Abdul Aziz Mohd Yusof SHAH ALAM - Setiap calon dan parti yang bertanding diingatkan agar menggunakan sebaik mungkin tempoh masa berkempen yang ditetapkan untuk mengelak sebarang rasa tidak puas hati peraturan yang akan dikuatkuasakan dengan ketat kelak, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Katanya, tiada alasan untuk mana-mana parti untuk terus berkempen selepas jam 12 malam hari terakhir tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak termasuk menggunakan media sosial.

"Perkara ini sudah lama dikuatkuasakan, dan jika semua parti politik dan calon yang bertanding faham akan undang-undang, isu ini tidak akan timbul," kata beliau.

"Larangan untuk tidak berkempen seperti ceramah dan sebagainya termasuklah juga berkempen melalui media sosial," kata Abdul Aziz kepada Sinar Harian Online.