Orang yang mengendap orang dalam bilik tidur itu orang sakit (jiwa) — Aspan AliasApril 06, 2011 — Oleh kerana kita sedang menghadapi isu video seks hasil dari permainan politik gila sekarang ini ingin saya menulis tentang cerita yang berkaitan dengannya. Ini hanya cerita ringan sahaja untuk mengingatkan kita yang mengintai untuk merakamkan orang lain di dalam kelambu itu merupakan satu jenis penyakit. Apa nak di namakan penyakit itu pun saya tidak tahu.
Dalam isu yang di perdebatkan sekarang ini, walaupun ianya dijadikan isu politik olih satu pihak untuk menjatuhkan pihak yang lain tetapi mengintai dan mengendap itu sendiri adalah penyakit yang amat serius. Ramai penggemar kegiatan mengintai ini tidak sedar yang dia sebenarnya sedang sakit. Ianya bertentangan dengan agama dan adap serta tamadun manusia.
Dulu di kampong-kampong, mengintai pasangan orang sedang tidur ini merupakan satu aktibiti yang biasa. Yang hampir pasti menjadi mangsa ialah pasangan yang baru berkahwin. Mengintai dan mengendap ini adalah hobi tegar bagi setengah orang di desa-desa semasa dahulu. Maklumlah semasa itu tidak semua orang ada TV atau 'play-station' untuk bermain 'game' dan sebagainya. Bekalan letrik pun tidak ada semasa itu.
Mungkin inilah sahaja cara bagi anak-anak muda mencari hiburan. Tetapi yang pasti kegiatan mengendap ini adalah satu penyakit tegar bagi setengah orang semasa itu. Kegiatan itu masih berlaku di zaman ini tetapi tidaklah begitu meluas. Ianya hanya dilakukan oleh mereka yang mengidap penyakit mengendap manusia lain sedang berasmara. Orang yang terlibat dengan penyakit ini merupakan pesakit psikologi yang amat ganjil dan serius.
Saya hendak membawa satu cerita bagaimana seriusnya penyakit mengendap ini. Mungkin pakar jiwa sahaja boleh membantu untuk menyembuhkan penyakit ini.
Ada seorang yang baik budi pekertinya dan tidak bercakap banyak. Kita berikanlah namanya sebagai Amat. Amat tidak pernah menyakitkan hati orang lain. Pada keseluruhannya dia adalah orang baik dan disukai oleh masyarakat kampongnya. Tetapi orang ramai tidak tahu yang Amat ini mengidap penyakit ketagihan menghendap orang tidur yang tidak dapat dihentikannya. Amat sudah ketagihan mengintai dan dia dapat merasakan kelegaan pada dirinya apabila sudah berjaya mengintai pasangan lelaki dan perempuan sedang tidur.
Dia telah mengintai dan menghendap ini sejak dari mudanya dan tidak pernah diketahui masyarakat jirannya. Entah berapa pasangan yang di intainya dan dia sendiri tidak dapat mengiranya. Setelah umurnya hampir setengah abad barulah kegiatannya terbongkar setelah dia ditangkap oleh jirannya sedang mengendap. Lantas malulah anak-anak dan isterinya kerana anak isterinya sendiri tidak tahu yang dia ini mempunyai penyakit mengendap ini. Jiran-jirannya gempar kerana tidak menyangka yang Amat telah mengintai banyak pasangan di bilek tidur.
Isteri Amat sangat malu dan berfikir cara apa yang patut dilakukannya untuk mengelakkan suaminya dari terus mengintai. Akhirnya isteri kesayangannya telah membeli video lucah untuk ditayangkan di rumah untuk suaminya menonton agar suaminya itu tidak lagi keluar lagi mengintai orang lain. Bagi isterinya biarlah suaminya melepaskan melihat orang berasmara di dalam rumah sendiri dengan menonton video lucah yang dibelinya.
"Nah, tengok video ni bang. Tengok puas-puas. Jangan mengendap orang. Abang jangan bikin kami malu lagi!" bentak isterinya sambil memasukan video itu ke dalam 'video player'.
Apabila bermula sahaja adengan seks di dalam video itu Amat terus pergi mengendap dari belakang tiang rumahnya menyaksikan video yang ditayangkan oleh isterinya. Isterinya membentak, "eh!! Tengok video pun mengendap?" Amat menjawab, "bukankah itu adengan seks, terpaksalah abang hendap video tu!!"
Rupa-rupanya suaminya memang sudah mengalami penyakit mengendap. Kerana sudah selalu mengendap melihat tayangan video seks di rumah sendiri pun mengendap.
Jika dahulu mengendap di lakukan oleh orang-orang kecilan di kampong-kampong, sekarang kegiatan mengendap sudah menjadi permainan orang yang bernama dan bergelar. Diantaranya Dato pun ada, Tan Sri pun ada. Tujuan orang-orang bergelar dan bernama ini mengintai orang lain dalam keadaan 'compromising' dengan pasangannya mungkin banyak. Di antaranya untuk membalas dendam atau pun hendak menggunakan video intaiannya itu untuk mengambil hati suatu pihak bagi mendapatkan imbuhan. Mengintai dan mengendap sekarang sudah menjadi satu 'political and business motivated'.
Sekarang baru kita tahu yang gelaran yang di terima mereka tidak mampu mengubah perangai asal mereka. Orang tuo-tuo dulu ado cakap, kalau seorang Rajo itu jiko dio menyapu sampah di topi jalan pun dio totap Rajo, totapi jiko seseorang itu adalah sengkek dilotakan mahkoto kek kopalo pun, dio totap sengkek.
Itulah perbilangan orang tua-tua dahulu. Kata-kata itu bukan saya yang memandai-mandai nak kata.
Sumber:
http://kopitiam-bang-nan.blogspot.com/Sumber:
http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan