
Hari Malaysia milik semua
 Oleh FAUZIAH AROF
rencana@utusan.com.my
 PADA hari ini, seluruh pelosok rakyat negara ini  tidak mengira kaum, peringkat umur, pekerjaan, kaya atau miskin dan juga  fahaman politiknya, kesemuanya tidak terkecuali menyambut Hari  Malaysia. 
 Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun adalah hari yang menjadi milik semua. 
 Tidak seorang pun di antara kita, perlu berasa diketepikan, sangsi  atau terpinggir dalam menyambut hari yang amat bermakna dan bersejarah  kepada negara ini. 
 Dan ia juga bukan hanya untuk dikenang dan diraikan oleh generasi  terdahulu. Generasi muda, tidak kira apa jua kecenderungan serta  minatnya, perlu dibawa bersama dalam arus menghayati erti Hari Malaysia  kerana kesannya yang bukan sedikit terhadap pembangunan negara dari dulu  sehingga kini.
 Justeru, pengetahuan terhadap sejarah adalah kata kuncinya. Orang  cerdik pandai sering berkata, sejarah merupakan guru terbaik untuk  mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau  sempadan. Sejarah adalah kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan  untuk membina masa depan. 
 Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata,  pengetahuan dan pemahaman dalam sejarah negara adalah amat penting  kerana ia adalah akar tunjang sesuatu bangsa. 
 Kerana itu, katanya, pengetahuan tentang sejarah negara ini adalah kunci kepada perpaduan dan persefahaman antara kaum. 
 Sebab itu, sejarah perlu dijadikan bahan rujukan dalam apa jua isu berbangkit mengenai ' negara bangsa' ini.
 Pun begitu, katanya, apa yang berlaku kini adalah cabaran dalam  menegak dan memperkasa sejarah negara, bukan sahaja terhadap golongan  muda tetapi golongan terdahulu.
 Jelas Kay Kim, terdapat generasi terdahulu yang buta sejarah, tetapi  pada masa sama berkecenderungan untuk campur tangan dalam mempertikaikan  sejarah sekali gus mengelirukan ramai pihak.
 "Mereka ini yang tidak memahami sejarah, cuma mendengar dan mengutip  sejarah negara dari sana sini tanpa melihat kepada tafsiran dalam  undang-undang dan Perlembagaan negara.
 "Dan mereka juga menyalah tafsir kenyataan-kenyataan mengenai sejarah  negara yang kebanyakannya menggunakan bahasa yang teknikal,'' katanya  kepada Utusan Malaysia. 
 Dalam pada itu, katanya, terdapatnya fakta-fakta yang salah mengenai  sejarah negara di dalam Internet yang dirujuk oleh generasi muda atau  pihak yang mempunyai kepentingan untuk memanipulasikan ia. Dan perkara  ini memburukkan lagi keadaan. 
 Justeru, dalam menangani isu kecetekan ilmu sejarah ini, jelas Kay  Kim, pelajaran sejarah perlu diperkasakan dari peringkat sekolah rendah  dengan melatih guru-guru sejarah yang benar-benar mahir mengajar mata  pelajaran itu. 
 Hari Malaysia disambut bagi memperingati penubuhan Persekutuan  Malaysia pada tarikh 16 September 1963 yang menandakan penyertaan  bersama Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura bagi  membentuk Malaysia.
 Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh  Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
 Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang disaksikan  oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau  Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat berbilang kaum.
 Bagaimanapun, penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh  Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan  Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrontasi ketenteraan di  bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga 1966.
 Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. 
 Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan  Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan  besar-besaran di Brunei pada penghujung 1962.
 Bagaimanapun, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan  Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan  Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat  Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui  penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.
 Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah  ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 kepada 31 Ogos 1963 kerana menunggu  Laporan Suruhanjaya Cobbold. 
 Namun tarikh itu pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina  memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia.  
 Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.
 Sebelum ini, Hari Malaysia merupakan cuti am di Sabah sempena hari  keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak  dan Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun mulai 2010, Hari Malaysia juga  diisytiharkan cuti am di semua negeri di Malaysia.
 Dan yang menjadikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini lebih  menarik dan bermakna adalah kerana acara sambutannya diadakan serentak  dengan Hari Kemerdekaan Ke-54 negara. 
 Dalam usia 48 tahun Malaysia dibentuk, proses pembinaan negara  Malaysia secara keseluruhannya mengambil masa yang panjang dan sudah  tentunya tempoh itu dilalui dengan pelbagai dugaan, cabaran dan  kesulitan oleh pemimpin dan generasi terdahulu. 
 Justeru, adalah merugikan jika segala kesukaran dan kepayahan itu  disia-siakan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu dan  bertelagah dalam segala isu yang akhirnya meruntuhkan penyatuan Malaysia  ini. 
 Dan perlu diakui, kekuatan Malaysia bukan sahaja terletak pada  pembangunan di negeri-negeri Semenanjung sahaja, tetapi juga di Sabah  dan Sarawak yang menjana ekonomi Malaysia keseluruhannya.
  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan