PEKAN 15 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,  usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju tidak akan  tercapai jika transformasi dalam bidang pendidikan dan modal insan tidak  dilakukan dengan sebaiknya.
 Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar dalam  bidang pendidikan dan ia perlu didokong semua pihak termasuk rakyat  bagi merealisasikan hasrat mencapai sebuah negara maju.
  
 "Bidang pendidikan adalah satu bidang keutamaan yang perlu  diperjuangkan, yang perlu disuntik dari segi kewangan, prasarana serta  dokongan moral semua pihak termasuk rakyat," katanya ketika berucap pada  majlis penyampaian anugerah cemerlang pelajar UPSR (Ujian Pencapaian  Sekolah Rendah) dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) Parlimen Pekan di  sini hari ini.
 Najib berkata, sebanyak 22 peratus daripada belanjawan negara setiap  tahun adalah diperuntukkan untuk bidang pendidikan, yang membuktikan  kerajaan amat menekankan pencapaian cemerlang bidang pendidikan negara.
  
 "Selain itu, kita tambah lagi peruntukan menerusi badan-badan dan  yayasan seperti di Pahang, Yayasan Pahang untuk memajukan bidang  pendidikan negara, kita juga cari dari sumber-sumber lain untuk bidang  pendidikan, malah peruntukan untuk wakil rakyat juga banyak disalurkan  untuk bidang pendidikan.
 "Apa yang kita ingin capai untuk menjadi sebuah negara maju tak  mungkin jadi kenyataan jika kita tidak dapat bangunkan jumlah modal  insan, jumlah yang mencakupi dalam bidang-bidang penting," katanya.
  
 Najib berkata, semua lapisan rakyat perlu mendokong hasrat kerajaan  untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan  menekankan pencapaian cemerlang anak-anak mereka dalam bidang  pendidikan.
 Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian pusat komuniti  perumahan bersepadu kampung Padang Rumbia, dekat Paloh Hinai, Najib  berkata, usaha transformasi menjadikan negara maju perlulah didokong  semua pihak. - BERNAMA
  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan