Oleh ZULKIFLI YAHAYAPENGERUSI Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)  Dato' Dr Mashitah Ibrahim mendesak kerajaan menggubal undang-undang bagi  memantau kewujudan sekolah pondok yang semakin banyak ditubuhkan tetapi  terbabit menyebarkan fahaman ekstremis.
Mashitah berkata, ada  pihak yang mendekati pondok untuk mengajak warganya menganggotai pasukan  jihad yang boleh membawa kepada perjuangan militan. Katanya lagi, Islam  tidak pernah mengajar fahaman ekstremis atau keganasan.
Entah  apa merepeknya orang yang diamanahkan Dato' Seri Najib Razak untuk  menjaga pondok ini tiba-tiba mengaitkan pondok dengan keganasan. Realiti  yang berlaku di negara ini, begitu ramai ektremis datangnya dari sebuah  parti politik asobiyah kaumiyah dan beberapa buah NGO yang jadi rakan  sekutu mereka. Itu tidak dipedulikan. Pondok pula yang jadi sasaran  fitnah jahat di bulan Ramadan ini.
Kumpulan rasis Melayu itu  bertindak ganas dalam setiap isu yang melibatkan kononnya penentangan  terhadap hak Melayu, Islam dan raja. Mereka paling banyak mengadakan  'himpunan haram' termasuk melakukan provokasi melampau berteraskan  semangat rasis seperti mengusung kepala lembu berdarah dan sepanduk yang  mengandungi kata nista. 
Baru-baru kumpulan pelampau tersebut  telah menyerang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang. Mujur tidak  ada yang terkorban di sebalik keganasan tersebut. Dalam isu tertentu,  ada pemimpin kumpulan pelampau itu yang mengugut untuk memancung kepala  pihak yang tidak mereka senangi. 
Tetapi oleh kerana kewujudan  kumpulan pelampau ini adalah dari tarbiyah dan (mungkin) arahan parti  asobiyah kaumiyah yang sedang menerajui negara maka tindakan ekstremis  mereka semuanya 'ditanggung halal' belaka.
Usaha pihak tertentu  mengaitkan pondok, bahkan PAS dengan kumpulan ekstremis adalah apabila  tersebar khabar seorang ahli PAS melepaskan jawatan dalam parti,  meninggalkan negara dan pergi mengangkat senjata untuk berperang dengan  regim Basyar Assad. Dia pergi bukan atas arahan mahupun pengetahuan  pemimpin PAS. Tindakannya secara bersendirian dan ijtihadnya untuk  memilih kaedah berperang di negara orang itu pun keputusannya sendiri.
Ramai  sangatkah warga pondok yang pergi berjihad di Syria? Pihak berkuasa  Malaysia tentu ada maklumat. Tetapi kalau hendak dikata habis lengang  pondok di Malaysia kerana warganya pergi berperang, tidak masuk akal.  Berdasarkan maklumat yang diterima di alam maya, yang pergi berperang di  Syria cuma seorang dari Malaysia, yang merupakan bekas anggota PAS.
Jika  cuma seorang, apalah yang hendah dikepohkan sangat oleh Pengerusi  Publisiti MCA, Dato' Chai Kim Sen yang meminta pihak polis agar membuat  pemeriksaan ke atas semua ahli PAS berhubung isu jihad di Syria. Nampak  sangat Pengerusi Publisiti MCA itu hanya mencari publisiti untuk  dirinya.
Isu jihad tiada kena mengena dengan MCA. Sukar juga  untuk diterangkan konsep jihad kepada pemimpinnya yang aqidah pun tidak  betul.
Dalam konteks di Malaysia, PAS memilih berjihad secara  'muwajahah silmiyyah' iaitu perjuangan mendapatkan kuasa melalui cara  yang aman. Tegasnya adalah melalui sistem demokrasi. Jika ada yang  enggan memilih kaedah yang diguna pakai oleh PAS, tiada masalah. Mereka  boleh berada di luar PAS. 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa  Ali menegaskan bahawa PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan serta  memecat mana-mana ahlinya yang terlibat di dalam apa jua bentuk aktiviti  yang bertentangan dengan prinsip perjuangan yang didokongi PAS selama  ini.
Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang juga berkali-kali  menegaskan bahawa pendekatan politik yang diambil PAS di negara ini  adalah secara aman dengan terus terlibat dalam proses pilihan raya dan  demokrasi walaupun ianya tempang dan tidak adil.
Berhubung isu di  Syria, Presiden PAS juga pernah menghuraikan dengan mendalam situasi  yang begitu kompleks di sana. Beliau mengambil sikap berhati-hati dan  menjauhi dari memihak kepada mana-mana kumpulan, lantaran tidak mahu  menjayakan agenda musuh Islam khususnya Barat untuk memecahbelahkan umat  Islam sejagat. Sikap tersebut boleh difahami dengan jelas dalam tulisan  mahupun ucapannya. 
Keputusan seorang anggota PAS melepaskan  kedudukannya dalam PAS sebelum pergi berjihad di Syria adalah tindakan  yang tepat kerana dia tiada mengena lagi dengan apa-apa tanggung jawab  dalam PAS. 
Justeru, penglibatannya tidak perlu dikaitkan dengan  PAS untuk tujuan mengaburi mata masyarakat umum bahawa PAS menyokong  militan. Elok kerajaan BN mencari isu lain untuk memburukkan pondok atau  PAS. 
   
Tiada ulasan:
Catat Ulasan