50 pekerja nyaris maut
PAKA - Seramai 50 pekerja di tapak binaan di kawasan industri minyak dan gas dekat sini, berdepan detik cemas setelah mengalami sesak nafas dipercayai terhidu gas ammonia yang bocor.

Kejadian dipercayai berlaku lebih kurang jam 8.15 pagi, ketika kira-kira 100 pekerja sebuah syarikat kontrak di kawasan industri petrokimia Petronas dekat Kerteh, Paka melakukan kerja teknikal.

Beberapa pekerja dikatakan secara tiba-tiba mengalami sesak nafas, pening, loya selain muntah-muntah dan terdapat beberapa pekerja turut pengsan.

Sebaik menyedari kejadian terbabit, semua pekerja diarahkan berpindah ke lokasi lain termasuk ada yang menyelamatkan diri masuk ke dalam bangunan sebelum mangsa dipindahkan secara berperingkat ke lokasi lain yang difikirkan selamat.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka, Klinik Kesihatan Rantau Petronas serta Hospital Dungun dengan ambulans dan kenderaan persendirian.

Sehingga jam 2 awal pagi semalam, lebih 20 mangsa menerima rawatan di Hospital Dungun, dua daripadanya, Mohd Zawawi Lokman, 26, dan Mohd Sarjun Abdullah, 48, terpaksa ditahan di wad Hospital Dungun untuk rawa-tan lanjut, manakala yang lain dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.

Sehingga jam 8 pagi semalam, semua mangsa yang terlibat dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan dan sehingga jam 9 pagi semalam, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkenaan berkaitan insiden yang disifatkan kes terpencil itu.


Pintu pagar berkunci

"Ketika menyedari ada sesuatu yang tidak kena, saya dan rakan terus keluar dari bangu-nan untuk menyelamatkan diri, namun kami tidak dapat keluar kerana pintu pagar yang dikunci," kata salah seorang mangsa yang dipercayai terhidu gas beracun di kawasan industri petroleum dan gas dekat Paka, Kerteh, Shahrul Fitri Mohmmad, 21, malam kelmarin.

Ketika kejadian Shahrul Fitri dikatakan baru memulakan tugasnya sebelum tiba-tiba berasa pening lalu sesak nafas.

Menurutnya, menyedari keadaan yang tidak selamat itu, dia cuba menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam bangunan, namun dia bersama rakan lain diarahkan keluar semula dan mencari lokasi lain yang lebih selamat.

"Kami cuba untuk keluar daripada kawasan tersebut, namun keadaan pintu pagar utama yang berkunci menghalang kami berbuat demikian. Bagaimanapun, setelah arahan dikeluarkan pihak atasan, pintu pagar mula dibuka dan kami bergegas keluar untuk menyelamatkan diri," katanya.

Kata Shahrul Fitri, dalam keadaan cemas itu, dia sempat melihat beberapa rakan sekerjanya tiba-tiba tidak bermaya dan lebih teruk ada yang pengsan.

"Saya bersyukur kerana selamat, namun tragedi yang berlaku ini amat mengejutkan saya," katanya yang baru sebulan bekerja di kawasan berkenaan.


Mangsa loya, muntah

Mangsa gas beracun, Mohd Saiful Rizal Saidin, 24, memberitahu, dia mengalami rasa loya lalu muntah beberapa kali sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, ketika itu, dia mendengar ada pengumuman supaya semua pekerja yang berada di lokasi berpindah ke tempat lain kerana ada kecemasan.

"Tiba-tiba, kepala saya rasa pening lalu terus muntah. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana terselamat dalam tragedi tidak diduga itu," katanya yang sudah setahun bekerja di syarikat berkenaan.


Pemimpinn Pas ziarah mangsa

Tragedi kebocoran gas beracun yang hampir meragut nyawa lebih 50 pekerja kontrak di kawasan Industri Petroleum dan Gas dekat Paka Kerteh turut mendapat reaksi segera daripada beberapa pemimpin politik.

Sebaik menerima maklumat berkaitan kejadian terbabit, rombongan beberapa pemimpin Pas Kawasan Dungun diketuai Yang DiPertua Pas Kawasan, Wan Hassan Mohd Ramli meluangkan masa hampir satu jam bertanya khabar keadaan mangsa, selain mendoakan agar kesemua yang terlibat kembali stabil selepas melalui detik mencemaskan itu.

Hadir sama, beberapa pemimpin Pas lain termasuk Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan, Satiful Bahari Mamat dan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan, Azman Shapawi Abdul Rani.


Bomba kerah dua jentera

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba negeri Roslan Mat Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.30 malam.

"Dua jentera bersama lapan anggota dan pegawai dikerahkan ke tempat kejadian bagaimanapun pihak bomba gagal mengesan kebocoran gas di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata pihak bomba percaya gas ammonia tersebut adalah dipercayai bawaan angin, namun mereka masih memantau keadaan di loji terbabit untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sementara itu, Petronas menafikan kejadian pelepasan ammonia berpunca dari mana-mana lojinya di Kompleks Industri Petroleum Petronas di Kerteh.

Menurut kenyataan Pejabat Wilayah Pantai Timur Petronas Kerteh, pihak berkuasa masih menyiasat insiden itu.

Adalah dipercayai pelepasan gas tersebut berlaku di sebuah loji lain yang tiada kaitan dengan syarikat petroleum negara itu.

Kejadian itu melibatkan 23 kakitangan kontraktor, Hyundai PFCE, yang sedang menjalankan kerja menyenggara di loji Petronas, terhidu gas itu sehingga menyebabkan mereka dihantar ke beberapa pusat perubatan di Kerteh, Dungun dan Kuala Terengganu.

Sehingga tengah hari tadi, 22 daripada mereka telah dibenarkan pulang dan pihak Petronas telah menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terlibat.

Menurut kenyataan itu, keadaan di kawasan loji Petronas adalah terkawal dan selamat serta pihak syarikat telah mengambil segala langkah-langkah kawalan yang diperlukan.