politik kudeta tentera negara itu, setelah Ikhwan menang besar dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Di negara kita, PAS selaku gerakan Islam telah memainkan peranan penting dalam menyuarakan kecaman dan kutukan keras rakyat negara ini terhadap keputusan mahkamah Mesir yang penuh dengan kezaliman itu.
Pemimpin-pemimpin PAS yang dimulai dengan Presidennya sendiri, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja keputusan itu dibuat oleh mahkamah di negara itu bagi mengutuk tindakan itu.
Selain mengecam, PAS turut mendesak badan-badan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) campur tangan dan mengambil tindakan termasuk mencontohi tindakan Afrika yang menggantung keahlian Mesir sebagai anggota Kesatuan Afrika.
Kecaman dan kutukan keras PAS terhadap keputusan itu turut dijelmakan dengan penganjurannya ke atas satu himpunan aman secara besarbesaran yang disertai ribuan rakyat negara ini pada 28 Mac lalu, bagi menyerahkan memorandum ke pejabat Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur.
Sehari sebelum itu, PAS menerusi Ahli Parlimen Tumpat yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar telah membawa usul khas ke Parlimen bagi membincangkan perkara itu, tetapi ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di dalam kamarnya.
Keputusan Parlimen menolak usul itu amat mengejutkan seluruh rakyat negara ini, memandangkan usul tersebut bukanlah perkara kecil. Ia dibawa ke Parlimen dengan niat suci bagi membincangkan hukuman yang penuh dengan kezaliman itu demi kepentingan umat Islam yang sedang ditindas oleh mereka yang juga mengaku beragama Islam, tetapi bertuankan orientalis Barat yang tidak senang dengan kebangkitan umat Islam di dunia ini.
Penolakan usul itu turut menyebabkan rakyat negara itu tertanya-tanya, mengapa Parlimen Malaysia begitu pasif dan penakut, khususnya kepada Amerika Syarikat, sehingga isu sebesar itu juga tidak menarik perhatian Parlimen Malaysia, sedangkan negara Barat sendiri turut menunjukkan sensitiviti mereka terhadap perkara itu.
Tindakan itu tentunya amat memalukan negara ini kepada negara-negara lain. Lebih mengaibkan lagi apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin kerajaan Umno-BN turut diam seribu bahasa dalam perkara itu, seolah-olah kejadian yang berlaku itu tidak memberikan sebarang makna kepada mereka, walaupun mereka mengaku beragama Islam.
Ahli Parlimen Eropah bantah Tindakan para pemimpin Umno-BN itu amat berbeza berbanding Ahli-ahli Parlimen Eropah yang turut tampil mengkritik tindakan rejim kudeta Mesir yang menjatuhkan hukuman mati terhadap 529 rakyat mereka sendiri yang majoritinya penyokong Presiden Mesir yang sah, Dr Mohamed Morsi.
Kritikan itu diberitakan dikemukakan secara berdepan oleh mereka kepada Menteri Luar Mesir, Nabil Fahmy ketika beliau hadir berucap pada Suruhanjaya Hubungan Antarabangsa Parlimen Eropah di Brussels pada 1 April lalu.
Antara mereka yang membuat kritikan itu termasuklah wakil Portugis di Parlimen Eropah, Mario David yang bertanya kepada Fahmy bagaimana seorang calon presiden (Abdul Fatah Al-Sisi) boleh bertindak sedemikian, manakala beratusratus orang yang lain pula telah dijatuhkan hukuman mati.
Selain itu, ahli Parlimen Sepanyol, Jose Ignacio Salafranca pula dalam kritikannya turut menegaskan, tindakan Abdul Fatah Al-Sisi itu bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, tetapi turut melanggar hak asasi manusia yang sepatutnya menjadi kunci kepada kestabilan politik dalam peralihan kuasa di Mesir.
Malaysia negara Islam contoh Sekiranya para pemimpin Umno-BN bermaruah, kritikankritikan Ahli-ahli Parlimen Eropah mengenai perkara itu pasti dirasakan sebagai satu tamparan yang amat hebat kepada mereka, lantaran perbezaan sikap mereka sendiri berbanding Ahli-ahli Parlimen terbabit dalam perkara itu.
Dalam Islam, setiap umat Islam adalah bersaudara, manakala kepada yang bukan Islam pula ditegah sama sekali dizalimi. Namun bagaimanakah sikap para pemimpin Umno- BN berhubung kezaliman yang dilakukan oleh pihak-pihak terbabit ke atas umat Islam di Mesir itu.
Di tengah kelantangan para pemimpin Umno-BN mengatakan Malaysia kononnya sebagai negara Islam contoh, yang kononnya hasil dari kejayaan mereka melaksanakan dasardasar yang Islamik seperti yang dituntut dalam Islam, mereka langsung tidak menunjukkan sikap sebenar sebagai orang Islam pada diri mereka dalam hal ini, dengan ciri-ciri semangat persaudaraan Islam seperti yang dituntut oleh Allah.
Sebaliknya, mereka ternyata amat takut kepada Amerika Syarikat untuk bertindak seperti yang sepatutnya, sehingga melupakan ketakutan kita yang sebenarnya hanyalah kepada Allah SWT.
Dengan itu juga, tidaklah menghairankan jika selama ini mereka enggan mengiktiraf Hamas di Palestin yang juga menang secara sah dalam pilihan raya, sebaliknya turut bersekongkol dengan Amerika Syarikat mengiktiraf Fatah yang kalah sebagai kerajaan di bumi umat Islam yang penuh dengan kezaliman Zionis Yahudi Israel itu, sehingga menyebabkan umat Islam di Palestin tidak terbela sejak dulu hingga kini.
Begitulah sikap sebenar yang patut mereka tunjukkan sebagai umat Islam? Begitukah sikap yang patut ditunjukkan oleh mereka yang kononnya selaku pemimpin negara umat Islam yang layak dijadikan ikutan oleh negara-negara umat Islam lain di dunia ini?
Sedangkan dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. dijelaskan bahawa umat Islam itu laksana satu tubuh badan, apabila sakit satu anggota akan menyebabkan anggota yang lain turut berasa sakit dan samasama berjaga malam.
Sikap Umno-BN terhadap umat Islam Rohingya Selain itu, keanehan sikap para pemimpin kerajaan Umno-BN turut terserlah dalam isu umat Islam Rohingya di Myanmar. Disebabkan kezaliman yang amat ketara serta kempen penghapusan etnik yang dilakukan oleh pihak pemerintah di negara itu, umat Islam Rohingya yang dahulunya berjumlah puluhan juta orang, kini hanya tinggal ratusan ribu orang sahaja lagi.
Meskipun kejadian yang berlaku itu hanya tidak jauh dengan Malaysia berbanding di Mesir dan Palestin, para pemimpin Umno-BN juga sanggup memejamkan mata begitu sahaja.
Pada hal masalah Rohingya bukan baharu. Malah, masalahnya sama juga seperti Palestin yang telah pun wujud puluhan tahun lalu. Perbuatan kejam pihak pemerintah dan penganut Buddha ke atas umat Islam Rohingya telah bemula dari 1784. Apa yang berlaku di Rakhine Myanmar dan apa yang dilalui oleh etnik Rohingya merupakan satu kekejaman yang tidak dapat dibayangkan, rogol, bunuh, sembelih berlaku setiap masa.
Mereka ibarat pendatang di tanah air sendiri. Hak-hak mereka termasuk tanah-tanah mereka dirampas, masjid-masjid dan rumah-rumah dibakar, anak-anak dan wanita dibunuh dengan kejam oleh Rakhine Buddhist. Apakah keangkuhan Myanmar itu boleh dibiarkan begitu sahaja?
Dalam situasi ini, negaranegara anggota ASEAN yang turut dianggotai Malaysia sememangnya perlu memikirkan semula prinsip tidak campur tangan (non-interference principle) yang diamalkan ASEAN demi menzahirkan semula sifat kemanusiaan di kalangan mereka.
Negara-negara anggota ASEAN termasuk Malaysia mungkin tidak boleh menentukan perubahan undang-undang domestik untuk Myanmar, tetapi mereka perlu membuat keputusan untuk menggesa Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) agar mengambil tindakan berkesan terhadap isu pembersihan etnik itu, memandangkan tindakan Myanmar itu jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa.
Walaupun mungkin tidak mahu campur tangan, Malaysia setidak-tidaknya harus proaktif menggesa negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk berada di barisan hadapan memberikan tekanan ke atas rejim Myanmar untuk berhenti daripada melakukan pembunuhan dan penghapusan etnik Rohingya.
Sekiranya ASEAN sendiri gagal menyelesaikan konflik pembunuhan itu, siapakah yang bertanggungjawab untuk menghentikan pembunuhan dan penghapusan etnik itu jika tidak umat Islam sendiri. Jika Malaysia tidak membantu, siapakah lagi yang akan menyuarakan perkara itu bagi membela sesama umat Islam?
Namun sehingga kini, apakah yang telah dilakukan oleh para pemimpin kerajaan Umno-BN dalam membela sesama umat Islam itu? Malah sejak dulu hingga kini, para pemimpin Umno-BN sendiri juga diam seribu bahasa dalam isu Rohingya. Jadi, adakah para pemimpin kerajaan Umno-BN peka dengan derita sesama umat Islam di rantau ini dan di dunia ini?
Sebagai umat Islam, kita sememangnya tahu, tidak sempurna iman seorang Muslim jika dia tidur dalam kekenyangan sedangkan jiranya kelaparan.
Namun para pemimpin kerajaan Umno-BN setiap malam lena diulit mimpi, sedangkan jiran kita di Myanmar yang seagama dengan kita diseksa setiap hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan