Perdana Menteri yang mengambil tindakan undang-undang tersebut atas kapasiti peribadi memberi 48 jam kepada Harakah Daily untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik semua kenyataan fitnah itu atau berdepan saman.

Beliau yang diwakili peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun, menyerahkan surat tuntutan undang-undang kepada Pengarah Urusan Ha­rakah, Dr. Rosli Yaakop pada pu­kul 3 petang di ibu pejabat lidah rasmi Pas itu di sini hari ini.

Dalam surat tuntutannya, Najib antaranya berkata, laporan fitnah disiar Harakah Daily itu boleh menyebabkan rakyat menganggap beliau sebagai pemimpin yang mempunyai moral tidak baik kerana menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan, laporan berkenaan juga berniat jahat sehingga membawa maksud bahawa beliau telah menyalahgunakan dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk meraih kekayaan dan mengaut keuntungan.

Harakah Daily dalam laporan tersebut pada 19 Februari lalu antara lain menyiarkan:

"Dari sumber manakah keluarga pertama Malaysia memperoleh kekayaan yang begitu besar? Walhal gaji tahunan Perdana Menteri Malaysia hanya sekitar AS$100,000 setahun. 

Dalam satu kenyataan dari Jabatan Perdana Menteri ada dinyatakan bahawa 'Perdana Menteri ada mewarisi harta pusaka'.

"Namun, harta pusaka itu tidak mungkin bernilai terlalu besar kerana bapa beliau pun Perdana Menteri seperti beliau juga dahulu.

"Jawapan yang lebih meyakinkan ialah, kalau tidak dari sumber yang 'kotor', dari mana lagi? Wang ini dibersihkan dengan melabur dalam hartanah di Amerika. Mudah, sumber wangnya tidak dipersoalkan. Akta Penggubalan Wang Haram tidak terpakai,".