KUALA TERENGGANU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan operasi membanteras jenayah terancang dan berat selepas Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dan dikuatkuasakan.
   
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, menerusi akta itu, polis diberi lebih kuasa untuk memeriksa dan menangkap penjenayah.
   
"Kita (polis) akan laksanakan (operasi) dengan tindakan-tindakan yang diberi kuasa kepada kita oleh POCA," katanya kepada pemberita selepas majlis Bicara Tokoh mengenai isu keselamatan negara daripada perspektif PDRM di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.
   
Pada 28 Januari lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, POCA 2012 akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.
   
Katanya, antara pindaan yang diperuntukkan dalam POCA ialah ia diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, tempoh tahanan siasatan dikurangkan daripada 71 hari kepada 60 hari serta Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah diguna pakai.
   
Selain itu POCA juga menguatkuasakan penggunaan alat pemantauan elektronik (EMD), penubuhan Lembaga Pencegahan Jenayah, perlindungan saksi, syarat pengawasan lebih ketat dan 'sunset clause' iaitu akta ini akan dikaji semula setiap lima tahun, kata Ahmad Zahid.
   
POCA menyasarkan golongan penjenayah terancang dan jenayah berat dengan ada peruntukan untuk tahanan tanpa bicara sebagaimana yang pernah diperuntukkan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 yang telah dimansuhkan.  - Bernama