Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my
 
KUANTAN 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan semakan  semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sedang diteliti  pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap  peringkat perkhidmatan awam.
 Menurut Perdana Menteri, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh  tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi  situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'
 "Sebelum ini saya dengar yang di bawah, kenaikannya terlalu rendah  dan yang di atas kenaikannya terlalu tinggi, macam-macam saya dengar.
 "Tak apalah, saya bagi tempoh tiga bulan kepada jawatankuasa ini kaji  semula dan insya-Allah kita akan dapatkan hasil yang disifatkan  sebaik-baiknya supaya kita dapat memberi kepuasan kepada semua,"  katanya.
 Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan  Kakitangan Awam bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Pahang  (UMP), Gambang dekat sini hari ini.
 Majlis yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu  disertai kira-kira 7,000 kakitangan awam melibatkan pelbagai peringkat  termasuk Pusat dan negeri.
 Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah  Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam ditubuhkan setelah  Najib mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan beberapa isu  yang dibangkitkan oleh pihak tertentu. 
 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)  baru-baru ini mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah  tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang didakwa tidak adil terhadap  mereka.
 Sementara itu, dalam ucapannya juga, Najib sekali lagi mengingatkan  penjawat awam bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir  maka sebab itu pendekatan sekarang adalah secara merendah diri.
 Katanya, malah beliau sendiri tidak boleh mendakwa bahawa kerajaan  yang ada sudah cukup sempurna dan mana-mana kepincangan yang wujud perlu  diperbetulkan dan ditambah baik.
 "Kalau rakyat kata tak betul, kita lakukan penambahbaikan, kalau  sudah laksanakan pun, kalau perlu kaji, kita kaji balik. Yang penting  sekali, rakyat terbela sepenuhnya," jelasnya.
 Dalam pada itu, Najib berkata, pemberian subsidi secara langsung  seperti menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat  memberi impak besar kepada penerima yang cukup menghargainya.
 Katanya, ini berbeza dengan pemberian subsidi tidak langsung seperti  petrol, gas memasak dan barangan keperluan asas lain walaupun jumlahnya  melibatkan peruntukan yang jauh lebih besar.
 "Subsidi untuk keperluan asas ini bertambah setiap tahun dengan tahun  ini sahaja kita sediakan RM22 bilion untuk membantu rakyat. Tetapi  anehnya yang BR1M ini kita bagi RM500, dia punya impak lebih daripada  RM22 bilion.
 "Saya semalam di Wilayah Persekutuan, tengok penerima dapat RM500,  cium tangan kita tahap lain macam. Rupanya impak tunai lain, ia berkait  psikologi manusia. Bila dapat tunai, orang Kedah kata 'ketaq lutut.'
 "Apa pun kita buat ini kerana rakyat perlukan bantuan kerajaan yang  kita boleh berikan hasil daripada perancangan jangka panjang kita,"  ujarnya.
  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan