MENJOLAK MENTARI                                                                    Masa untuk menyelamatkan DUN Selangor dibubarkan ekoran kegagalan  menyelesaikan kemelut pengganti Khalid Ibrahim masih ada sedikit sahaja  lagi. Di pihak Sultan Selangor dikira sudah begitu melegakan apabila  baginda telah memberi ruang meminta parti-parti Pakatan, PKR, Pas dan  DAP menghantar lebih dua nama.
Sedikit sebanyak sultan telah bermurah hati dan sedia melayan demokrasi  di Selangor. Atas budibicara baginda boleh sahaja meminta Khalid  "menasihatinya" agar membubarkan DUN Selangor. Tetapi nampaknya tidak  begitu. Semangat Perlembagaan dan Undang-undang tampaknya dipedulikan  oleh sultan. Baginda juga peka dengan implikasi yang bakal menimpa  batang tubuhnya sekiranya tindakan membubar dewan dilakukan. Baguslah.
Kini semuanya terletak kepada PKR bagi menentukan  apakah DUN Selangor perlu dibubarkan atau tidak. Kata putus tergenggam  dalam tangan PKR. Semalam pihak istana telah mengutus surat kepada parti  itu agar menamakan nama lain selain Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk  diklantik menjadi MB. Tetapi ada usaha untuk memanipulasikan hakikat  surat berkenaan menyebabkan kenyataan dikeluarkan ditarik balik. Kenapa  terjadi begini? Seolah-olah orang yang melakukan ini sebagai satu  sabotaj dalaman pula.
PKR berpegang kepada prinsip dan pendiriannya menghantarkan hanya satu  nama sahaja. Semua orang kena menerima dan menghormati pendirian itu.  Tetapi dalam politik tidak semestinya pendirian yang betul itu tetapi  kalau ia mendatangkan masalah perlu ditegakkan.
Apakah PKR tetap berpegang kepada pendirian itu hanya mahukan Dr Wan  Azizah sahaja? Kalau itulah pendirian tegas PKR, ini bermakna jalan ke  arah pembubaran DUN semakin cerah. PKR terutamanya pemimpin yang  bersedia untuk memasuki ke pejabat MB bersama Dr Wan Azizah harus  berfikir jauh dan berfikir untuk diri sendiri.
Kalaulah DUN dibubarkan dan pilihan raya diadakan semula, katalah  Pakatan Rakyat menang dan PKR sekali lagi diberikan kepercayaan oleh  rakannya untuk mengetuai parti, dan nama Wan Azizah juga diajukan kepada  sutltan untuk jadi MB apakah keadaan yang berlaku sekarang ini tidak  berulang? Apakah boleh dipastikan kalau hari ini sultan tolak nama Wan  Azizah esok sultan boleh menerimanya.
Walaupun ia tidak mustahil tetapi ia agak mustahil untuk berlaku begitu.
Rasanya kalau hari ini jarum tidak dapat meloloskan diri maka kelendan  juga tidak akan dapat menurtinya. Hari Jumaat tidak akan mendahului hari  Khamis kerana sunatullahnya begitu. Pada saya seeloknya Dr Wan Azizah  kena 
surrender.Saya yakin waktu ini atau malam tadi pimpinan PKR sudah pun  membincangkan hal ini dan keputusan sudah pun ada serta sedia untuk  dimaklumkan. Cuma diharap keputusan itu janganlah tegang sehinggakan  pembubaran DUN berlaku. Sebab seperti dikatakan tadi kalau DUN  dibubarkan apa yang berlaku kini tetap akan berlaku. Tidak semudah itu  untuk memaksa hati sultan daripada menerima seseorang yang tidak  diperkenankannya. Sultan adalah sultan. Berihu kali puyuh berkokok macam  terkukur, ia tetap puyuh juga yang ekornya pendek dan terbang rendah.
Yang terbaik PKR bersama Pakatan Rakyat hantarlah nama lain. Sekiranya  nama Mohamed Azmin Ali tidak dapat dipersetujui kerana masalah tertentu,  hantarlah nama lain. PKR masih ada 12 nama lagi yang boleh diangkat  menjadi MB. Itu Adun Ijok Dr Isris Ahmad boleh diangkat untuk jadi MB  sementara. Dalam soal ini baik Dr Wan Azizah dan mereka yang  mengekorinya dan juga Azmin redalah dengan apa yang berlaku.
Bersabit dengan Azmin hairan kenapa timbalan presiden ini tidak dapat  diterima. Apakah penolakan kerana kelemahan kepimpinannya ataupun kerana  ada chemistry tertentu? Kalau ia ditolak kerana hal-hal personal ini  bermakna PKR sudah tidak rasional lagi dalam politik. Masalah  ketidakrasionalan inilah menjadikan PKR bermasalah dan juga mengheret  sama Pakatan Rakyat.
Saya diberi tahu Azmin tidak disenangi oleh Dr Wan Azizah dan  keluarganya. Begitu juga Khalid Ibrahim tidak menyenangi Azmin. Saya  faham kalau Khalid tidak menenangi Azmin, tetapi tidak faham kalau Dr  Wan Azizan dan keluarganya tidak menyenangi Azmin. Maaf saya terpaksa  menyebut dan bertanyakan hal ini? Ingat Azmin bukan milik sesiapa tetapi  dia milik PKR.
Semua orang dalam PKR harus berjiwa berjiwa besar untuk memastikan  kerajaan negeri Selangor dapat diteruskan oleh Pakatan Rakyat.  Setidak-tidak tahan diri untuk kira-kira tiga tahun lagi sebelum pilihan  raya umum ke-14 menjelang. Masa itu atur dan susunlah agar hasrat dan  cita-cita peribadi masing-masing tercapai?
Perkara yang perlu diutamakan bukan soal peribadi atau melantik sesiapa  yang kita berkenan dan suka, tetapi lantiklah mereka yang boleh diterima  sultan dan diperkenankan olehnya. Sebab perlu diketahui pemutusnya di  situ. Berkeras dengan sultan sampai ke bila pun tidak akan menang.  Sultan diibartkan durian rakyat (PKR) diibaratkan mentimun. Tergolek  kena digolek pun kena. Apa lagi dalam keadaan apa juga dan bila-bila  masa sahaja akan wujud dua kumpulan orang Melayu di negara ini satu  menyokong raja dan satu lagi tidak setuju dengan raja.
Kewujudan dua kumpulan yang bertentangan inilah yang menyebabkan segala  masalah berhubung dengan kepentingan orang Melayu juga sukar  dilaksanakan. Tidak mahu pula saya memberi anologi lebih kepada bangsa  yang satu ini, Melayu. 
[wm.kl.9:20 am 04/09/14]  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan