
ALHAMDULILLAH dengan izin Allah SWT maka malam ini akan jadi satu  malam yang akan terpahat dalam sejarah perjuangan parti UMNO kita.  Sebentar tadi bila saya menghampiri Stadium Nasional Bukit Jalil ini.  Saya merasakan seolah-olah saya akan menonton pertandingan akhir piala  bola sepak. Mungkin terbayang saya pertandingan akhir pertandingan Piala  AFP tetapi rupa-rupanya setelah saya mendekati Stadium Bukit Jalil ini,  setelah saya memasuki terowong Bukit Jalil ini saya lihat yang  sebenarnya bukan pertandingan akhir kejohanan bola sepak tetapi  perhimpunan raksasa maha UMNO. Satu perhimpunan yang luar biasa. Satu  perhimpunan yang saya anggap sebagai perlambangan kekuatan UMNO.  Perlambangan perjuangan gigih UMNO. Sebab itulah perhimpunan yang  bersejarah pada malam ini merupakan satu perhimpunan yang menunjukkan  bahawa kekuatan UMNO tidak pudar dan tidak menurun. Siapa kata sokongan  tidak kuat? Yang berhimpun dalam stadium ini bak kata Timbalan Presiden  tadi hampir 100,000 yang berhimpun, yang sedang menonton di televisyen,  berjuta-juta. Kita berhimpun dalam stadium ini dengan memakai baju  merah. Kita memakai baju merah kerana inilah warna darah daging  perjuangan UMNO yang membara dalam hati kita. 
Kita berhimpun dalam stadium ini secara aman. Kita berhimpun dalam  stadium ini secara tertib. Kita berhimpun dalam stadium ini kerana UMNO  menghormati undang-undang negara. Kita tidak perlu ramai anggota polis.  Anggota-anggota polis kelihatan ceria belaka. Mereka kelihatan  senyum-senyum belaka. Mereka tidak tension. Kita pun tiada tension.  Kenapa kalau UMNO boleh berhimpun dalam stadium, pihak-pihak lain tidak  boleh berhimpun dalam stadium?
Kalau hendak tunjuk kekuatan berhimpunlah macam UMNO berhimpun hari  ini. Kalaulah mereka merupakan rakyat malaysia yang cinta kepada  keharmonian negara, yang menghormati undang-undang berkumpullah macam  UMNO berkumpul pada malam ini. 
Tidak mahu berkumpul di Stadium Bukit Jalil, kita tawarkan Stadium  Merdeka. Di Stadium Merdeka, stadium yang telah menyaksikan satu  peristiwa yang amat bersejarah lagi keramat, Almarhum Tunku Abdul Rahman  telah melaungkan merdeka, merdeka, merdeka. 
Tetapi mereka tidak mahu berhimpun di Stadium Merdeka kerana apa?  Kerana mungkin mereka takut tidak seramai UMNO berhimpun? Saya kira  kalau congak punya congak kita lagi ramai malam ini. Kalaulah mereka dah  kata bahwa Stadium Merdeka tidak ada nilai sejarah, maka itu merupakan  satu pembohongan. Kita sanggup demi jaga keamanan dan keselamatan, kita  tawarkan Stadium Merdeka tetapi mereka kata kononnya dah terlambat,  padahal tiga hari lagi ada masa. Saya diberitahu mereka tolak tawaran  Stadium Merdeka kerana apa? Kerana mereka nak merempuh, mereka nak  berbalah, mereka nak tendang terajang pihak polis. Kalau tidak ada  pergeseran, tak keluarlah cerita dalam CNN, tak keluarlah dalam  Al-Jazeera, tak keluarlah dalam BBC. Inilah tujuan sebenarnya. Mereka  nak tunjuk kononnya kita ini kerajaan dan pihak berkuasa yang zalim. 
Mereka tidak menghormati undang-undang negara. Bagaimana perasaan  anggota polis kalau dipukul? Ada anggota polis yang saya temui kena  pukul menggunakan kayu lisut, baseball. Belakang kena pukul, depan kena  pukul sehingga muntah darah. Inikah orang yang bertamadun? Inikah orang  yang menjaga imej Malaysia? Kalau kita dalam stadium ini kita nak rempuh  kita boleh tahan Dataran Merdeka. 
Tetapi UMNO tidak sedemikian. Jati diri kita ialah untuk menghormati  undang-undang negara kerana negara inilah yang telah dimerdekakan oleh  UMNO. Kerana negara inilah yang telah dibangunkan oleh UMNO dan kerana  UMNO lah negara ini akan menjadi negara maju dan berjaya Insya Allah.  Sebab itulah kita tidak reda melihat apa-apa yang berlaku pada negara  kita. Biar apa yang mereka hendak lakukan UMNO tetap akan menjaga maruah  dan imej negara kita ini.
Kita berkumpul pada malam ini menyambut 66 tahun usia UMNO dan dalam  masa 66 tahun ini bererti hampir tujuh dekad, tujuh dasawarsa kita telah  berbudi, menabur budi untuk negara kita. Dan bila kita berkumpul pada  malam ini dalam suasana yang cukup meriah, kita meraikan kejayaan,  kejayaan sebuah parti politik yang paling berjaya di dunia dalam sistem  demokrasi berparlimen. Kita berhimpun pada malam ini, kerana kisah  kejayaan Malaysia itu adalah kisah kejayaan kepimpinan UMNO selama ini  dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN). 
Sebab itulah sambutan kita meriah bukan kerana kita gagal, sebaliknya  kalau kita melihat bagaimana mencabarnya kita memimpin negara kita,  dengan kepelbagaiannya, dengan pelbagai cabarannya, dengan keunikan yang  ada pada malaysia, tak ramai yang menjangkakan bila bahawa UMNO lahir  66 tahun lalu, kita boleh membawa negara kita pada keadaan yang kita  sama-sama dapat saksikan hari ini.
Ramai yang meramalkan negara kita tidak mampu kekal, tak mungkin  aman, jauh sekali boleh berjaya. Tetapi pada semua ramalan-ramalan yang  sinis, meleset belaka. Meleset kerana apa? Kerana kejayaan UMNO memimpin  negara kita selama ini. Sebab itulah kita berhimpun pada malam ini  sebagai sebuah parti yang berjaya, bukan sebaliknya. Sebab itulah kita  berhimpun sebagai melambangkan parti yang telah berjaya membawa  perubahan demi perubahan sejak dahulu sampai pada hari ini. Setiap  pemimpin utama UMNO telah membawa kejayaan dan kita ucap terima kasih  kepada semua pemimpin UMNO terdahulu. Dan kita berterimakasih Tun Dr.  Mahathir Mohamad ada bersama kita pada malam ini
UMNO tidak mabuk kuasa. Kita sanggup membuat perubahan jika masa  menuntut perubahan. Kalau persekitaran berubah, bak kata Timbalan  Presiden tadi (Tan Sri Muhyiddin Yassin), UMNO juga perlu berubah.  Dasar-dasar kita boleh berubah tapi prinsip matlamat perjuangan kekal,  demi agama bangsa dan negara.
Orang di sebelah sana pembangkang, suka sangat hendak memperlekehkan  UMNO, hendak menidak kejayaan kita, hendak menghina UMNO tetapi mereka  sebenarnya tidak ada jasa kepada negara kita. Mereka tidak ada jasa  kepada negara kita. Mereka boleh mengata, mengutuk kita macam-macam,  mereka boleh menggelar diri lebih terbuka, lebih demokratik, tapi UMNO  sebenarnya lebih demokratik daripada mereka. Ketua mereka tidak dipilih  ikut proses demokrasi. Alih-alih menjadi ketua umum pembangkang. Cakap  sikit sahaja sudah tidak boleh, tegur sikit pun tidak boleh. Bila ada  pemimpin mereka (Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim) kata... `eh! kalau buat  demonstrasi jalanan tidak baik untuk negara, lebih elok berhimpun dalam  stadium', jawatan dia dalam senator tidak disambung semula. Ada sikit  saja pandangan berbeza, parti yang namanya parti demokratik, di mana  demokrasi? Ada demokrasi? Parti yang nama demokratik parti tak ada  demokrasi. Lepas itu UMNO dipersalahkan segala-galanya. Bila seorang  pemimpin mereka tidak peduli langsung ibu  kandungnya sendiri, UMNO nak  dipersalahkan. Memang hebat benar UMNO ni, dalam bilik tidur kita boleh  tentukan, dalam kelambu pun boleh kita boleh tentukan. 
Banyak persoalan lain tidak berjawab. Bila suruh bela diri tidak  berani bersumpah. Di mana letaknya kredibiliti sebagai pemimpin. Jangan  salahkan UMNO, kitalah parti yang telah berjuang untuk negara kita.
Oleh kerana 66 tahun bererti hampir tujuh dekad UMNO telah berjasa  pada negara, oleh kerana bahang-bahang pilihan raya sudah dapat kita  rasai, dan ramai sudahpun kena demam pilihan raya, saya lihat malam ini  hebat, rasa-rasanya esok saya nak mengadap Yang di-Pertuan Agong. Bila  nak ada pilihan raya? Esok? Bulan Jun? Bila? Tahun depan? Tak boleh? 
Tuan tuan, saya nak bagi tujuh sebab, sebab tujuh dekad kita sudah  berjasa pada negara. Kalau kita nak memilih nanti, bila sampai masanya,  dalam minda kita kena buat perhitungan. Saya nak paparkan tujuh prinsip  yang boleh membantu kita membuat penilaian dan pertimbangan.
Pertama, di antara BN dan pembangkang, mana satu kepimpinan yang  boleh dipercayai dan janji ditepati? Siapa dah bagi Bantuan Rakyat  1Malaysia (BR1M)? Siapa dah bagi baucar buku? Siapa dah bagi pada  murid-murid sekolah? Siapa dah bagi pada peneroka Felda? Siapa dah buat  Kedai Rakyat 1Malaysia? Siapa dah buat Klinik Rakyat 1Malaysia? Siapa  buat prasarana luar bandar (atau) dalam bandar, perubahan? Sekolah siapa  buat segala-segalanya? BN.
Prinsip yang kedua, Sebelum saya masuk prinsip kedua, siapa yang  pegang kepala penghuni Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, janji kalau  pakatan menang mereka boleh kekal selama-lamanya? Siapa buat 22 janji  tetapi sebahagian besar tidak ditunaikan di Selangor. Siapa gagal  uruskan soal air. Banyak lagi mereka gagal.
Prinsip kedua, kita mesti tentukan hari esok lebih baik daripada hari  ini. Antara BN dan pembangkang, siapa boleh jamin pada rakyat Malaysia  hari esok lebih baik daripada hari ini? Jawab.
Ketiga, siapa boleh memelihara keluhuran perlembagaan, kedaulatan  undang-undang, mempertahankan kesucian Islam, raja-raja melayu, dan hak  kaum-kaum lain? Jawab.
Keempat, siapa boleh menguruskan ekonomi kita dengan baik, membawa kita pada pertumbuhan yang memberangsangkan? Jawab.
Kelima, siapa boleh jamin perpaduan dan keharmonian negara kita? Jawab.
Keenam, siapa boleh membuat perubahan dan pembaharuan secara tersusun? Siapa buat transformasi pada negara kita? Jawab!
Ketujuh dan terakhir, siapa yang boleh tentukan kemakmuran negara  kita  sehingga kita dengan izin Allah boleh menjadi negara maju  pendapatan tinggi? 
Saudara saudari sekalian, pada malam yang bertuah dan bersejarah ini,  biarlah stadium ini menjadi saksi bahawa kita semua umat melayu  berkumpul, dengan penuh semangat dan penuh keyakinan. Siapa kata  sokongan dan dokongan orang Melayu pada UMNO sudah menurun? Hari ini  majlis ini menyaksikan sokongan kita yang semakin meningkat. Saya nak  tanya kalau kedudukan perlembagaan orang Melayu, apabila Islam diasak,  dan apabila institusi negara diperlekeh, maka siapa yang terkedepan  mempertahankan kalau bukan UMNO. 
Tuan-tuan dan puan-puan, sesungguhnya UMNO telah berjalan begitu  jauh, setiap inci tanah ini telah kita makmurkan, janganlah, janganlah  sesekali biar ia dibinasakan oleh tangan pihak yang tidak  bertanggungjawab. Biar putih tulang, jangan rakyat dan bangsa berputih  mata. Kerana kelak, kita tidak mahu melihat anak cucu kita terbangsat  hidup mereka. Maka kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri  pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang  hanya menyembah alam kegagalan. Ayuhlah, ayuhlah, ayuhlah. Jangankan  gerimis, hujan pun mari kita redah. jangan ribut taufan pun, mesti kita  harungi, jangan air bah, gelombang badai pun harus berani kita harungi.  Jangankan gerhana, gelap gelita pun pasti kita harungi.
Ayuhlah semua, ayuhlah semua, ayuhlah semua! Biar berdentum guruh di  langit walau kilat sambar-menyambar, berpaksikan kepada parti UMNO yang  menunjangi BN! Hidup UMNO, hidup UMNO, hidup UMNO! Hidup Barisan, Hidup  Barisan, Hidup Barisan! Selamat Hari Ulang Tahun UMNO! 
-Presiden UMNO Dato Seri Najib Razak 
   
Tiada ulasan:
Catat Ulasan