SIBU: Kerajaan perlu memberi penjelasan sewajarnya berhubung pengurangan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada sepatutnya kepada sesetengah penerima.
Ini kerana, pengurangan jumlah bayaran daripada dijangkakan oleh penerima bantuan itu dikhuatiri boleh memberi salah faham terhadap usaha murni kerajaan.
Seorang penerima BR1M 3.0, Tinggi Besh memberitahu, dia agak kecewa kerana menerima bayaran yang kurang daripada yang dijangkakannya pada tahun ini.
"Pada BR1M tahun lalu, saya menerima bayaran RM500. Oleh itu, pada BR1M 3.0 ini saya menjangkakan akan menerima bantuan sebanyak RM650.
"Namun apa yang berlaku, saya diberitahu hanya akan menerima bantuan sebanyak RM450," katanya di sini semalam.
Menurut Tinggi, dia tidak pasti mengapa bayaran BR1M itu dikurangkan tahun ini kerana dia menjangkakan menerima bantuan sebanyak RM650 secara automatik.
Dia memberitahu, pendapatan bulanannya sebagai seorang mekanik di sebuah syarikat swasta di sini juga tidak mencecah RM2,000 sebulan termasuk upah kerja lebih masa.
"Saya telah pergi ke pejabat LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) di sini kelmarin dan pagi semalam bagi mendapatkan penjelasan," ujarnya yang kurang berpuas hati dengan sebab yang diberikan.
Tinggi berkata, tiga rakannya turut mengalami nasib yang sama iaitu menerima bantuan BR1M yang kurang daripada apa yang mereka jangkakan.
Sementara itu, Tuai Rumah Unjah Besh berkata kerajaan seharusnya memaklumkan kepada penerima bantuan berhubung pengurangan bayaran itu terlebih dahulu.
"Sepatutnya penerima bantuan harus dimaklumkan sebelum ini mengenai perkara itu, terutama bagi yang jumlah bantuannya dikurangkan.
"Jangan menunggu saat-saat akhir kerana ia hanya akan mengecewa dan mengejutkan ramai penerima bantuan," katanya sambil menambah penerima bantuan sebanyak RM500 sebelum ini pasti menjangkakan akan menerima RM650 secara automatik.
Sekiranya bayaran BR1M itu dikurangkan, kerajaan melalui LHDN harus memaklumkan atau memberi sebab yang munasabah kepada penerima agar penerima berasa tidak tertipu.
"Apabila perkara seperti itu berlaku, akan memberi implikasi negatif kepada kerajaan walaupun usaha kerajaan memberikan BR1M itu sesuatu yang baik," jelas Unjah.
Keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan layak menerima bantuan BR1M sebanyak RM650 sementara mereka pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan menerima bantuan sebanyak RM450.
Individu bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan layak menerima bantuan BR1M sebanyak RM300.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan