PEKAN 15 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju tidak akan tercapai jika transformasi dalam bidang pendidikan dan modal insan tidak dilakukan dengan sebaiknya.
Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar dalam bidang pendidikan dan ia perlu didokong semua pihak termasuk rakyat bagi merealisasikan hasrat mencapai sebuah negara maju.
"Bidang pendidikan adalah satu bidang keutamaan yang perlu diperjuangkan, yang perlu disuntik dari segi kewangan, prasarana serta dokongan moral semua pihak termasuk rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah cemerlang pelajar UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) Parlimen Pekan di sini hari ini.
Najib berkata, sebanyak 22 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun adalah diperuntukkan untuk bidang pendidikan, yang membuktikan kerajaan amat menekankan pencapaian cemerlang bidang pendidikan negara.
"Selain itu, kita tambah lagi peruntukan menerusi badan-badan dan yayasan seperti di Pahang, Yayasan Pahang untuk memajukan bidang pendidikan negara, kita juga cari dari sumber-sumber lain untuk bidang pendidikan, malah peruntukan untuk wakil rakyat juga banyak disalurkan untuk bidang pendidikan.
"Apa yang kita ingin capai untuk menjadi sebuah negara maju tak mungkin jadi kenyataan jika kita tidak dapat bangunkan jumlah modal insan, jumlah yang mencakupi dalam bidang-bidang penting," katanya.
Najib berkata, semua lapisan rakyat perlu mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan menekankan pencapaian cemerlang anak-anak mereka dalam bidang pendidikan.
Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian pusat komuniti perumahan bersepadu kampung Padang Rumbia, dekat Paloh Hinai, Najib berkata, usaha transformasi menjadikan negara maju perlulah didokong semua pihak. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan