The Malaysian Insider
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meramalkan populariti Datuk Seri Najib Razak, yang terus merosot, akan berhadapan dengan paras lebih buruk jika perdana menteri gagal menunaikan janji pembaharuan pilihan raya selepas perhimpunan Bersih 2.0.
Sementara mereka juga bersetuju dengan kemerosotan berterusan sebagaimana dibuktikan menerusi kajian Merdeka Center dan bukan sesuatu yang mengejutkan, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengambil sikap berhati-hati tentang implikasi persekitaran itu dalam pilihan raya umum ke-13.
Kata mereka, kedudukan itu tidak semestinya menggambarkan satu peralihan positif yang pasti kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, tanpa pembaharuan pilihan raya dengan segera, pentadbiran Najib (gambar) kemungkinan akan berakhir pada pilihan raya umum ke-13, yang dijangka akan dipanggil dalam beberapa bulan ini.
"Keputusan kajian itu seiring dengan pandangan umum situasi semasa yang tidak memihak buat Najib, ekoran kenaikan harga barang dan kesilapan menangani isu Bersih 2.0," katanya lagi.
"Beliau begitu ketara terdesak untuk memulihkan keadaaan…. (dengan itu) memperkenalkan jawatankuasa pilihan khas bagi pembaharuan pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mengkaji untuk membenarkan kesemua rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi dan mempertimbangkan (semula) penggunaan dakwat kekal," kata Lim sambil menambah, "sama ada semua ini akan dilaksanakan dalam pilihan raya umum, sesuatu yang perlu (kita tunggu dan) lihat."
Populariti Najib menjunam ke paras 59 peratus — penurunan dari 72 peratus, paras paling tinggi, yang direkodkan pada Mei tahun lalu, dipercayai berhubung kait dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan awal Julai lalu.
Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan arah aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.
Kadar populariti Najib pernah turun sehingga 56 peratus pada September 2009 – lima bulan selepas menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam.
"Seramai 59 peratus rakyat Malaysia mengatakan bahawa mereka berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam kajian (kali) ini enam peratus lebih rendah berbanding 65 peratus direkodkan pada Mei tahun ini," kata firma kajian pandangan umum ini dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam. Kajian terbaru ini dikendalikan sebulan selepas perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara.
Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Najib telah kehilangan peluang keemasan untuk menarik sokongan pengundi dan cara beliau mengendalikan isu-isu semasa menjadi asas kepada kemerosotan popularitinya.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga bersetuju dengan pandangan Lim bahawa Najib seharusnya mengadakan pembaharuan pilihan raya menerusi jawatankuasa yang telah disyorkan sebelum pilihan raya umum ke-13.
"Jawatankuasa pilihan khas (kini berubah) sebagai isu politik dan Najib tiada iltizam politik untuk menjamin bahawa ia akan dilaksanakan sebelum pembubaran Parlimen.
"Beliau telah menembak kaki sendiri, ya, dan mengulangi sikap tidak konsisten dan kurangna iltizam untuk melakukan pembaharuan," katanya lagi.
Pemimpin-pemimpin PKR, Chua Tian Chang dan Nik Nazmi Nik Ahmad menjangkakan keputusan terbaru ini akan mencetuskan panik di kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN), dan akan menggerakkan taktik-taktik kotor untuk memenangi pilihan raya umum.
"Saya fikir pastinya beliau telah silap dalam tangani Bersih, tetapi tahap popularitinya tidak kaitan besar dengan pilihan raya umum. Kebimbangan saya sekarang ialah, Najib akan membaca keputusan ini dan akan ada lebih kepincangan dalam pilihan raya nanti. Umno akan membaca hasil kajian ini dan jika mereka merancang untuk menghadapinya, mereka akan menggunakan penipuan besar-besaran untuk menang," kata Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Batu ini kepada The Malaysian Insider.
Nik Nazmi, Pengarah Komunikasi PKR, bersetuju dengan kemungkinan itu tetapi menggesa pentadbiran Najib menganggapnya sebagai satu pengajaran dan menggunakan sebagai langkah memperkenalkan pembaharuan sebelum pilihan raya umum.
Sambil mendakwa jawatankuasa pilihan khas itu kemungkinan hanya "kosmetik", Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia memberitahu, Najib kemungkinan akan tenggelam dalam tekanan dalam parti beliau sendiri dan tidak menunaikan apa yang dijanjikannya.
Najib, tambah beliau, terlalu berhati-hati dan bukan seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan sentiasa berakhir dengan perubahan pendirian dalam keputusan-keputusan dasar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan