Oleh SYED MEHDHAR SYED ABDULLAH
KETIKA berucap di majlis perasmian Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Cheras 1 Mei lalu, saya secara terbuka menyatakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khairy Jamaluddin Datuk Abu Bakar sewajarnya diberikan jawatan didalam kebinet.
Saya mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak supaya mempertimbangkannya, bukan disebabkan faktor diri Khairy, tetapi atas sifatnya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Jika kita sendiri yang tidak menghormati institusi Pergerakan Pemuda UMNO sebagai sayap penting parti, bagaimana pula orang luar mahu menghormati UMNO ?
Kerana itu, semua pihak harus jujur kepada perjuangan parti dengan menyisihkan kepentingan peribadi atau konflik dalaman.
Samalah ketika saya berterus-terang mengatakan bahawa semasa pemilihan jawatan Ketua Pemuda, saya tidak menyokong Khairy.
Bagaimanapun, selaku Ketua Pemuda UMNO, saya tetap menyebelahi dan berdiri teguh di belakang kepimpinan beliau demi kepentingan institusi UMNO, bukan kerana agenda peribadi.
Dalam perjuangan, kepentingan peribadi dan kepentingan institusi parti adalah du
a perkara yang berbeza dan kita tidak harus mencampur - adukkannya.
Saya melihat kepentingan institusi parti harus diutamakan. Oleh sebab itu saya menjemput Khairy hadir merasmikan persidangan tersebut pada tahun ini.
Saya juga turut bersetuju dengan pandangan diutarakan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee yang bersependapat amat wajar Khairy berada di dalam kabinet Najib.
Kewajaran itu bukan kerana Khairy menantu bekas Perdana Menteri, tetapi mengambil kira kedudukannya selaku Ketua Pemuda yang dipilih oleh ahli-ahli setelah mencipta kemenangan menerusi pertandingan tiga penjuru.
Pada hemat saya, Khairy berada di dalam situasi amat sukar apabila tidak berada di dalam kerajaan.
Suaranya tidak didengari dan pandangannya mungkin tidak dihormati.
Bukan kerana Khairy, tetepi institusi UMNO
Inilah dilema yang saya lihat berlaku kepada Khairy apabila dia tidak diberikan peluang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri di dalam kabinet Najib hari ini.
Saya melihat hubungan Khairy ' agak terputus' dengan suara kepimpinan parti dan kerajaan di peringkat tertinggi dan menyukarkan beliau untuk menterjemahkan kepada peringkat akar umbi atau kumpulan sasaran.
Sekadar Ahli Parlimen Rembau yang mempunyai ruang yang agak terbatas untuk bercakap di Dewan Rakyat, saya lihat tidak memadai dengan jawatannya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Ini bermakna terlalu payah bagi Khairy untuk memanjangkan keluhan, pandangan atau cadangan ahli-ahli pemuda UMNO kepada kerajaan termasuk kepada kepimpinan parti.
Oleh sebab itu, ada dikalangan pemuda UMNO yang berasakan Khairy tidak mempunyai apa-apa yang boleh dibanggakan atau dijadikan tempat mereka bergantung harap.
Dalam pada itu, secara jujurnya saya mengatakan bahawa Khairy juga perlu berubah dan bermuhasabah diri.
Banyak cakap-cakap yang tersebar luas kononnya beliau sukar didekati. Ada yang mendakwa Khairy terlalu payah dihubungi. Panggilan telefon sukar untuk dijawab apatah lagi sekadar untuk membalas sistem pesanan ringkas (SMS).
Semuanya berkisar kepada Khairy yang disifatkan terlalu elit dan tidak mudah untuk bersama golongan marhem.
Lantaran itu sekelompok pemuda didakwa amat kecewa dengan gaya kepimpinan beliau.
Secara berterus-terang ingin saya tegaskan bahawa Khairy juga terlalu payah untuk bertemu mata dan berbincang dengan Ketua-Ketua Pemuda UMNO Bahagian.
Sebagai contohnya, saya dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, tetapi saya seumpama 'tunggul' yang tidak pernah diajak berbincang.
Inilah kelemahan yang ada pada Khairy dan beliau sepatutnya sudah lama berubah sikap kerana zaman kepimpian Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi telah berlalu dan kini zaman Najib selaku Presiden UMNO.
Saya juga bersetuju dengan teguran yang dibuat oleh Syed Ali yang mendakwa barisan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini agak lemah dan longlai.
Barisan EXCO yang longlai tidak turun padang
Barisan Exconya yang tidak bersatu amat terserlah bilamana mereka dilihat jarang bersama Khairy.
Seolah-olah mereka sengaja membiarkan Khairy keseorangan.
Malah ada di kalangan ahli-ahli UMNO yang mendakwa sejak memenangi kerusi EXCO, mereka dikatakan tidak pernah mengunjungi bahagian-bahagian UMNO untuk merapatkan saf pergerakan pemuda UMNO di akar umbi.
Sebagai contohnya, setiap Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian mempunyai seorang ahli EXCO Pemuda sebagai 'abang angkat'.
Tetapi yang mendukacitakannya abang angkat itu tidak pernah pun memijak kaki ke bahagian terutamanya di bahagian Cheras.
Malah yang paling menyedihkan ahli-ahli pemuda UMNO Bahagian Cheras termasuk saya sendiri sehingga sekarang tidak mengenali siapa sebenarnya EXCO yang kononnya sebagai 'abang angkat'.
Ini bermakna fungsi 'abang angkat' itu sekadar cerita khayalan untuk menyedapkan hati pucuk pimpinan parti.
Saya juga melihat barisan EXCO termasuk yang dilantik oleh Khairy tidak mempunyai kekuatan tersendiri.
Sebagai contohnya, mereka gagal menonjolkan diri sebagai pemimpin yang memiliki kepayaan untuk berhujah mematahkan serangan pembangkang.
Barisan EXCO sepatutnya berada di barisan depan, tetapi apabila berdepan dengan serangan pembangkang, mereka menyembunyikan diri di bahagian belakang.
Barisan EXCO hari ini tidak menonjolkan karisma kepimpinan yang boleh dijadikan contoh oleh anak-anak muda.
Mereka tidak berupaya menjadikan kepimpinan mereka sebagai teras kekuatan parti, sebaliknya hanya sekadar penghias majlis.
Inilah sitausi yang berlaku dalam kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pimpinan Khairy yang perlu diubah segera jika inginkan kepada kekuatan baru bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Kelemahan sebeginilah yang harus diperbaiki oleh Khairy jika beliau mahu dilihat s
ebagai ketua pemuda yang bertanggungjawab dan mempunyai kekuatan.
Jika Khairy ikhlas mahukan institusi pemuda UMNO menjadi wadah terbaik kepada anak-anak muda dan generasi pelapis, maka beliau juga perlu mengubah pendekatan dan penampilannya.
Khairy juga perlu ubah sikap
Saya bercakap atas soal kebenaran. Mana yang elok saya katakan betul dan mana yang dilihat janggal dan salah, tetap saya menentangnya walaupun saya akan dilebelkan sebagai menentang arus.
Berpegang kepada prinsip perjuangan dan amanah yang dipertanggungjawabkan, saya tetap memperjuangkan kebenaran walaupun ternyata ianya amat pahit untuk ditelan.
Saya suka berterus-terang sepertimana Syed Ali yang tidak pernah takut untuk bercakap jika yakin berada di landasan kebenaran.
Dalam hal pemuda UMNO, saya tetap mahukan Khairy diberikan jawatan di dalam kabinet Najib bagi menghormati jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dalam isntitusi kepartian, tetapi kelemahan dalam kepimpinan Khairy tidak akan saya sembunyikan jika ianya mendatangkan kerugian kepada parti.
Berdasarkan kepada itulah, saya beranggapan bahawa kesudian Khairy merasmikan Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Chears 1 Mei lalu, kerana beliau memahami prinsip perjuangan saya.
Sehubungan itu, saya berterima kasih kepada Khairy kerana sanggup hadir ke Cheras walaupun secara peribadinya menyedari saya tidak menyebelahi beliau pada suatu ketika.
Inilah matangnya kita berpolitik, antara kepentingan peribadi dan institusi UMNO dapat kita bezakan untuk berada dalam satu saf perjuangan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan