
PERUTUSAN KHAS HARI RAYA AIDILFITRI DAN HARI KEMERDEKAAN OLEH 
 YAB. DATO' SRI MOHD. NAJIB TUN ABDUL RAZAK 
 PERDANA MENTERI MALAYSIA 
 28 OGOS 2011
 Bismillahirrahmanirrahim,
 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Aidilfitri serta Salam Kemerdekaan,
 Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
 1.	Pertamanya, segala ucapan tahmid  dipanjatkan ke hadrat Allah SWT justeru selesai sebulan kita  melaksanakan ibadah puasa dalam satu perjalanan spiritual mentarbiyyah  rohani dan menguji fizikal. Maka, dengan tibanya fajar Syawal yang  mulia, umat Islam hari ini dengan penuh rasa kesyukuran menyambut satu  kemenangan mujahadah yang tertinggi pengertiannya seperti disifatkan  oleh Rasulullah SAW yakni  jihad bagi melawan nafsu.
 2.	Pada tahun ini, ditaqdirkan sesuatu  yang bitara dan unik, sebagai rakyat Malaysia kita bertuah dapat  menyambut gema Aidilfitri berselang sehari dengan ulangtahun sambutan  kemerdekaan  negara yang ke lima puluh empat. Kedua-dua perayaan ini  mempunyai signifikan begitu besar kepada negara yang mempunyai  kemajmukan amat kompleks seperti Malaysia di mana bukan sahaja wujud  perbezaan daripada segi etnik tetapi juga teranyam indah dengan  kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan taraf sosioekonomi.
 3.	Pucuk pangkalnya, rakyat Malaysia  yang berlainan agama, anutan dan kepercayaan mempunyai banyak sebab  untuk bersyukur dan berterima kasih. Hakikat bahawa, Malaysia telah dan  sedang dirahmati nikmat keamanan juga kemakmuran tidak mampu disangkal  oleh mana-mana pihak. Jelas sekali, kita ibarat sebuah oasis di  tengah-tengah dunia berkecamuk sedang dilanda badai politik dan  kegoncangan ekonomi yang bertali arus.
 Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 4.	Hari ini, seperti yang kita maklum,  ketika gergasi ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan juga beberapa  negara anggota Kesatuan Eropah yang dikelompokkan sebagai ekonomi maju  sedang bergelut dengan krisis kewangan serius sehingga memerlukan  penyelamatan atau "bailout", sebaliknya, Malaysia hasil pengurusan yang  berhemah serta cekap, masih mampu bukan sahaja untuk mengembangkan  ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baru tetapi juga untuk memberikan  setengah bulan bonus kepada satu perpuluhan empat juta kakitangan awam  yang menelan belanja dua bilion ringgit menjelang sambutan istimewa  perayaan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan.
 5.	Sungguhpun yang demikian, kita tidak  boleh sekali-kali terbuai dan berpuas hati dengan ehwal kejayaan  tersebut. Untuk itu, sepanjang tempoh dua tahun yang lepas,  pancang-pancang telah dipasak oleh kerajaan bagi memastikan penciptaan  kekayaan baru, pertumbuhan ekonomi berterusan dan penciptaan pekerjaan  berganjaran tinggi selaras dengan kemahiran yang semakin meningkat. Apa  yang diimpikan adalah sebuah negara yang makmur dan sejahtera dimana  setiap individu sanggup bekerja keras, meningkatkan kemahiran secara  istiqomah dan beriltizam menggunakan segala peluang dengan bijak agar  dapat mencorak sebuah kehidupan bahagia berkelangsungan hingga cucu  cicit kita kelak.
 6.	Peri pentingnya, setiap seorang  daripada kita hendaklah mengetahui bahawa, matlamat tertinggi kerajaan  adalah untuk mendahulukan kebajikan seluruh rakyat, sebagai suatu urutan  keutamaan yang telah menjadi wawasan nasional semenjak negara mencapai  kemerdekaan. Dari itu, sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi rakyat,  lagi prihatin terhadap kegundahan serta resah gelisah warganya dan  memahami kebimbangan mereka, kita sedar tentang fenomena kos kehidupan  semakin meningkat sekaligus kita maklum terhadap harga bahan makanan  yang semakin naik. Lantaran itu, kerajaan telah dan akan terus mengambil  tindakan memperbaiki dan memperelok keadaan ini secara berperingkat  serta menyeluruh demi kepentingan rakyat.
 7.	Pokoknya di sini, sekalipun fenomena  kenaikan harga bahan makanan bersifat global, namun sebagai kerajaan  bertanggungjawab kita tidak akan berpaling daripada menghadapi sebarang  cabaran. Misalannya, sebagai langkah awal kita telah menjadikan matlamat  menangani kos kehidupan yang semakin meningkat sebagai satu lagi Bidang  Keberhasilan Utama Negara atau NKRA yang terbaru. Satu Jawatankuasa  Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang juga telah ditubuhkan dengan  dipengerusikan sendiri oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri. Sememangnya,  langkah-langkah ini membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan  program yang bakal digubal serta dilaksanakan akan benar-benar mampu  membantu rakyat.
 8.	Selain daripada itu, kerajaan akan  meneruskan dasar memberi subsidi secara langsung atau tidak langsung.  Ini terutamanya, subsidi bahan makanan yang terpilih seperti beras,  minyak masak, tepung gandum dan gula. Begitu juga bahan bakar seperti  Petrol RON95, Diesel dan LPG serta perkhidmatan kesihatan dan  pendidikan. Akan tetapi, kita berhasrat melakukannya dengan lebih cermat  dan bijaksana tanpa menjejaskan kesihatan fiskal negara dengan  mendukung prinsip bahawa mereka yang lebih memerlukan dan berkelayakan  akan didahului serta diutamakan.
 9.	Sehubungan itu, baru-baru ini saya  telah mengumumkan beberapa inisiatif awal bagi membantu mengurangkan  bebanan yang ditanggung. Antaranya, Kedai Rakyat 1Malaysia di mana  barang-barang keperluan berjenama 1Malaysia mampu dibeli dengan harga  yang lebih rendah berbanding harga pasaran. Di Klinik-Klinik 1Malaysia  pula rawatan asas boleh diperolehi dengan bayaran seringgit dan yang  mutakhir melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau singkatannya  KAR1SMA sejumlah 1.4 Bilion akan diperuntukan kepada lima ratus ribu  warga emas, orang kelainan upaya, ibu tunggal serta balu polis atau  tentera yang berkelayakan.
 10.	Sesungguhnya, usaha kerajaan tidak  terhenti sekadar itu sahaja. Selanjutnya, insyaAllah melalui Bajet 2012  yang akan dibentangkan pada awal Oktober nanti, saya akan mengumumkan  pula langkah-langkah susulan bersifat lebih komprehensif bagi menangani  masalah yang memberi kesan kepada isi keluarga yang berpendapatan rendah  dan pertengahan.
 Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 11.	Dalam syiar meriahnya perayaan dan  besarnya jiwa kemerdekaan, saya menyeru kepada semua agar tidak  sekali-kali melupakan pengorbanan, darah, keringat dan air mata  bapa-bapa kita para pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan  keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang. Beringatlah yakni  semuanya tidak terjelma dengan berwenang-wenang ataupun kekal lestari  jika bahtera keramat kemerdekaan Malaysia tercinta ini terbiar hanyut  tidak dikemudi dengan tulus, tidak dihargai dan musnah tanpa dipelihara.  Oleh yang demikian, kita dengan ini menolak dan mengecam  sekeras-kerasnya sebarang pernyataan dan usaha oleh mana-mana pihak yang  ingin mempersenda atau memperlekeh pengorbanan mulia para wirawan dan  wirawati negara serta keluarga mereka. Kita berasa kesal kerana mereka  sebaliknya pula memperagungkan Parti Komunis Malaya yang anti Tuhan,  anti agama dan anti Nasional.
 12.	Jadi, di atas segala-galanya, bagi  memastikan apa yang terlimpah dan tercurah ke atas kita dan bumi  Malaysia kekal berkesinambungan, maka perpaduan nasional perlu terus  dibajai dan diperkukuhkan. Mudah-mudahan jua atas keinsafan ini makin  tersepuh dan menebal semangat patriotisme dan kecintaan yang kukuh  kepada pertiwi di setiap nubari kita.
 Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 13.	Bertolak dari situ, pada hemah saya,  dua sambutan yang bersesekali ini sewajarnya membawa permaknaan dan  pengertian yang mendalam tentang betapa besarnya kurniaan Ilahi kepada  Malaysia yang makmur, bebas dari sebarang ketakutan dan kebimbangan  terhadap keselamatan sama ada keselamatan diri kita mahupun keluarga  disamping dapat meraikan hari-hari kebesaran sebegini dalam keadaan  kecukupan dan kelimpahan.
 14.	Kata orang dulu-dulu, sempena hari  baik bulan baik ditambah pula hembusan Merdeka, kita buanglah yang  keruh, kita ambillah yang jernih. Di musim perayaan ini, marilah kita  bersatu sebagai sebuah keluarga besar Malaysia supaya dapat menjadi  contoh kerukunan hidup kepada seantero dunia.
 15.	Lantas, sempena bulan yang mulia dan  semangat sambutan Hari Kebangsaan ini, ayuhlah kita terus menyemarakkan  tradisi murni kunjung mengunjung dan mengadakan rumah terbuka. Seperti  yang sering dinyatakan, bukalah pintu rumah dan pintu hati seluasnya  dengan menjemput rakan-rakan berlainan kaum, kepercayaan dan agama ke  rumah masing-masing. Di sinilah tergubah dan terlukisnya sebuah citra  Malaysia yang kita damba-dambakan.
 16.	Akhir kata, saya dengan rasa  kerendahan hati bagi pihak diri, isteri, anak-anak dan seisi keluarga  mengambil kesempatan ini menyusun jari nan sepuluh memohon kemaafan  zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang  dilakukan. Turut dihulurkan salam istimewa Hari Kemerdekaan kepada  seluruh rakyat Malaysia dimana jua Tuan-Tuan dan Puan-Puan berada.  Semoga Tuhan sentiasa merahmati kita semua.
 Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah hil Hamd.
 Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Hari Kemerdekaan.
 Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan