19 MAC — "Sometimes, the real success of a school is in the shy child who bloomed and became a community leader, the artist who transformed a city centre, the needy child who found a positive role model, or the quirky kid whose creativity later led to a medical breakthrough." — William Mathis
Laporan Perkembangan Dunia (UNDP 2010) meletakkan Korea Selatan di kedudukan 12, Hong Kong (21), Singapura (27), Brunei (37) dan Malaysia pada kedudukan 51 untuk tahap perkembangan manusia.
Bidang pendidikan menurut ekonomi terbahagi kepada tiga. William Mathis menyatakan yang pertama adalah "unitheoryia", visi yang cenderung melihat pendidikan sebagai komoditi pasaran bebas. Penswastaan diperkenalkan sebagai pilihan menambahbaik kualiti sekolah. Dalam peringkat yang lebih tinggi ia menerangkan sifat kemanusiaan dan pelakuan sosial yang berasaskan "self-interest" berdasarkan persaingan. Persaingan global yang dipaksa bergantung kepada hanya beberapa skor standard adalah sebahagian dari simptom "unitheoryia" ini.
Ini dapat dilihat jika perbandingan ranking university yang dibuat menerusi QS World University Ranking 2011/2012. Kedudukan University Malaya (UM) 167 dari 207 (naik 40 anak tangga), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 279 dari 263 (turun 16 anak tangga), Universiti Sains Malaysia (USM) 335 dari 309 (turun 26 anak tangga) serta Universiti Putra Malaysia (UPM) 358 dari 319 (turun 39 anak tangga).
Kedua, "measuremyiopia" iaitu petunjuk karakteristik yang mudah diukur dan dipercayai. Petunjuk ekonomi tradisional selalunya adalah wang. Ramai penyelidik misalnya menggunakan skor ujian yang standard untuk meneliti pencapaian sekolah. Penyelidik yang terpengaruh dengan "measuremyiopia" kadangkala menggunakan sebarang data yang boleh diukur, sehingga data kedatangan juga diambilkira.
Contohnya terdapat perbandingan bahawa setiap seorang dari 4 rakyat Malaysia tidak menamatkan pendidikan menengah di antara 2001 dan 2009. Peratus rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan pendidikan menengah pula adalah 68.7 peratus, berbanding Korea Selatan (96.4 peratus), Hong Kong (75.2 peratus) serta Brunei (88.2 peratus).
Ketiga, "regressonia" iaitu pendekatan korelasi berdasarkan bagaimana pembolehubah berubah antara satu sama lain. Pendekatan ini menuntut model statistik untuk memahami sekolah. Pelbagai teknik "regresi linear" seperti "beta weights", "dummy variables" dan model hierarki untuk memberi pandangan impresif mengenai kebenaran boleh didapati melaluinya.
Menariknya di dalam makalah kecil bertajuk "Beware of economist bearing education reform" itu, Mathis mengingatkan tiada satu pun pembolehubah yang digunapakai boleh diklasifikasikan sebagai petunjuk yang baik terhadap apa yang patut diukur. Sebagai contoh menurutnya, skor ujian hanyalah sebahagian kecil dari sekolah, selain senioriti bukanlah petunjuk yang baik untuk mengukur kemahiran mengajar.
Di negara ini, Kementerian Pelajaran Malaysia bertungkus lumus menyediakan 1,001 kemudahan serta aplikasi yang terbaik buat rakyatnya. Model seperti MBMMBI, LINUS, KSSR dan KSSM atau Sekolah Kluster bukan sesuatu yang asing buat masyarakat. Walaubagaimanapun, masih wujud keadaan di mana terdapat murid-murid yang tidak bernasib baik tercicir dari sistem yang diiktiraf antara terbaik di dunia ini. Maka timbul persoalan, mengapakah sistem yang baik ini masih tidak mampu menyediakan sebuah persekitaran sama rata di antara setiap murid yang berada di sekolah?
Jawapannya adalah peluang. Ketika Teach For The Needs ditubuhkan, kami hanya membayangkan bagaimanakah sebuah masyarakat dapat dibangunkan jika setiap murid yang hadir ke sekolah diberikan peluang yang sama rata. Realitinya di Malaysia, murid yang memerlukan ini berada di mana-mana. Murid kelas corot, anak yatim serta mereka yang datang dari keluarga miskin bukan hanya terdapat di kampung atau kawasan pedalaman, tetapi juga di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur. Murid seperti ini, tidak mampu membayar kos kelas tusyen sebagaimana rakan mereka yang lebih bernasib baik.
19 Mac 2012 ini, sekumpulan guru muda akan memulakan program kelas percuma untuk anak-anak yang memerlukan merangkumi tiga golongan yang disebutkan di atas. Untuk ambilan pertama, sekolah yang terlibat merentas Kuala Lumpur sehingga ke pedalaman tahap 3 di Sarawak iaitu; SK Wangsa Maju, KL, SK Taman Midah 2, Cheras, SK Ubai, Pekan, SK Jalan Hang Tuah 2, KL, SK Jugra, Banting, SK Labang, Sebauh, SK Sungai Setiam, Bintulu, SK Bukit Mawang, Bintulu, SK Fateh Abdul Samad, Kuantan, SK Satak, Raub, SK Long Semadoh, Lawas, Sarawak, SK Abang Abdul Rahman, Saratok, Sarawak serta SK Kampung Luak, Miri.
Menariknya, kesanggupan 13 orang duta Teach For The Needs bekerja sukarela tanpa mengharapkan insentif ini menjadi anti-tesis terhadap skeptik masyarakat mengenai guru. Pengalaman kurang dari tiga tahun tidak membataskan mereka untuk meluangkan masa sekitar 3 ke 4 jam seminggu untuk membantu murid kelas corot menghadapi peperiksaan UPSR sehingga Oktober 2012 nanti. Selain cabaran mengajar kelas corot, guru muda ini juga berdepan cabaran mengubah persepsi masyarakat terhadap guru dan seterusnya terhadap sistem pendidikan nasional.
Ruang yang lebih besar akan wujud sekiranya 13 guru muda ini mampu menjadi "role model" buat murid yang memerlukan ini. Sekiranya mereka berjaya menarik minat murid untuk belajar dan seterusnya berjaya, mitos ekonomi mengenai "lingkaran syaitan" yang selama ini membelenggu masyarakat kelas bawah akan dapat dihapuskan. Lebih besar dari itu, masalah sosial secara tidak lansung akan dapat diatasi.
Malah perkara yang lebih menarik adalah, melalui Teach For The Needs juga masyarakat boleh berganding bahu dengan guru untuk menyelesaikan masalah ketidakadilan sistem pendidikan yang sedang kita hadapi kini. Ketika guru muda kita menderma lebih 4 jam seminggu untuk membantu murid yang memerlukan ini, masyarakat boleh turut sama menderma tenaga serta idea untuk membantu para guru tersebut.
Sehingga kini, kami di Teach For The Needs sedang merangka untuk membekalkan majalah, surat khabar serta buku latihan percuma buat lebih 100 murid yang terpilih menyertai program ini di dalam ambilan pertama ini. Selain itu, sebuah program untuk menyokong Teach For The Needs telah berjalan pada 6 Mac 2012 yang lalu di Warwick University, Coventry, UK di bawah seliaan pelajar Malaysia di sana. Program malam akustik bertajuk Song For Friends ini khas untuk memperkenal serta menyatakan sokongan terhadap Teach For The Needs. Lebih dari 60 orang hadir dengan jumlah peserta yang membuat persembahan bertemakan "Dari Melaka ke United Kingdom" itu mencecah 10 orang.
Ini adalah sebahagian dari contoh bagaimana masyarakat boleh campur tangan dalam masalah pendidikan secara terus tanpa menunggu pihak kementerian menyelesaikannnya. Kritikan dan pandangan objektif adalah baik, walaubagaimanapun isu yang lebih besar sepatutnya ditumpukan terhadap bagaimana guru dan masyarakat boleh berganding bahu mencari sisi penyelesaian yang lebih konkrit.
Teach For The Needs juga terus mendapat respon yang positif. Terbaru, 13 penunggang basikal muda dari National Taiwan Sports Universiti telah menyatakan kesediaan mereka untuk turut sama mempromosi serta menyokong Teach For The Needs ketika jelajah mengelilingi Malaysia sekitar Jun 2012 nanti. Kita perlukan lebih banyak idea kreatif seperti ini untuk menyelesaikan pelbagai jenis masalah masyarakat tanpa perlu menunggu pihak berwajib menyelesaikannya.
Negara juga perlukan lebih banyak guru untuk menyertai kami di Teach For The Needs, agar lebih ramai murid yang memerlukan dapat dibimbing serta diberi peluang menerima pendidikan yang sama taraf dengan murid kelas hadapan. Walaubagaimanapun, jika anda bukan seorang guru, anda boleh menyertai kami untuk sama-sama menawarkan kritikan, tenaga mahupun idea bagaimana bantuan boleh disalurkan secara terus untuk mengurangkan beban guru yang menyertai program ini, serta menawarkan peluang pendidikan yang lebih baik buat murid yang memerlukan. Sertai kami di www.teachfortheneeds.blogspot.com atau cari kami di Facebook (Teach For The Needs).
Ekonomi memberi kesan kepada bidang pendidikan. Namun realitinya di Malaysia, masyarakat boleh menentukan samada untuk menyelesaikan masalah tersebut secara bersama, atau tidak.
"A liberal education is at the heart of a civil society, and at the heart of a liberal education is the act of teaching." — A. Bartlett Giamatti
* Zul Fikri Zamir Mohamad Munir adalah pelajar pasca-siswazah di Universiti Malaya serta Co-Founder bersama Asmidar Alias di dalam Teach For The Needs
Semakan dasar pendidikan
TAN SRI DR. NORDIN KARDI ialah Penyandang Kursi Za'ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
PENGUMUMAN oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini tentang penubuhan jawatankuasa menyemak semula dasar dan pelaksanaan pendidikan di negara ini seharusnya mengusik deria semua pihak dari orang tua hingga kanak-kanak yang sudah pandai membezakan perkara buruk dan perkara baik.
Hal ini sewajarnya demikian kerana pendidikan adalah segala-galanya bagi negara Malaysia yang aman dan makmur ini. Rekod menunjukkan bahawa pembangunan pendidikan adalah sektor kemajuan negara terbaik. Meski banyak melalui gelombang cabaran, data-data memihak kepada kenyataan bahawa sektor pendidikan berjaya cemerlang mengatasi segala pukulan gelombang tersebut berbanding upaya-upaya negara dalam sektor lain.
Pengumuman bahawa Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia yang sangat berpengalaman itu mempengerusikan jawatankuasa yang dimaksudkan sangat dialu-alukan. Saya yakin beliau akan memimpin jawatankuasa itu dengan pendekatan saintifik yang tepat bukan berpandukan semangat sahaja yang berkobar-kobar tetapi berada di awang-awangan atau atas pertimbangan tahyul-tahyul politik yang kerap membingungkan.
Sudah tentu aspek politik tidak boleh dikesampingkan kerana ia juga sebahagian daripada urat nadi kesejahteraan negara, namun semua pertimbangan politik itu hendaklah dianalisis secara saintifik berpandukan data konkrit bukan dengan buaian lagu sentimental.
Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang farmasi, Dzulkifli hendaklah menyuntik dirinya dengan ubat pelali daripada dijangkiti wabak sentimental itu. Dia hendaklah tidak melayan jelingan menikam atau suara keras anggota jawatankuasa itu nanti, tapi dengar apa isi dan maksud suaranya yang nyata dan yang tersembunyi.
Sambil mempertimbangkan praktikaliti suasana semasa Dzulkifli hendaklah tidak membelakangi dasar-dasar yang lepas sambil tidak pula taksub mempertahankannya. Untuk tujuan itu wajiblah dia meneliti dua akta penting terdahulu iaitu Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Jarak masa 35 tahun diambil bagi melaksanakan Akta Pelajaran 1961 sebelum dianya disemak berbanding Akta 1996 yang belum mencapai usia baligh 15 tahun.
Beliau hendaklah mula bermenung bermuhasabah mengapa dasar yang baharu berusia empat belas tahun itu hendak disemak?
Jawapan seperti 'dunia telah berubah dengan pantas' mungkin jawapan yang sangat memujuk dan munasabah, namun beliau hendaklah tidak terus tergoda dengan jawapan mudah, sebaliknya berpegang teguh kepada prinsip saintifik bahawa kebenaran hendaklah diselongkar dari segenap penjuru. Setelah ditemui dengan nyata dan yakin potonglah tumor, kudis atau lebihan lemak yang tidak menyihatkan tetapi jangan abaikan intan permata yang ada di dalamnya yang boleh digilap sampai berkilau.
Selain itu, Dzulkifli juga hendaklah meneliti Penyata Razak 1957 dan Ordinan Pelajaran 1957 yang merupakan hembusan roh pertama dunia pendidikan Malaysia merdeka. Akta-akta lain yang mesti diteliti juga termasuk Akta Bahasa Kebangsaan 1964, 1967 dan semakan 1971.
Demikian juga Akta Universiti dan Universiti Kolej 1975 dan semakannya 1975 dan 1996; Akta Politeknik 1974, Akta Majlis Peperiksaan 1980, Akta IPTS 555, 1996 dan Akta 556 LAN 1997.
Sudah tentu Dzulkifli juga akan dengan teliti membaca semula laporan-laporan negara mengenai pelajaran atau pendidikan yang terdahulu seperti Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Mengenai Pengajian Tinggi 1967 dan Laporan Universiti Malaya selepas 13 Mei 1970 dan Laporan Mahathir 1979.
Jawatankuasa yang akan bermesyuarat itu nanti akan menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan keberanian mengusik beberapa perkara sensitif dan sentimental tetapi amat penting untuk diteliti dalam konteks Malaysia menjadi negara bangsa dalam millenium 21 yang memerlukan kekuatan dan kepantasan luar biasa.
Malaysia, yang mempunyai tiga kategori institusi pendidikan seperti Seksyen 16 Akta Pendidikan 1996 iaitu institusi pendidikan kerajaan; institusi pendidikan bantuan kerajaan dan; institusi pendidikan swasta, mungkin boleh diibaratkan seperti sebuah kenderaan yang mempunyai beban berat dan mengganggu sistem mekanikal yang saling bercanggah untuk terbang seperti kilat di angkasa lepas. Beranikah Dzulkifli mengusiknya?
Beranikah juga nanti jawatankuasa itu menyentuh Seksyen 2 Akta Pelajaran 1996 yang antara lain di dalamnya terkandung kedudukan sekolah Cina dan sekolah Tamil, demi menjayakan hasrat melahirkan kesatuan negara Malaysia?
Dasar terbuka pentadbiran awam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mudah-mudahan akan disentuh juga oleh jawatan kuasa ini nanti. Akta Pendidikan 1996 nampaknya seperti mundur dalam konteks pelantikan meskipun tidak ramai orang mengetahuinya.
Akta Pelajaran 1961 misalnya membiarkan secara terbuka sesiapa sahaja boleh dilantik untuk menjadi Ketua Pengarah Pelajaran tetapi Akta 1996 menyebut dengan terang bahawa Ketua Pengarah Pendidikan boleh dilantik daripada kalangan penjawat Perkhidmatan Pelajaran sahaja.
Pemikiran Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang membawa gagasan perkhidmatan awam terbuka harus disokong dan dilihat sebagai langkah berani dan kehadapan demi kecemerlangan kepimpinan pendidikan juga. Akta Pelajaran 1961 menyamai hasrat KSN menjadikan Jawatan Utama di Kementerian-Kementerian sebagai Jawatan Terbuka yang baru-baru ini diumumkan.
Demikian juga kuasa melantik yang saya sering timbulkan dalam beberapa tulisan terdahulu tentang bagaimana berpindahnya beberapa kuasa daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada orang politik/eksekutif iaitu Menteri. Akta Pelajaran 1961 menyebut kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pendaftar Sekolah, Ketua Pendaftar Guru, Timbalan Pendaftar Guru, Ketua Nazir Sekolah dan Pengelola Peperiksaan.
Adakah bijaksana sekiranya kuasa Yang di-Pertuan Agong membuat pelantikan itu dikembalikan, terpulang
sepenuhnya kepada kebijaksanaan jawatankuasa itu nanti menelitinya semula. Demikian juga dengan pelantikan naib canselor yang dahulunya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri yang kemudian dipindahkan kepada kuasa Menteri dalam Akta Pendidikan 1996. Tidak ramai ahli masyarakat sekolah dan universiti yang menyedari akan perpindahan kuasa-kuasa ini pada 1996.
Pengalaman Dzulkifli dalam Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) dan di Persatuan Antara Bangsa Universiti-universiti yang berpusat di Eropah dan Amerika Selatan yang pernah saya turut sertai tentu mempunyai pengaruh semasa dia mempengerusikan siri perbincangan itu nanti.
Namun amat munasabah sekiranya beliau sentiasa beringat untuk mempunyai 'nyiru tempatan' untuk menapis dan mengayak 'antah-antah' yang mungkin tidak sesuai dengan saripati keperluan dan peradaban Malaysia yang tidak sepatutnya merasa rendah diri dengan peradaban dari dunia Eropah.
Pengalaman beliau di dalam dua badan itu akan memberikan keupayaan melihat Malaysia dengan keunikannya tertentu, kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks wilayah Asia Tenggara dan kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks dunia. Dalam konteks pengajian tinggi Dzulkifli tentu sangat fasih dengan kandungan Proses Bologna dana Triti Lisbon di Kesatuan Eropah.
Saya jangka antara variabel yang akan diteliti oleh Dzulkifli dan rakan-rakannya nanti akan meliputi soal falsafah dan dasar pendidikan, sistemnya, pentadbiran, kepimpinan, isi kandungan, penilaian dan pengukuran pencapaian, guru, murid, alam keliling fizikal dan bukan fizikal dan antisipasi senario masa depan.
Apa pun yang bakal dihasil dan dilapor oleh jawatankuasa ini nanti, saya menantikan sebuah laporan dan cadangan yang dibuat berdasarkan pemikiran yang bebas, waras dan saintifik.
Unsur-unsur sentimental dan tahyul hendaklah diminimumkan. Meski pun demikian laporan itu hendaklah bertapak kukuh di atas asas peradaban Malaysia dengan segala kebanggaan terhadap khazanah-khazanah sejarah dan ilmunya serta keberanian belayar di lautan luas masa depan.
Kesudahannya biarlah cadangan-cadangannya nanti jelas mempunyai semangat 'di mana bumi di pihak di situ langit dijunjung'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan