Guan Eng Dianggap Tidak Beretika Burukkan Johor
JOHOR BARU: Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memburuk-burukkan Johor di luar negara disifatkan sebagai tidak bermoral dan tidak beretika.
Ketua Pemuda Barisan Nasional Johor Baharu Khalid Mohamad berkata bertentangan dengan dakwaan Lim, keadaan di Johor adalah selamat untuk pelabur dari luar dan dalam negara.
“Kita mahu menjemput Lim Guan Eng datang ke Johor dan melihat sama ada beliau akan diculik atau tidak ketika di sini,” katanya pada akhbar akhbar bersama-sama pemimpin Pemuda BN Johor Baharu yang lain di sini Jumaat.
Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, perlu tampil meminta maaf kepada seluruh penduduk Johor berhubung kenyataannya itu, kata Khalid yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Baharu bagi mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam akhbar hari ini tentang tindakan Lim memburuk-burukkan Johor ketika berada di luar negara.
Menurut Mustapa, beliau dimaklumkan Lim telah memburukkan Johor dengan mengatakan sesiapa yang pergi ke Johor berkemungkinan akan “diculik”.
Khalid berkata Lim tidak seharusnya menjadikan Johor sebagai “kambing hitam” dalam percaturan politik sempitnya.
“Kepercayaan pelabur dalam dan luar negara terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan selamat sejak sekian lama merupakan bukti jelas bahawa apa yang diperkatakan oleh Lim adalah tidak benar,” katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan