SHAH ALAM - Jika sesuatu portal berita boleh mengkritik organisasi kerajaan, ia juga hendaklah bersedia menerima kritikan.

Itu bagi menunjukkan sesebuah penerbitan tersebut bebas.

Menteri Dalam Negeri (KDN),Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sesuatu kenyataan hendaklah disiarkan sepenuhnya, bukan sebahagian sahaja sehingga ianya boleh menimbulkan salah faham terhadap sesuatu yang diperkatakan itu.       

Menurut Ahmad Zahid, antara kenyataan beliau yang sudah diputar belit  oleh sebuah portal berita adalah berkaitan dengan kenyataannya seolah-olah menyokong kumpulan gengster, dikenali 'tiga line'.

"Saya tidak pernah sebut tiga line orang kita'. Saya cakap ia merupakan serpihan dari kumpulan Pertubuhan Kebajikan Dakwah dan Islamiah (Pekida) dan pecahan itu mewujudkan tiga line'.

"Saya mendapat laporan terperinci mengenai kumpulan ini, sejak sebelum jadi menteri KDN.

''Tapi jika dalam kalangan mereka jadi bouncer, penarik kereta dan terlibat dalam jenayah saya akan minta polis tangkap mereka. Kenapa ayat itu tidak keluar? "katanya.
Beliau mengulas kenyataannya yang mendakwa beliau menggelar kumpulan gengster tiga line sebagai 'orang kita'.

Mengulas mengenai Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang diluluskan baru-baru ini, beliau berkata, masih banyak pindaan akta lain, termasuk Akta Pertubuhan 1966, akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang agar ia seiring.

"(Hukuman yang boleh diambil nanti) termasuk merampas premis membuat kerja-kerja maksiat, merampas akaun dan menahan untuk pencegahan; tunggulah sidang akan datang. Ada 10 lagi (akta) yang akan dipinda," katanya.