SHAH ALAM 24 NOV: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pindaan perlembagan baru parti itu memberi kuasa mutlak kepada setiap anggotanya untuk memilih pimpinan pada pemilihan parti itu akan datang.
Berucap merasmikan kongres khas KEADILAN di Shah Alam hari ini, beliau berkata, KEADILAN adalah parti pertama di Malaysia melaksanakan pemilihan secara terus oleh ahli, iaitu satu ahli satu undi.
"Kendati begitu, kita juga menerima serangan manakala terdapat kelemahan dalam proses awal pemilihan.
"Perlembagaan baru memberikan kuasa mutlak kepada setiap anggota memilih dengan bebas. Maka adalah diandaikan bahawa anggota cukup terlatih dengan idealisme perjuangan. Ini adalah untuk memastikan calon yang diamanahkan jujur kepada kewajiban dan tidak dipengaruhi sogokan atau ugutan," ujarnya.
Katanya, tindakan keras akan diambil kepada mereka yang melanggar etika parti termasuk perbuatan rasuah dalam pemilihan parti yang akan berlangsung tahun depan.
"Etika pemilihan dan calon akan dipantau dengan lebih keras dan teliti. Seseorang yang terlanjur, melanggar prinsip luhur perjuangan atau terlibat dalam kegiatan rasuah dan ugutan akan tersingkir dari menjadi calon," katanya.
Katanya, pindaan itu antara lain turut dilakukan bagi memperkasa fungsi wanita sehingga 30% dalam peringkat pembuat keputusan yang melibatkan kepentingan semua.
"Fasal 5.14 mengiktiraf martabat wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat, memastikan wanita bebas daripada diskriminasi dan eksploitasi serta mencapai kepimpinan membuat keputusan sekurang-kurangnya 30% demi memastikan hak dan kepentingan mereka terpelihara," katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56789
Tiada ulasan:
Catat Ulasan