Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang Posted: 30 Dec 2011 03:41 PM PST POLITIK ISLAM ADA FEQAHNYA Posted: 30 Dec 2011 08:00 AM PST
Ditulis oleh Presiden PAS Khamis, 22 Disember 2011 16:50 Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.Firman Allah : وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122) Sabda Rasulullah S.A.W. مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ (Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim
Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya. Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah. Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf. Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam. Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam. Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga. Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan. Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain. Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya. Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya yang bermaksud : وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ (Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya). Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik. Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari'yyah. Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS. PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam. Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan. Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?. Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam. PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W. الشَّيْطَانُ ذِئْبُ ابْنِ آدَمَ كَذِئْبِ الْغَنَمِ ، فَإِنَّ الذِّئْبَ يَجِيءُ فَيَأْخُذُ الشَّاذَّةَ وَالنَّاحِيَةَ وَالْمُنْفَرِدَةَ ، فَالْزَمُوا الْعَامَّةَ (Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia. Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham. Khadam Perjuangan IslamPRESIDEN PAS | Kepala Babi dipintu Masjid.. Taktik penjajah British tu.. Posted: 30 Dec 2011 07:41 AM PST
Kepala Babi dilontarkan kedalam Masjid lagi.. Ini adalah satu taktik yang pernah digunakan oleh penjajah Tanah Melayu iaitu British untuk mencetuskan pergaduhan kaum di Batu Kikir, Negeri Sembilan sebelum negara Merdeka. Sebenarnya pada sekitar tahun 1945 pihak British pernah melakukannya bagi mencetuskan pergaduhan antara kaum di Tanah Melayu dan hasilnya rusuhan kaum telah tercetus di Batu Kikir, Negeri Sembilan. Pihak British secara sembunyi telah mengarahkan seorang agennya, orang Tionghua, menyembelih seekor babi dan mencampakkannya ke dalam sebuah masjid di kampung dekat Batu Kikir. Sebaik sahaja hari cerah, berita itu pun segera tersebar. Orang Melayu merasa amat marah di atas perbuatan yang merupakan satu pencemaran ke atas agama Islam dan penghinaan kepada orang Melayu. Maka sekumpulan anggota parang panjang dari Juasih menyerbu ke sebuah kampung Tionghua di Batu Kikir. Kerana menyangkakan orang Tionghua menghina agama Islam dan bangsa Melayu, mereka memarang semua orang yang mereka jumpai, tidak kira tua, muda, lelaki, wanita dan kanak-kanak. Perkara ini telah diceritakan oleh Abdullah CD (Pengerusi PKM) melalui tulisannya didalam Memoir Abdullah C.D. Bahagian Pertama: Zaman Pergerakan Sehingga 1948, diterbitkan SIRD, 2005 - sepenuhnya korang bacalah di SINIHmmm.. Parti mana agaknya di Malaysia ini yang mewarisi taktik lapok penjajah itu? *********************************************** Kepala babi ditemui di pintu masuk masjid di JohorLima kepala babi ditemui di luar pintu pagar masuk utama Masjid Al-Falahiah, Taman Desa Jaya, Johor Bahru, pagi ini. Kepala babi itu, dalam satu bungkusan, disedari seorang penjaga masjid itu pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi. Tiga lagi bungkusan yang dipercayai mengandungi tulang, juga ditemui dekat situ, tetapi polis kemudiannya mengesahkan ia mengandungi batu. Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Mohd Shariff berkata polis menubuhkan sebuah pasukan siasatan yang diketuai timbalannya, Datuk Ismail Yatim untuk menyiasat kejadian tersebut. Ketua Polis Johor , Datuk Mokhtar Mohd Shariff berkata, satu pasukan khas yang diketuai timbalannya, Ismail Yatim, ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu. Mokhtar juga mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut. Ini ekoran satu lagi kejadian di mana dua bungkusan yang disyaki mengandungi tulang, ditemui pada jam 5.30 petang semalam di masjid yang sama. Sementara itu, Bernama melaporkan, pengerusi masjid berkenaan Kassim Darim, 62, berkata dalam kejadian pertama pada jam 5 petang semalam, penduduk menemui bungkusan plastik dipercayai mengandungi anggota babi berhampiran pagar belakang masjid. Beliau berkata kejadian seumpama itu pertama kali berlaku di kawasan masjid berkenaan. Kassim berkata satu laporan telah dibuat di Balai Polis Desa Cemerlang. Sementara itu, kira-kira 100 orang, termasuk daripada badan bukan kerajaan, mengadakan perhimpunan aman di depan masjid berkenaan bagi membantah perbuatan tersebut. Malaysiakini | |
CINA ISLAM (林川興) Posted: 30 Dec 2011 01:08 AM PST Tiga kanak-kanak hilang dikhuatiri lemas di Sungai Perak Posted: 30 Dec 2011 01:00 AM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - GERIK: Polis hari ini meneruskan operasi untuk mencari tiga kanak-kanak lelaki yang dipercayai hilang di Sungai Perak dekat Kampung Kuala Kenderong, di sini sejak semalam. Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik DSP Wan Jamil Wan Chik berkata ketiga-tiga mangsa itu ialah Mohd Saiful Haikal Dahari, 7, dan dua sepupunya Mohd Amir Ruzai, 11, dan adiknya Adaham, 8. Mereka dikatakan menaiki sebuah bot di Sungai Perak berhampiran kampung berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka pada 10 pagi semalam dan tidak pulang ke rumah sehingga petang semalam, katanya di sini hari ini. Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis pada pukul 2.30 petang apabila ketiga-tiga mereka masih tidak pulang ke rumah. Polis yang menerima laporan tersebut, kemudian mengadakan operasi mencari dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan penduduk sehingga malam tadi tetapi gagal menemui ketiga-tiga mangsa. -- BERNAMA | Mohon maaf atau kami bawa pada Agong, kata NGO Posted: 30 Dec 2011 12:55 AM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - NGO berkaitan PKR - Jingga 13 - hari ini mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan dua yang lain supaya memohon maaf kerana didakwanya telah "menyalahgunakan" dana zakat. Dua orang lagi ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain. Dalam satu kenyataan hari ini, setiausahanya, Saifuddin Shafi Muhamad berkata, jika mereka tidak berbuat demikian dalam tempoh 48 jam, pihaknya akan membawa isu tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam. Beliau mendakwa, perbuatan tersebut bukan sahaja tidak melayakkan Jamil menjadi menteri dalam mengurus hal ehwal agama tetapi beliau wajar meletakkan jawatan sekiranya berakhlak dan bermaruah. Katanya, ia termasuklah pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan. Jingga 13 juga hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ketiga-tiga mereka. Saifuddin berkata, Jingga 13 meminta SPRM menyiasat secara terperinci dakwaan penyalahgunaan kuasa yang didakwa "menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam tersebut serta tindakan diambil tanpa prejudis berserta dua yang lain." Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 telah dikeluarkan dari dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk Jamil, Che Mat dan Shamsuddin. Kos guaman itu adalah bersabit kes tuntutan qazaf oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan ketiga-tiga mereka sebagai responden. Bagaimanapun, laporan itu menyatakan jumlah tersebut telah dikembalikan selepas MAIWP menerima geran RM700,000 pada Jun 2010 daripada kerajaan untuk perbelanjaan lain selain daripada agihan zakat, seperti perkhidmatan perundangan, pentadbiran, elaun mesyuarat dan penyenggaraan kenderaan. malaysiakini/- | Doa bila hujan Posted: 30 Dec 2011 12:40 AM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - Allahumma soi yiban naa fi'a Maksudnya : Ya Allah, jadikanlah ia hujan yang bermanfaat. (HR Bukhari). Dalam riwayat Ibnu Majah, Nabi saw mengucapkan sebanyak dua atau tiga kali. tazkirah/- | Jualan dinar, dirham lebih RM40.9 juta Posted: 30 Dec 2011 12:30 AM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU, 30 Dis: Pencapaian Kelantan Gold Trade (KGT) sepanjang tahun ini begitu membanggakan sehingga mencecah jualan bersih dinar dan dirham berjumlah RM40,947,972. (Rekabentuk baru Dinar Kelantan) Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata dengan pencapaian itu KGT muncul sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang begitu aktif dalam urusan jual belinya. Husam memberitahu, keuntungan kasar yang diperolehi KGT sepanjang tahun ini RM5,211,484 selepas ianya mula ditubuhkan setahun lalu. Husam menjangkakan keuntungan bersih itu akan meningkat lagi pada tahun hadapan. Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya petang semalam. "Hari ini juga kita akan perkenalkan reka bentuk baru dinar sempena tahun baru hijrah 1433 hijrah, termasuk mengeluarkan setengah dinar, 2.16 gm, dua dinar, lapan dinarpun ada," ujarnya. Husam berkata, perbezaan dinar lama dengan yang baru dikeluarkan ini, ciri-ciri keselamatan, termasuk kalimah 'Lailahaillallah.. Muhammadurasulullah yang menggunakan hologram. Sehubungan itu, Husam berkata, dinar berkenaan muncul sebagai dinar yang pertama mempunyai 'hologram'. Tambahnya lagi, sepanjang tempoh pengeluaran dinar dan dirham di negeri ini, ianya diakui terbaik berbanding yang dikeluarkan dalam sejarah manusia. Husam juga turut mendedahkan Dinar Kelantan mempunyai Kod DNA untuk menjaga keselamatan dinar tersebut. "Kita jangka dinar ini akan diedarkan pertengahan Febuari 2012," ujarnya. Selain itu, katanya KGT turut mengeluarkan 'dirham kenangan' bernilai 10 dirham untuk golongan remaja dan wanita yang boleh dibeli dengan harga RM250, iaitu mengikut harga pasaran semasa. Katanya, pengeluaran dirham itu begitu terhad dan mempunyai reka bentuk yang menarik sempena keluaran khas. Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai yang berminat untuk memiliki dinar dan dirham berwajah baru itu boleh didapati di wakalah (cawangan yang sah) sama ada dalam dan luar Kelantan. Harakah Daily | Ambil bekalan ayam daripada peniaga bukan Islam Posted: 30 Dec 2011 12:25 AM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - PERIKSA...pegawai LPKPM menyoal pembantu dapur sebuah kedai makan di Medan Selera Farlim. PETALING JAYA: Seorang peniaga makanan di Medan Selera Farlim Jalan PJS 8/9, Bandar Sunway, di sini, mengejutkan ramai pelanggan dengan membuat kecoh apabila enggan memberikan kerjasama ketika pegawai Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) melakukan pemeriksaan terhadap kedainya. Bagaimanapun, kekecohannya itu bersebab apabila siasatan mendapati dia memperoleh bekalan ayam mentah daripada peniaga bukan Islam yang diragui halalnya. Malah, ketika resit ayam diminta, dia cuba mengalih perbualan dengan menyuruh LPKPM memeriksa premis lain yang bermasalah. Hasil siasatan mendapati, peniaga terbabit memang mengambil bekalan ayam mentah daripada peniaga bukan Islam, namun dia enggan bekerjasama. Malah, keadaan dapur peniaga terbabit kotor dan sampah dipenuhi lalat. Operasi kali pertama yang dilakukan LPKPM dengan kerjasama penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu bertujuan memastikan peniaga Islam mempamerkan logo halal di samping menjaga kebersihan premis masing-masing. Ketua Pegawai LPKPM, Sharifah Mat Nor Rashid, ketika ditemui berkata, pihaknya perlu tegas dengan masalah itu dan akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak terbabit seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Harian Metro | Saf Posted: 30 Dec 2011 12:00 AM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - Dari Anas bin Malik ra, Rasulullah saw, bersabda, "Luruskanlah saf-saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian daripada kesempurnaan solat". (HR Bukhari & Muslim) Daripada Abu Masud, katanya: "Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok atau akan berpecah belah hati kamu." (HR Muslim) Nabi saw. bersabda,"Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf) dan janganlah kamu biarkan celah-celah yang kosong itu untuk syaitan. Sesiapa menghubungkan saf maka Allah akan menghubungkan dia dengan rahmatNya dan sesiapa memutuskan saf maka Allah akan memutuskan dia daripada rahmat dan pertolonganNya". (HR Abu Daud) Daripada Nu'man bin Bashir berkata: "Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya(buku lali) dengan mata kaki(buku lali) saudaranya." (HR Abu Daud). Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda: "Pada waktu solat setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki (buku lali) saudaranya". (HR Bukhari). Nabi saw. bersabda,"Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf". (HR Abu Daud). Nabi saw. bersabda "Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup ruang kosong dalam saf". (HR Thabrani). Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw. bersabda, "Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah di hadapan dan seburuk-buruk ialah di belakang, sebaik-baik saf bagi wanita ialah di belakang dan seburuk-buruk ialah di hadapan." (HR Muslim) Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw. bersabda, "Seandainya kamu tahu kelebihan yang terdapat di saf pertama niscaya kamu akan membuat undian untuk mendapatkannya". (HR Bukhari & Muslim) Nabi saw. bersabda,"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya mengucapkan selawat (selawat Allah: rahmat dan selawat malaikat: istighfar) terhadap makmum-makmum di saf pertama". (HR Abu Daud dan Nasa'i) tazkirah/- | RapidKL perkenal token merah untuk warga emas Posted: 29 Dec 2011 11:40 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR - RapidKl memperkenalkan token merah bagi warga emas bagi membolehkan mereka menikmati tambang konsesi atau diskaun 50 peratus bagi tiket Aliran Transit Ringan (LRT) bermula 1 Januari ini. Pengarah Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) bagi Divisyen Rel, Khairani Mohamed berkata, pengguna berusia 60 tahun ke atas juga akan menikmati tambang separuh harga bagi perkhidmatan KL Monorel. "Token merah bagi perjalanan sehala ini juga ditawarkan untuk golongan kurang upaya," katanya. Katanya, buat masa ini, token LRT dan tiket separuh harga monorel itu hanya boleh dibeli di kaunter tiket. Beliau turut menasihati warga emas agar menggunakan Kad Warga Emas RapidKL bagi mengelakkan mereka berbaris membeli token berkenaan. Jelasnya, mereka yang layak boleh memohon kad itu di Stesen LRT Pasar Seni secara percuma dengan hanya perlu membawa kad pengenalan diri atau MyKad, salinan MyKad dan melengkapkan borang permohonan di kaunter di stesen berkenaan. Bagi OKU pula, mereka perlu menunjukkan kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - BERNAMA | Banjir di dua negeri pulih Posted: 29 Dec 2011 11:30 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR - Keadaan kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Johor dan Pahang beransur pulih setakat pagi ini dengan kebanyakan mangsa telah kembali ke rumah masing-masing. Di Johor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di enam pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di Segamat kekal 241 orang daripada semalam. Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat pukul 8 pagi tadi, enam pusat pemindahan itu menempatkan 58 keluarga dari Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong dan Kampung Kuala Paya. Sementara di Pahang pula, semua mangsa banjir yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Gadak, Rompin dibenarkan pulang malam tadi. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, seramai 15 orang yang ditempatkan di balai raya tersebut dibenarkan pulang pada 8 malam selepas keadaan banjir di penempatan mereka pulih daripada fenomena air pasang. "Mangsa di kawasan penempatan itu merupakan mangsa pemindahan terakhir manakala di kawasan lain tidak melibatkan pemindahan baru," katanya. - BERNAMA | Tol RM9.10 sehala bebankan rakyat Johor – Jui Meng Posted: 29 Dec 2011 11:25 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 30 Dis : KEADILAN Johor membantah sekeras-kerasnya cadangan kadar tol Lebuh Raya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL) sebanyak RM9.10 sehala oleh pemilik konsesi, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata, kadar tol yang tinggi itu menjadi beban terutama kepada rakyat Johor yang bekerja di Singapura dan perlu membelanjakan kira-kira RM18 sehari bagi berulang alik ke negara republik itu. "Ini memberikan keuntungan mega kepada kroni Umno, berpuluh-puluh ribu warga Johor keluar masuk ke Singapura. Adakah mereka perlu menanggung kos tol yang tinggi ini?," kata beliau kepada Keadilandaily. Malah katanya, cadangan kadar tol yang keterlaluan ini akan turut menjejaskan industri pelancongan di Johor Bahru. "Semua ini semata-mata hendak menguntungkan kroninya dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat. Justeru kita (KEADILAN) membantah sekeras-kerasnya. "Rakyat akan mendapat tambahan beban dari aspek kewangan, dan ia juga melibatkan orang Singapura yang akan berkira-kira masuk ke JB. Walaupun mata wang singapura lebih tinggi, tetapi RM18.20 adalah jumlah yang besar," kata beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN. Sebelum ini Suara KEADILAN melaporkan, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) Johor, Steven Chong berkata, kadar tol yang tinggi itu memberi kesan kepada ekonomi Johor Bahru JB. "Paling terkesan ialah pendapatan pemandu teksi Johor Bahru-Singapura yang akan merosot teruk. Kadar tol ini menjadi punca kerana kos minima bagi sebuah kereta bagi perjalanan pergi balik adalah sebanyak RM18.20," kata Steven. EDL dibina dengan kos RM977 juta sepanjang 8.1 km dari Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bersambung ke Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) melalui susur keluar Pandan. Pembinaannya bermula Februari 2008 dan dijangka beroperasi pada Februari 2012. Steven turut mempersoalkan pemegangan konsesi selama 34 tahun yang tidak munasabah oleh MRCB. Syarikat itu bakal menerima perolehan berjumlah RM5.647 bilion, sedangkan kos pembinaannya hanya RM1 bilion. "Jika kita ambil RM9.10 bagi sebuah kereta dengan lebih kurang 50,000 kenderaan masuk keluar setiap hari, ini bermakna kutipan tol sehari ialah RM455,000. Dalam sebulan, RM13.8 juta dan setahun RM166 juta (keuntungan)," kata beliau. Keadilan Daily | Rakyat Selangor dapat jalur lebar percuma tahun depan Posted: 29 Dec 2011 11:22 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 30 Dis : Bagi mendekatkan lagi agenda kerajaan negeri dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Selangor bakal memperuntukkan jalur lebar (wifi) percuma kepada rakyatnya bermula 2012. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei, langkah bijak Selangor itu bagi melahirkan rakyat celik internet di samping dapat menyalurkan maklumat dengan tepat kepada rakyat. "Dengan adanya wifi percuma, rakyat lebih senang mendapatkan informasi tepat dan benar daripada kerajaan negeri khususnya. "Ini adalah salah satu cara sesebuah negara demokrasi memberi kemudahan kepada rakyatnya," kata Pei Nei kepada Suara Keadilan. Kata beliau, bagi memperluaskan kemudahan itu, beliau menyarankan Kerajaan Selangor menubuhkan pusat internet terutamanya di kawasan kampung. "Sasaran kemudahan ini akan dinikmati masyarakat bandar dan desa seluruh Selangor. Pelaksanaan yang bakal dimulakan pada tahun depan itu akan diadakan secara berperingkat. "Kita sedar bukan semua mempunyai komputer, dan atas sebab itu saya mencadangkan pembinaan pusat cyber rakyat bagi keluarga yang tidak mempunyai komputer," ujarnya. Tambah Pei Nei, program itu juga mungkin diperluaskan dengan menyalurkan komputer percuma kepada setiap keluarga. "Kerajaan Selangor harus memberikan komputer percuma kepada golongan belia dan keluarga kurang berkemampuan supaya mereka tidak akan ketinggalan maklumat terkini," katanya. Sementara itu, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, pelaksanaan wifi percuma di Selangor bagi memastikan rakyatnya dapat menerima informasi dengan tepat dan bebas, sesuai dengan Enakmen Kebebasan Informasi (FOI) yang diluluskan kerajaan negeri. Beliau berharap kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh orang ramai yang menggunakan komputer riba atau telefon bimbit untuk menerima dan menghantar informasi dengan lebih baik. Keadilan Daily | Seleweng zakat: KEADILAN lapor polis minggu depan Posted: 29 Dec 2011 11:17 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 30 Dis: KEADILAN akan membuat laporan polis terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Bahrom jika beliau masih enggan menjawab skandal penyelewengan wang zakat melibatkan dirinya, kata Nik Nazmi Nik Ahmad. Penjelasan itu kata Pengarah Komunikasi KEADILAN itu penting kerana kenyataan individu tertentu yang menjawab skandal tersebut bercanggah antara satu sama lain dan mengelirukan rakyat. "KEADILAN akan membuat laporan polis pada minggu depan jika tiada penjelasan munasabah (dari Jamil Khir) tentang percanggahan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Percanggahan itu kata beliau termasuklah dakwaan Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali kelmarin kononnya Pakatan Rakyat mempolitikan isu itu. Sementara Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail semalam memberi alasan agensi itu mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi membayar yuran guaman melibatkan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain, Che Mat dan Jamil Khir bagi kes tuntutan qazaf. "Namun jawapan Che Mat dan Muhammad Yamin bercanggah dengan beberapa pihak yang tiada kaitan dengan Pakatan Rakyat." katanya. Nik Nazmi memberi contoh bagaimana Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim (timbalan Jamil sendiri) mengakui kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Dewan Rakyat pada 21 Jun lalu. "Pada 23 Jun lalu pula, peguam Zainul Rijal Talha dan Amir meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman. "Manakala pada 21 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010 kerana geran kerajaan gagal menampung pembayaran yuran guaman itu," katanya. Walau menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun 2010, katanya, pembayaran semula hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses 'pelarasan semula'. Beliau juga berharap Che Mat menjawab persoalan dibangkit Saifuddin Jun lalu mengenai kesahihan prosedur yang diguna kerana beliau yang memohon peruntukan kos guaman itu dan beliau juga selaku Setiausaha MAIWP yang meluluskannya. "Sewajarnya Jamil tampil menamatkan sebarang keraguan dan saya difahamkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin sudah menasihatkan Jamil untuk mengeluarkan kenyataan rasmi," katanya. Keadilan Daily | Dakwat kekal: Belum jamin PRU telus – Anwar Posted: 29 Dec 2011 11:13 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 30 Dis: Penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13 nanti bukan jaminan proses pengendalian pilihan raya itu telus, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Saya mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) semalam yang mengumumkan pindaan ke atas peraturan pilihan raya bagi mewajibkan penggunaan dakwat kekal dalam proses pilihan raya menjelang 1 Februari 2012. "Perubahan kecil ini tidak seharusnya dilihat sebagai jaminan kepada proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas dan bersih sepenuhnya," kata Ketua Umum KEADILAN itu dalam satu kenyataan media hari ini. Ini kerana katanya, banyak lagi perubahan yang perlu dibuat oleh PSC terutamanya melaksanakan lapan tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih). "Agensi media awam seperti RTM dan Bernama sewajarnya bersikap lebih adil dalam memberikan liputan untuk semua parti politik dan kempen politik parti-parti pembangkang sewajarnya tidak didiskriminasi menerusi tapisan melampau yang tidak munasabah serta mencabul hak kebebasan bersuara. "Tempoh masa kempen pilihan raya dilanjutkan dalam memastikan sebaran maklumat sepanjang tempoh berkempen dapat dicapai oleh segenap lapisan rakyat. Tempoh masa berkempen yang terlalu singkat (10 hari), sepertimana Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru sewajarnya tidak berulang," tegas Anwar. Menurut Anwar, pengawasan terhadap komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu dijamin menerusi pengukuhan badan kehakiman yang lebih bebas dan adil. "Justeru, Pakatan Rakyat komited dan menuntut supaya pihak PSC turut menumpukan penambahbaikan proses pilihan raya ini dengan mengkaji serta menimbang secara menyeluruh kesemua tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih dalam menjamin pilihan raya yang bebas, telus dan adil," katanya. Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor. PSC sebelum ini ditubuhkan bagi meneliti sistem pilihan raya akan membentuk rangka kerjanya berdasarkan pada lapan tuntutan Bersih 2.0. Keadilan Daily | Ketua Ulamak sambut baik pertemuan mahabbah Posted: 29 Dec 2011 11:10 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 30 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib bersyukur dan amat menyambut baik keputusan pertemuan mahabbah untuk menyelesaikan perbezaan pandangan di dalam parti yang diadakan baru-baru ini dengan semangat ukhuwwah yang tinggi. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Datuk Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang diadakan di Kelantan, Selasa lalu. "Amalan memohon kemaafan amat dituntut dan digalakkan oleh ajaran Islam, terdapat dalam satu hadis yang menceritakan kelebihan orang yang meminta maaf, Allah SWT amat menyayangi mereka yang melakukan keterlanjuran kemudian kembali kepada Allah SWT. "Kedudukan mereka sangat istimewa di sisi Allah SWT berbanding mereka yang enggan melakukan tindakan sedemikian rupa," tegas beliau ketika dihubungi semalam. Menurut beliau lagi, memandangkan kemelut tersebut telah selesai dan kedua-dua tokoh tersebut telah menjelaskan kepada kepimpinan tertinggi parti, maka sebaiknya tidak perlu lagi diambil tindakan yang lain. Ujar beliau yang juga Adun Manir, Terengganu, pihak parti juga perlu melihat angkara siapa yang sebenarnya yang menjadi punca permulaan yang menyebabkan kemelut itu tercetus sebagai pengajaran pada masa akan datang. Harakah Daily | Penganggur didakwa membunuh Posted: 29 Dec 2011 11:01 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KULAIJAYA – Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulaijaya, di sini, semalam, selepas dituduh terlibat dengan kes pembunuhan seorang lelaki di tepi jalan raya, hadapan sebuah premis, Jalan Kenanga, Indahpura, di sini, 19 Disember lalu. Kedua-dua tertuduh, Tee Hwa Ling, 41, dan Chiung Tien Chai, 26, mengangguk kepala tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa kepada mereka. Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama seorang rakan lain yang masih bebas didakwa membunuh Lim Yong Chin, 37, di tepi jalan raya di hadapan premis bernombor 74, Jalan Kenanga 29/7, Indahpura di sini, kira-kira jam 2.45 pagi, 19 Disember lalu. Bagi pertuduhan berkenaan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan. Untuk prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan Majistret, Zaiton Anuar menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, A Karthiyayini dan tertuduh belum melantik peguam. Sinar Harian | Maut dirempuh lori satu tan Posted: 29 Dec 2011 10:59 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - ALOR GAJAH - Pihak polis meminta saksi kejadian kemalangan membabitkan warga emas yang maut di persimpangan lampu isyarat, di Pengkalan, Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), kelmarin tampil untuk bantu siasatan. Ketika kejadian, mangsa yang masih sedarkan diri dipercayai dilanggar sebuah kenderan lain ketika dalam perjalanan ke Bandar Alor Gajah menaiki motosikal jenis Suzuki RC80. Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan, Lee Lian Heng, 77, dari arah Machap Umboo ke Bandar Alor Gajah maut empat jam kemudian selepas dirempuh sebuah lori muatan satu tan dari arah belakang. Menantu sulungnya, An Ai Yong, 50, ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka berkata, mangsa masih sedarkan diri sekitar jam 1.45 petang di wad kecemasan sempat bertemu dengannya dan seorang cucu. "Semasa dimaklumkan berhubung kejadian, saya berada di tempat kerja di Machap Umboo dan bergegas pulang ke rumah sebelum ke Hospital Alor Gajah. Saya sangka bapa cuma cedera ringan. "Sewaktu di hospital, bapa ada mengadu sakit di belakang badannya selain sesak nafas. Dia juga ada menceritakan yang dia dilanggar dari arah belakang," katanya. Menurutnya, ketika itu bapa mertuanya kelihatan stabil namun, tidak lama kemudian, doktor memberitahu bapanya itu perlu dirujuk ke Hospital Melaka berikutan keadaannya semakin kritikal. "Saya terkejut apabila doktor memaklumkan keadaannya semakin kritikal dan tidak sedarkan diri akibat kecederaan parah yang dialami," katanya. Katanya, pagi sebelum kejadian, bapa mentuanya sempat bersarapan bersamanya dan berbual seperti biasa sambil bergurau senda sebelum keluar ke Pekan Alor Gajah atas pelbagai urusan. "Biarpun usianya semakin meningkat tapi bapa masih kuat dan mampu bekerja keras menyara sembilan ahli keluarganya." katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kemalangan terbabit. Katanya, mangsa yang menunggang motosikal sendirian dikatakan dilanggar dari arah belakang di persimpangan berkenaan oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya kira-kira jam 10 pagi. "Mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh orang awam sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut. "Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Balai Polis Trafik Ibu pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah untuk membantu siasatan," katanya. Sinar Harian | 4 warga asing terima hukuman Posted: 29 Dec 2011 10:57 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - AYER KEROH – Akibat salah guna pas lawatan dan menetap melebihi tempoh dibenarkan di negara ini, empat warga asing menerima hukuman di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam. Mokhtar Ahmed Musleh Al-Qadri, 25, didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai walaupun menetap di negara ini menggunakan pas lawatan sosial sah sehingga 27 Februari depan. Mokhtar yang memegang pasport Yemen, melakukan kesalahan itu pada 17 Disember lalu, am 4.20 petang di Mini Market Turky, Jalan Bukit Beruang Utama. Dia melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama. Sementara itu, Puji Ambarwati, 36, dipenjara enam bulan daripada tarikh ditangkap selepas mengaku bersalah tinggal lebih masa selama setahun empat bulan 17 hari di negara ini. Puji yang juga warganegara Indonesia dan mempunyai pas lawatan kerja sementara sehingga 21 Julai 2010, melakukan kesalahan itu pada 7 Disember lalu, jam 11 malam di sebuah rumah di Jalan Kandang, Bakar Batu. Manakala, dua pemegang pasport Thailand, Thach Thi Thuy Quynh, 23 dan Tran Thi Tuyet Diem, 23, masing-masing dipenjara enam bulan. Mereka ditahan pada 7 Disember lalu jam 12.30 tengah hari di Klebang, selepas dibenarkan masuk dan berada di negara ini atas pas lawatan sosial sah sehingga 4 dan 6 Disember lalu. Justeru, ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) ( c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia, Natijah Abu Hasan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar. Sinar Harian | Parah diserang senjata tajam Posted: 29 Dec 2011 10:55 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - LUNAS - Seorang lelaki berusia 20-an cedera parah di bahagian badan, kaki dan kepala apabila dua lelaki bersenjatakan senjata tajam mencederakan mangsa di Jalan Paya Besar berhadapan dengan sebuah stesen minyak kira-kira jam 11.30 malam kelmarin. Mangsa yang menunggang motosikal dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya. Apabila tiba di persimpangan Taman Kobis motosikal mangsa dipintas motosikal suspek dan menyerangnya. Mangsa yang tercedera cuba melarikan diri bagaimanapun rebah kira-kira empat meter dari tempat kejadian sebelum mendapat bantuan daripada orang ramai. Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, beliau menerima panggilan daripada orang awam menyatakan seorang lelaki ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah. "Menurut maklumat diperoleh daripada orang ramai yang berada di tempat kejadian, mangsa dikejar tiga motosikal dari Taman Kuchai hingga ke Taman kobis. "Saya kemudiannya menghubungi ahli PPKM dan mengarahkan mereka pergi ke tempat kejadian untuk membantu mangsa, " katanya. Beliau turut bertindak menghubungi ambulan dari Hospital Kulim untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan kecemasan. "Ini merupakan kejadian kedua, satu kejadian hampir sama turut berlaku di Taman Desa Aman, " katanya. Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh mengesahkan kejadian itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. "Kejadian ini melibatkan dua suspek dan seorang mangsa. Turut di temui kapak dan gergaji di tempat kejadian. Mangsa mengalami kecederaan masih di rawat. Polis masih menyiasat motif kejadian ini. Sehingga kini mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya. Sinar Harian | Penjaga parkir ke tali gantung Posted: 29 Dec 2011 10:53 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - ALOR SETAR - Seorang penjaga parkir dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam, setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu. Marimuthu Krishnan, 37, didakwa membunuh Md Rashid Mahamud, 45, kira-kira jam 5 petang, 28 Ogos 2008, di atas jalan batu kerikil menghala ke ladang kelapa sawit OSK Properties Sdn Bhd, berhampiran pasar raya Econsave, Jalan Kuala Ketil. Marimuthu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah. Menurutnya, terdapat saksi melihat Marimuthu melepaskan tembakan terhadap Md Rashid, dari jarak enam meter dan keterangan itu menafikan kenyataan Marimuthu yang mendakwa tidak berada di tempat kejadian kerana berada di Pulau Pinang ketika itu. "Marimuthu berada dalam keadaan keliru sewaktu memberikan keterangan bela diri, malah lambat menjawab soalan-soalan dikemukakan peguamnya. "Pembelaan tidak dapat menyangkal keterangan lapan saksi pendakwaan dan tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah, dan Marimuthu didapati bersalah dan disabit dengan pertuduhan," katanya. Zakiah berkata, setelah mendengar rayuan Marimuthu, mahkamah tidak ada budi bicara melainkan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati, mengikut peruntukan undang-undang. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud, manakala Marimuthu diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid. Sinar Harian | Akhbar khas hasut peneroka sokong penyenaraian? Posted: 29 Dec 2011 10:45 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 30 Dis: Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mempersoal penerbitan akhbar '1SUARA' yang diedar percuma kepada warga peneroka sejak November lalu. Beliau mempersoal, dari mana sumber kewangan diperolehi bagi menerbitkan akhbar yang mempunyai 32 muka surat dengan warnah penuh tersebut yang dipercayai menelan kos yang sangat tinggi. "Kita nak tahu siapa yang taja, ambil duit dari mana, berapa ribu kos habis," katanya kepada Harakahdaily. Akhbar khas '1SUARA' diterbitkan pihak tertentu dipercayai sebagai usaha 'menghasut' warga peneroka menyokong penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL). Dengan penerbitan dua kali sebulan, akhbar 1SUARA tersebut kini dipercayai sudah menerbitkan bilangan ketiga mereka. Pada edisi pertamanya untuk tarikh 15 Nov hingga 30 Nov, akhbar itu menggunakan tajuk "Peneroka tertipu?" sebagai tajuk utama di muka depan akhbar itu bersama petikan 'penjelasan' oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad. Selain itu, muka depan akhbar itu juga meletakkan gambar artis wanita Neelofa dengan tajuknya "Neelofa bercakap tentang lelaki!" dipercayai untuk menarik pembaca mendapatkan naskhah akbar tersebut. Edisi pertama itu juga turut memuatkan temubual tiga muka surat bersama Isa. Selain menceritakan 'kebaikan' penyenaraian dan 'faedah' yang bakal dinikmati peneroka, akhbar sama juga tidak ketinggalan memburukkan pihak yang menghalang agenda penyenaraian itu. Ianya termasuklah Presiden Anak sendiri, Mazlan Aliman yang dilihat menjadi 'musuh nombor satu' akhbar itu dipercayai kerana gerakan beliau meyakinkan penoroka bagi membantah penyenaraian tersebut. "Saya tidak kisah mereka nak hentam saya guna akhbar ini. Saya dapat maklumat terbitan terbaru akan datang sarat dengan kecaman terhadap Anak dan saya. "Bagi saya, lagi mereka hentam lagi banyak yang saya akan dedahkan," kata Mazlan mengulas perkara itu. Harakah Daily | Mari jumpa, banyak lagi saya nak tanya – Tony Pua Posted: 29 Dec 2011 10:30 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 30 Dis: Pemimpin Pakatan Rakyat sedia bertemu dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi bila-bila masa kerana banyak perkara yang mereka ingin tanyakan berhubung pembelian kelengkapan pertahanan negara. Menjawab pelawaan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada pemimpin pembangkang untuk bertemu dengan beliau bagi membincangkan soal-soal pertahanan negara, mereka setuju untuk bertemu. Anggota parlimen (AP) Petaling Jaya Utara Tony Pua (gambar) berkata beliau, anggota parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah dan anggota Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad adalah 'lebih daripada bersedia' untuk mendengar penjelasan beliau dalam beberapa pembelian pertahanan yang terlampau mahal. Menjawab pelawaan Zahid, Pua berkata Menteri Pertahanan juga harus menjawab pembeliaan 257 APV (kereta tempur berperisai) pada harga RM7.55 bilion. Sebelum ini, Zahid berkata beliau tidak tahu apa-apa mengenai pembelian tersebut. Lebih mencabar, Pua juga mendesak supaya Zahid memberikan jaminan bahawa kementeriannya adalah terbuka kepada ketelusan dan memberikan jawapan mengenai keengganan kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa parlimen to memantau dan memeriksa pembelian peralatan pertahanan yang dicadangkannya. "Jika kementerian tersebut tidak sudi untuk dipantau oleh parlimen, badan legislatif negara, maka Zahid tidak hak untuk bercakap mengenai ketelusan," kata Pua. Terdahulunya, Pua mengesan kenaikan sebanyak 50 peratus, daripada RM6 bilion ke RM9 billion dalam pembelian harga kapal perang pesisir pantai (LCS) melalui pengumuman penerima tender pembinaan enam LCS Boustead Naval Shipyard (BNS) di Bursa Malaysia. Pada bulan Februari yang lalu, Zahid sendiri yang mempertahankan pembelian LCS pada harga RM6 billion selepas Pua mendedahkan bahawa harga tersebut terlalu mahal. Namun, tanpa meneliti kenyataan Pua, Zahid masih mencabar beliau untuk mengemukakan bukti dan menyoal "siapa yang memberikan bayangan bahawa harga pembelian LCS sudah meningkat" dan "Di mana beliau mendapat angka tersebut? Daripada Kua Kia Soong, bekas AP DAP?". Pada pendapat Zahid, pembangkang seharusnya tahu bahawa harga LCS yang mahal disebabkan kapal itu akan dibina di Malaysia. "Harga itu juga termasuk nilai tambah seperti offset program, pemindahan teknologi dan tambahan pula harga kapal tidak tetap kerana ia belum termasuk harga sub sistem pada satu-satu kapal," katanya. Harakah Daily | Hotel ais jadi tumpuan di Romania Posted: 29 Dec 2011 08:20 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - SEBUAH bilik tidur yang terdapat di dalam Hotel Balea Lac di Romania kelmarin. BUCHAREST, Romania - Sebuah hotel yang diperbuat daripada ais di kawasan pergunungan Fagaras menjadi tumpuan orang ramai dan para pengunjung. Hotel Balea Lac itu cuba menawarkan 10 bilik yang mempunyai katil besar dengan suhu di antara -2 dan + 2 darjah Celsius pada harga AS$45.73 (RM145.19) setiap orang. Para pelancong juga boleh makan di restoran dalam hotel itu. Hotel itu dibina pada setiap tahun supaya ruang dalaman tidak kelihatan sama setiap kali musim sejuk. Pekerja-pekerja tempatan memotong lapisan ais di kawasan pergunungan itu untuk digunakan bagi membina dinding hotel ais tersebut. - Agensi | Wanita Arab Saudi dibenar sertai pilihan raya 2015 Posted: 29 Dec 2011 08:15 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - Tak perlu izin muhrim bertanding, mengundi RIYADH: Wanita Arab Saudi tidak perlu mendapatkan kebenaran muhrim lelaki untuk bertanding atau mengundi dalam pilihan raya perbandaran pada 2015, apabila wanita negara itu dibenarkan merebut jawatan buat kali pertama, kata pegawai. Perubahan ini menunjukkan langkah ke hadapan untuk mengurangkan sekatan terhadap wanita oleh kerajaan tetapi ia dianggap terlalu sedikit berbanding apa yang diharapkan kebanyakan reformis Arab Saudi. Anggota Majlis Syura, Fahad al-Anzi yang dipetik akhbar milik kerajaan al-Watan kelmarin, berkata kebenaran untuk wanita bertanding dan mengundi diberikan oleh pemerintah Arab Saudi, justeru wanita tidak memerlukan kebenaran daripada penjaga lelaki. Walaupun keputusan bersejarah dibuat Raja itu yang membenarkan wanita menyertai pilihan raya terbuka negara, undang-undang lelaki di Arab Saudi masih tidak berubah. Wanita masih tidak dibenarkan melancong, belajar ke luar negara, berkahwin, bercerai atau memasuki hospital awam tanpa kebenaran daripada penjaga lelaki. Profesor sejarah di Riyadh yang juga seorang wanita, Hatoun al-Fasi, berkata pengumuman yang wanita Arab Saudi boleh bertanding dan mengundi tanpa kebenaran penjaga lelaki masih dibahaskan. "Ia muncul secara tiba-tiba dan mungkin pintu perdebatan terbuka walaupun kami sudah bosan mengenainya," katanya. Walaupun Raja Abdullah sudah melaksanakan beberapa perubahan kepada hak wanita, beliau masih berhati-hati tidak terlalu keras terhadap ulama yang sebelum ini menolak perubahan sosial. Undang-undang penjaga lelaki membebankan wanita, kata aktivis wanita negara itu, Wajeha al Hawidar. "Undang-undang ini memperlakukan wanita seperti kanak-kanak dalam semua aspek kehidupannya. Wanita tidak dianggap sebagai orang dewasa yang mampu berfikir," kata al Hawidar. Wanita Arab Saudi tidak boleh belajar ke luar negara melainkan dengan kebenaran penjaga lelaki dan menemani mereka sepanjang pengajian mereka. Hospital kerajaan tidak boleh menjalankan pembedahan terhadap wanita tanpa kebenaran penjaga lelaki melainkan kecemasan. Penjaga lelaki di negara itu turut dibenarkan memberhentikan anak perempuan atau adik beradik perempuan dari sekolah pada bila-bila masa. Dalam kes ketiadaan bapa, bapa saudara atau adik beradik lelaki, ibu perlu mendapatkan kebenaran anak lelaki untuk bekerja atau melancong. – AP | Adam Adli, aktivis mahasiswa, wira rakyat Posted: 29 Dec 2011 08:00 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 30 Dis — Adam Adli Abdul Halim hanya seorang aktivis mahasiswa sehingga perbuatannya menurunkan bendera bergambar Datuk Seri Najib Razak semasa satu demonstrasi aman mendapat perhatian utama media. Berikutan insiden itu, bermula sebagai satu bantahan kecil mahasiswa menuntut kebebasan akademik pada 17 Disember kini menjadi pergerakan yang semakin besar, melibatkan mahasiswa, pensyarah universiti, rakyat — bersatu dan mendesak kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), yang mana dengan tegas tidak membenarkan berpolitik di kampus. selepas dia buat laporan polis ugutan ditumbuk anggota polis di Kuala Lumpur pada 23 Disember, 2011. Ia juga telah meletakkan mahasiswa berumur 22 tahun dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam bidang publisiti awam. Walaupun dikenali secara tiba-tiba, Adam Adli tetap berharap apa yang berlaku itu "akan berakhir selepas 40 tahun memperjuangkannya." "Kebebasan akademik akan menjadi satu masalah besar yang perlu diperjuangkan bersama untuk membina semula negara yang sudah rosak. Ia sangat penting seperti isu-isu lain yang dibincangkan dalam masyarakat," kata Adam Adli kepada The Malaysian Insider. "Ramai orang termasuk mahasiswa tidak pernah mendengar tentang kebebasan akademik, AUKU dan carta magna (satu undang-undang yang dirangka mahasiswa bagi menggantikan akta itu) sehingga ia (insiden) terjadi. Sekarang penulis blog pro-kerajaan berusaha keras untuk memahaminya," tambahnya. Tambah Adam Adli, beliau tetap mempertahankan tindakannya itu sambil menyifatkan "menurunkan bendera adalah tanda bantahan." "Tetapi ada satu sebab lain yang tidak disedari iaitu jika saya menurunkan bendera, bagaimana saya boleh menaikkan kebebasan akademik?" soalnya. "Ia seperti membuat satu perkara dengan dua atau tiga faedah. Ia adalah satu tanda bantahan terhadap (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) dasar mahasiswa dan universiti serta tanda kemenangan." Adam Adli berkata penglibatan dalam aktivis mahasiswa bermula pada 2010 semasa beliau dilarang bertanding dalam pilihan raya kampus kerana terlibat Demonstrasi Air 2009, bantahan terhadap kenaikan harga air di Selangor. "Sejak itu, tiada ruang untuk saya berpatah balik. Alasannya jelas. Kami perlu buktikan kepada orang ramai bahawa kami sebagai mahasiswa merupakan sebahagian daripada sistem. Kami mahu mewakili rakyat," katanya. "Mahasiswa mempunyai peranan dalam sejarah perjuangan rakyat, maka dalam masa yang singkat ini kami mahu mengukir sejarah kami sendiri. Tetapi, pertama kami perlu membebaskan mahasiswa dan universiti maka kami akan buktikan kepada rakyat apa yang kami mampu lakukan untuk negara," tambahnya. Di laman sosial Facebook hampir 30,000 pengguna menyokong tindakan Adam Adil di halaman "We Are All Adam Adli", walaupun ada yang tidak bersetuju dengan apa yang berlaku. Selain itu, kritikan dari orang awam dan ramai pegawai kerajaan semakin bertambah, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata pihak berkuasa akan memantau Adam Adli dan menasihatkannya supaya berwaspada semasa melakukan aktiviti. Ia membangkitkan semangat mahasiswa ini dengan mengatakan berkeyakinan tidak berasa terancam dengan kenyataan begitu. "Saya tidak akan menyerah. Bagaimana mereka boleh menghalang saya? Saya tidak nampak mengapa mereka perlu buat begitu," kata Adam Adli. "Saya percaya dan saya tahu apa yang saya lakukan tidak salah dan tidak melampaui lunas undang-undang. Saya hanya menyuarakan hak membantah dasar kerajaan dan pelaksanaannya," tambahnya. "Mahasiswa bukan bodoh. Mereka nampak, mereka belajar, mereka dapat pengetahuan dan mereka bersedia membina negara yang lebih baik. Saya percaya lebih ramai yang akan tampil," katanya. "Masa depan milik anak muda." malaysian insider/- | Pemuda PAS sedia bantu perjuangan Selamatkan Felda Posted: 29 Dec 2011 07:35 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 30 Dis: Dewan Pemuda PAS menyokong penubuhan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang diketuai oleh Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) bersama 11 lagi Badan Bukan Kerajaan (NGO). Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata masalah yang berkait dengan Felda bukanlah satu permasalah yang baru didengari. Terbaru, katanya adalah apabila Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad di dalam satu kenyataannya bertarikh 19 Oktober 2011 menyatakan niatnya untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL). "Tindakan ini nyata mendapat bantahan daripada sebahagian anak-anak Felda yang prihatin," ujarnya kepada Harakahdaily. Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Anak, Mazlan Aliman pada 16 Disember lalu yang menasihatkan agar penyenaraian FGVH itu jangan disokong secara membuta tuli tetapi perlu didasari dengan pengetahuan dan bukan sentimen. Seruan daripada Anak disahut oleh beberapa NGO yang lain antaranya Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Kumpulan Media Independent (Kami), Badan Bertindak Peneroka Felda (Bangkit), Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa). Semua NGO-NGO ini bersepakat dan akhirnya menubuhkan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) semalam. Pemuda PAS, kata Khairul Faizi diberitahu matlamat utama GSF itu adalah untuk menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL). Dewan Pemuda PAS Malaysia juga dimaklumkan usaha untuk menyenaraikan FGVH ke BSKL itu bakal menjejaskan aset 112,635 peneroka. Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Malaysia turut menyokong penubuhan GSF itu dan akan bersama GSF memperjuangkan hak peneroka. Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga membantah penyenaraian FGVH ke BSKL sekiranya ianya akan memberikan kerugian kepada peneroka. DPPM, ujarnya berpendapat penyenaraian dalam suasana ketidaktentuan pasaran pada suku pertama 2012 adalah amat berisiko dan penyerahan aset peneroka itu tidak akan menguntungkan peneroka buat jangka masa panjang. "Keadaan turun-naik pasaran saham yang tidak menentu memungkinkan penyenaraian ini tidak memberi pulangan laba seperti yang diharapkan," ujarnya. Tambahnya, DPPM percaya Felda mampu diperkukuh melalui pengurusan yang lebih efisien tanpa perlu campur tangan politik demi kebajikan peneroka Felda. "DPPM bersedia menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk membantu perjuangan GSF ini demi menghormati amanat asal penubuhan Felda oleh Tun Razak yang nampaknya telah dikhianati oleh anak beliau sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya. Harakah Daily | Setelah 21 tahun, Islam tidak lagi jadi fobia Posted: 29 Dec 2011 07:31 PM PST 5 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU, 30 Dis: Setelah 21 tahun negeri ini ditadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam, agama Islam tidak lagi menjadi 'fobia' khususnya di kalangan non-muslim. Sehubungan itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap generasi muda mempelopori usaha memberi kefahaman sebenar Islam sebagai cara hidup dan agama yang benar diturunkan Allah SWT kepada golongan tersebut. Kerajaan negeri juga, katanya melakukan sedaya upaya mungkin ke arah menjadikan Al-Quran sebagai dasar pentadbiran negeri dan negara. "Bahkan kerajaan negeri menjalankan kempen kepada seluruh masyarakat betapa Islam itu agama yang adil. Meneri Besar berucap pada Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (Yik) Kali Kedua 2011 di Balai Islam, Lundang dekat sini, petang semalam. Turut hadir Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi Negeri Che Abdullah Mat Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar, para pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dan pegawai Yik. Menteri Besar menaruh harapan tinggi agar pelajar tahfiz muncul sebagai ulama proaktif dalam menyebar luaskan kefahaman Al-Quran kepada masyarakat. "Lebih jauh dari itu, adalah diharapkan agar hafiz dan hafizah hari ini mewarisi perjuangan dalam menegakkan kandungan Al-Quran di negara ini," ujarnya. Sambil menyifatkan bahawa pada masa lalu, bidang tahfiz dipandang sebagai bidang tidak menjanjikan peluang pekerjaan di mana para huffaz hanya sekadar mengajar Al-Quran di madrasah atau masjid, namun Menteri Besar menegaskan kini permintaan cukup tinggi untuk memasuki bidang tahfiz Al-Quran di sekolah tahfiz Yik, termasuk mereka yang datang dari keluarga profesional. Justeru, Tuan Guru berkata tanggapan bahawa bidang tahfiz Al-Quran tidak menjanjikan masa hadapan yang cemerlang, kini terhakis dari masyarakat. Harakah Daily | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan