Oleh ZABRY MOHAMAD, ABDUL MUIN SAPIDIN dan ROKIAH ABDULLAH
utusanpulaupinang@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 11 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali cuba mengubah fakta sejarah dengan mengagung-agungkan kezaliman pengganas komunis pada era zaman darurat.
Perdana Menteri berkata, rakyat pada era tersebut bangkit menentang perjuangan komunis yang cuba menguasai negara dengan ideologi yang tidak boleh diterima termasuk antiagama dan antituhan, malah, sanggup melakukan pembunuhan kejam.
Beliau menegaskan, komunis pada zaman tersebut tidak boleh disamakan dengan negara komunis masa kini kerana kedua-duanya berbeza dari segi ideologi perjuangan.
"Komunis zaman dahulu dan komunis zaman sekarang tidak sama. Komunis zaman darurat tidak memberi hak kebebasan kepada kita, mereka antiagama dan antituhan. Mereka zalim dan membunuh orang dengan kejam.
"Sebab itulah jangan sesiapa yang hendak mengubah sejarah negara kita, jangan ada sesiapa cuba mengagungkan orang yang sebenarnya kejam dan mengkhianati bumi bertuah ini," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, komunis zaman dahulu tidak memberi kebebasan kepada rakyat termasuk menghalang pemilikan kekayaan peribadi.
Malah, kata beliau, perjuangan komunis pada zaman tersebut juga tidak akan memberi demokrasi yang membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini mengecapi keamanan dan keharmonian seperti hari ini.
Najib menarik perhatian, kerajaan mempunyai hubungan baik dengan negara komunis yang ada pada hari ini kerana sudah meninggalkan ideologi lama mereka.
"Mereka (negara komunis) berbuat baik kepada kita (maka) kita juga buat baik dengan mereka. Mereka hormati negara kita dan kita juga hormati negara mereka. Perjuangan mereka tidak sama seperti komunis zaman dahulu," jelasnya.
Beliau turut mengajak rakyat supaya menghargai kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang mewujudkan pemuafakatan antara kaum dan memilih jalan rundingan bagi mencapai kemerdekaan daripada penjajah.
Menurutnya, proses rundingan ketika itu tidak bermakna pemimpin negara sehaluan dengan penjajah sebaliknya, ia adalah jalan penyelesaian terbaik sehingga membolehkan rakyat mentadbir sendiri negara ini.
"Kita telah tunjuk kepada British, kita semua berdiri atas satu tekad, punyai satu niat serta tujuan kerana kita tidak rela negara dijajah lagi pada masa itu. Kuasa besar dunia akhirnya tunduk dan beri kemerdekaan kepada negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan