Teknologi BIM cepatkan reka bentuk, pembinaan

PUTRAJAYA: Bangunan Institut Kanser Negara (IKN) di Presint 7 di sini berharga RM690 juta muncul sebagai premis pertama dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR) di negara ini menggunakan teknologi pintar Building Information Modelling (BIM).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata penggunaan teknologi BIM, iaitu aplikasi model digital bagi mempercepatkan kerja reka bentuk, pembinaan dan pengurusannya, bukan hanya mempercepatkan pembinaan IKN, malah memudahkan kerja penyelenggaraan dan membaik pulih apabila berlaku kerosakan selepas bangunan itu siap pada 31 Ogos 2013.

"Kita yakin IKN dijangka beroperasi lebih awal, selepas diserahkan kepada Kementerian Kesihatan kerana sehingga 31 Disember lalu, kerja pembinaannya mencapai tahap 22.6 peratus siap iaitu tujuh peratus lebih awal berbanding jadual sebenarnya 16 peratus.

"Pembinaan IKN mencatatkan rekod amalan terbaik bagi pengurusan keselamatan apabila merekodkan sifar kemalangan dalam tempoh 1.46 juta jam bekerja (451 hari) sejak September 2010," katanya selepas melawat tapak projek bangunan itu di sini, semalam.

Pada masa sama, Shaziman berkata, kementerian melantik Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bisnes), Datuk Ir Mohamad Hussin selaku Pengarah Projek IKN bagi memastikan pembinaan berjalan lancar.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang turut serta dalam lawatan itu, berkata pihaknya berharap pembinaan dapat disiapkan mengikut jadual kerana ia bakal menjadi Pusat Rujukan Kebangsaan dan Pusat Kecemerlangan bagi pengurusan, rawatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) ubat-ubatan baru di Malaysia dan rantau Asia.
Tiong Lai berkata, pembinaan IKN membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan pesakit luar khusus bagi rawatan kanser antaranya klinik onkologi, paliatif, perubatan nuklear, rawatan kanser harian dan penjagaan kanser di rumah kepada rakyat negara ini.

Beliau berkata, pembinaan IKN penting kerana kanser adalah pembunuh nombor dua di kalangan rakyat Malaysia selepas jantung.

Malah, dari segi peratusan kematian akibat kanser meningkat daripada 7.5 peratus pada 1975 kepada 11.87 peratus, pada 2010.

"Daftar Kanser Kebangsaan pada 2007 pula menunjukkan lima jenis kanser paling kerap berlaku di kalangan rakyat Malaysia ialah payu dara (18.1 peratus), kolorektral (12.3 peratus), paru-paru (10.2 peratus), nasofarink (5.2 peratus) dan serviks (4.6 peratus)," katanya.

INFO

Kos pembinaan - RM690 juta
Keluasan tapak - 10.65 hektar
Tarikh milik tapak - 1 September 2010
Tarikh jangka siap - 31 Ogos 2013
Kapasiti - satu bangunan utama menempatkan 252 katil
Kaedah pelaksanaan - Reka dan Bina