Selasa, 4 Februari 2014

BLOG - BLOG PARTI UMNO

BLOG - BLOG PARTI UMNO


HAMIM Ledang

Posted: 04 Feb 2014 03:06 AM PST

HAMIM Ledang


Program Eksekutif Halal

Posted: 04 Feb 2014 12:43 AM PST

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera.

Saya amat berharap agar pembangunan modal insan, kepakaran dan kemahiran dalam industri halal akan terus dipertingkatkan dalam suasana yang lebih berdaya saing. Industri halal bukan sahaja mengenai produk, bahkan ianya merangkumi pembangunan modal insan yang berpengetahuan terhadap hukum syarak dan aplikasi halal dalam proses dan cara kerja.
Majlis Konvokesyen Program Wksekutif Halal ke-3, Bangunan MATRADE Kuala Lumpur

          Dengan adanya pembangunan modal insan yang baik,ia dapat membantu pengeluar-pengeluar produk dan pembekal perkhidmatan halal menggunakan pendekatan yang tepat terutamanya dalam meningkatkan kualiti pengeluaran melalui amalan pengilangan terbaik untuk lebih berdaya saing dalam pasaran global.

Pasaran halal global yang dianggarkan melebihi AS$2.3 trilion setahun menyediakan peluang-peluang yang harus direbut oleh rakyat Malaysia. Selain memenuhi keperluan penduduk beragama Islam seluruh dunia yang dianggarkan berjumlah 2.0 bilion, pasaran halal juga turut  menarik minat pengguna bukan Islam dengan ciri-ciri seperti makanan yang berkhasiat, kaedah penyediaannya yang selamat dan hasilnya yang bermutu tinggi. Ini berikutan peningkatan kesedaran konsumer terhadap produk halal yang senonim dengan produk yang selamat, berkhasiat dan lebih bersih, iaitu suci.

Secara menyeluruh, industri Halal mempunyai potensi pasaran yang lebih besar iaitu bagi memenuhi permintaan lebih daripada 6 bilion pengguna sedunia. Ini amat menggalakkan dan kita harus bersedia untuk merebut peluang-peluang yang sedia ada untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

Dalam pelaksanaan program-program untuk membangunkan industri halal, pelbagai usaha dan pendekatan diambil oleh Kerajaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai industri halal serta peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan. Industri halal merangkumi pelbagai sektor termasuklah perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan sokongan seperti pembangunan standard halal, latihan dan perundingan halal, pembangunan dan penyelidikan halal (R & D) serta pembangunan teknologi dan inovasi halal. Menerusi perkembangan aktiviti-aktiviti berkaitan halal ini Malaysia adalah sebuah negara yang ideal untuk dinobatkan sebagai Hab bagi produk dan perkhidmatan halal global serta Pusat Rujukan Halal Dunia mengenai pengetahuan dan ilmiah bekaitan integriti halal.

Kerajaan juga sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan bagi membantu dan memenuhi segala keperluan pengeluar dan pengusaha industri halal. Pada tahun 2013, sebanyak 755 Pekerja Berkemahiran Halal diwujudkan melalui inisiatif Pembangunan Bakat Halal. Pekerja Berkemahiran Halal adalah di kalangan profesional termasuk pengurus, eksekutif, juruaudit, penyembelih, pegawai dan lain-lain. Daripada jumlah tersebut, 67% daripada pelatih adalah daripada sektor pembuatan, 14% adalah dari sektor perkhidmatan, 12% adalah dari universiti-universiti dan selebihnya datang daripada sektor awam.

Pekerja Berkemahiran Halal adalah penting dalam pembangunan ekonomi Halal terutamanya dalam mengukuhkan integriti sepanjang rantaian nilai Halal. Pada tahun 2012, JAKIM telah mensyaratkan keperluan sekurang-kurangnya 2 Pekerja Berkemahiran Halal di setiap syarikat yang diluluskan Sijil Halal Malaysia. Sehingga hujung tahun 2013, hanya terdapat 1,000 Pekerja Berkemahiran Halal di dalam industri halal negara. Peluang-peluang pekerjaan dalam industri ini dijangka meningkat dengan peningkatan inisiatif dan program-program oleh pelbagai agensi Kerajaan. Permintaan bagi pekerja Berpengetahuan Halal pada tahun 2014 disasarkan seramai 2,000 pekerja dan dijangka berkembang kepada keperluan lebih daripada 36,000 pekerja pada tahun 2020.

Dalam arus pembangunan ekonomi Negara, industri Halal juga telah banyak menyumbang kepada peningkatan dalam pembangunan industri, perdagangan dan pembangunan modal insan. Kemahiran dan pengalaman Malaysia dalam menerajui dan membangunkan industri Halal sejak lebih 40 tahun yang lalu telah menarik perhatian dari pelbagai pihak dan negara luar. Ini telah memberi impak terhadap pembangunan industri Halal negara dan negara luar seperti Korea, Jepun dan China yang merujuk kepada Malaysia untuk mempelajari pelbagai aspek pembangunan industri halal. Kerjasama bersama negara lain akan ditingkatkan secara berterusan bagi memperluaskan pasaran produk halal yang berkualiti di persada antarabangsa.

HDC sebagai agensi pembangunan industri halal di bawah MITI memberi tumpuan kepada perspektif ekonomi supaya dapat menyumbang kepada KDNK negara. Pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan untuk mempertingkatkan sumbangan industri Halal kepada pembangunan ekonomi Negara. Setakat suku ke 3 tahun 2013, terdapat sebanyak 3,705 buah syarikat  telah diluluskan Sijil Halal Malaysia oleh JAKIM berbanding 3,304 pada suku yang sama dalam tahun 2012 dan sebanyak 779 pengeksport Halal telah dikenalpasti. Syarikat-syarikat ini menghasilkan lebih daripada 180,000 produk Halal.


Bagi tempoh Januari sehingga September 2013, eksport Halal negara berjumlah RM24 bilion (peningkatan sebanyak 1.4% berbanding dengan suku yang sama tahun lepas) menyumbang 4.6% kepada jumlah eksport negara. Sektor makanan dan minuman merupakan penyumbang utama (40.8%) diikuti oleh ingredien (32.2%), bahan-bahan minyak sawit (14.4%), kosmetik dan penjagaan diri (6.2%), kimia perindustrian (5.2%) dan farmaseutikal (1.1%). Negara- China, Singapura, Amerika Syarikat, Indonesia dan Jepun kekal sebagai destinasi eksport utama bagi barangan Halal Malaysia. Adalah dijangka jumlah eksport halal akan mencecah melebihi RM 30 bilion bagi keseluruhan tahun 2013. 

          Setakat Disember 2013, pelaburan sejumlah RM8.6 billion telah diluluskan bagi projek-projek pengeluaran produk Halal seperti makanan yang diproses, ingredien halal dan farmaseutikal. Antara pelaburan utama yang diluluskan termasuk Kellogg Asia Products Sdn. Bhd. bernilai RM402 juta; Cargill Palm Products Sdn. Bhd. bernilai RM257 juta dan Adeka Foods Sdn. Bhd. bernilai RM129 juta. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan amat komited dan sentiasa melipatgandakan usaha dalam pembangunan industri. Kita harus merebut peluang-peluang yang terdapat dalam industri yang berpotensi besar dari segi perniagaan dan peluang-peluang pekerjaan.

Program Eksekutif Halal adalah salah satu usaha berterusan Kerajaan di mana ia merupakan langkah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan-graduan institusi pengajian tinggi. Di samping itu, penyediaan graduan berkemahiran dan berpengetahuan dalam halal dapat mengimbangi usaha-usaha kami ke arah pembangunan industri halal yang bernilai tinggi. Program-program pembangunan kapasiti dan keupayaan usahawan akan sentiasa dipertingkatkan kepada tahap pengeluaran yang lebih berinovatif menerusi pembangunan dan penyelidikan.

Program seperti ini perlu diteruskan untuk meningkatkan bilangan pekerja berpengetahuan halal atau HKW (Halal Knowledge Workers) seperti yang disyaratkan oleh JAKIM dalam meluluskan Persijilan Halal Malaysia. Dalam pada itu, HKW dapat merancakkan industri halal dunia dengan memenuhi keperluan tenaga kerja berpengetahuan dalam halal dan membuka peluang pekerjaan di syarikat-syarikat di luar Malaysia yang mengamalkan sistem Halal Malaysia.

HDC telah memainkan peranan yang amat berkesan dalam melatih HKW melalui program HEP. Oleh itu adalah menjadi satu keperluan kepada Negara agar HDC diberi mandat untuk menerajui Program Pembangunan Modal Insan Halal atau HTDP (Halal Talent Development Program) yang menyokong hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal Dunia yang terkemuka. HDTP akan memberi fokus kepada penyediaan tenaga kerja yang membolehkan perlaksanaan perkhidmatan berkaitan Halal menerusi pembangunan modul halal di institusi pengajian tinggi dan institusi latihan profesional. HDC akan mengambil peranan khusus untuk membangunkan modal insan yang diiktiraf oleh pihak industri di peringkat domestik dan antarabangsa.

Sesungguhnya, usaha jalinan kerjasama di antara  HDC dan Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), KFCH International College, Kolej UNITI, Politeknik METro serta UiTM Kota Bharu ini adalah bertepatan serta selaras dengan dasar Kerajaan untuk membangunkan industri halal negara. Adalah diharapkan agar ramai lagi pakar berkemahiran dalam industri halal dapat dilahirkan. Ini seterusnya mewujudkan kelompok modal insan yang berpengetahuan dan menguasai kepakaran dalam industri halal serta mampu mengukuhkan integriti halal.

Saya juga menaruh harapan besar agar program Eksekutif Halal ini akan dapat menjadi pemangkin bagi menyediakan peluang-peluang pekerjaan bertaraf profesional untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju pengeluar produk serta perkhidmatan halal yang bermutu tinggi. Dalam masa yang sama, kemajuan industri halal tempatan juga dapat menyumbang kepada usaha Kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua graduan Program Eksekutif Halal yang menj
adi kebanggaan kesemua ibu-bapa dan juga Negara. Insyaallah, dengan berkat Illahi, mudah-mudahan, dapat kita semua mencapai kesepakatan dan menyumbang kepada kejayaan dalam membangunkan industri halal negara. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan