Keadilandaily
Belum pernah jalan perjuangan untuk menawan Putrajaya secerah sekarang, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memetik kata-kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
"Saya masih ingat perbincangan dengan Tok Guru Nik Aziz. Kata beliau, setelah begitu lama dalam perjuangan, belum pernah nampak jalan menawan Putrajaya secerah ini, Insya-Allah. Ini doa, mudah-mudahan berhasil.
"Maka, dengan itu saya ulang. Sama ada pilihan raya Disember ini atau awal tahun depan, insya-Allah kita tawan Putrajaya," katanya disambut sorakan semangat.
Berucap depan kira-kira 40,000 orang pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan semalam, Anwar berkata, Pakatan mahu membawa negara ke arah lebih baik, bukan sekadar menggantikan Umno BN.
"Tapi orang tanya untuk apa? Sekadar ganti ketua menteri, perdana menteri, ganti parti memerintah? Untuk anjakan kepada sistem nilai, fahaman etika dan tatakelola kerajaan," katanya.
Beliau kesal kerajaan pemimpin Umno BN tiada keberanian berhadapan 'tauke-tauke' besar menyebabkan kekayaan negara berlegar di kalangan individu tertentu sahaja.
Turut berucap ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pemimpin Kanan DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS merangkap Pengarah Program, Mohamad Sabu.
Ia ialah program kedua selepas siri Himpunan Kebangkitan Rakyat dilancarkan di Taman Seremban Jaya Negeri Sembilan 2 November lalu.
Program bermula jam 5 petang dengan acara Ekspresi Anak Muda yang diwarnai persembahan kebudayaan dan ucapan pimpinan muda Pakatan.
Konvoi motosikal dari NGO R untuk Royalti yang bergerak dari beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) tiba jam 4.15 petang.
Antara persembahan menarik perhatian hadirin di luar stadium ialah tarian Sewang dari orang Asal Kuala Betis dan gendang Siam dari penduduk Tumpat.
Artis, Abby Abadi pula penceritakan pengalamannya bersama PAS dan Pakatan Rakyat. Sham Kamikaze pula menunjukkan kemahiran memetik gitar dengan memainkan dua lagu.
Tiba senja, hadirin kian ramai dan mula memasuki stadium untuk solat Maghrib, solat Hajat dan Isyak berjemaah, sebelum mengambil tempat di tengah padang atau di tempat duduk stadium.
Acara malam dimulai ucapan wakil badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Himpunan Hijau, Bersih 2.0, R untuk Royalti dan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).
Ia diikuti pidato pimpinan tertinggi Pakatan dimulai Pemimpin Kanan DAP, Lim Kit Siang; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Hadirin mengibar bendera kuning, hijau, oren dan merah pada satu-satu masa turut mewarnai lagi program malam tadi.
Tetamu dari Makah, Syeikh Dr Tahir al-Jaelani turut memberi ucapan dan diterjemah Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub manakala wakil Syria meminta rakyat mendoakan pejuang di negera mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan