Source: TV Selangor
  
 Ditulis oleh Zeanaaima Mohd Yusof
 28/03/2011 Share
   
 SHAH ALAM 28 MAC : Hujah bahawa cadangan pemansuhan tol oleh  Pakatan Rakyat hanya akan mengurangkan jumlah dividen yang bakal  diterima pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah rapuh dan  tidak relevan sama sekali.
 Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata jika diteliti imbangan  kos yang ditanggung rakyat, golongan ini tidak mendapat apa- apa manfaat  berikutan dividen yang kononnya dijanjikan hasil pelaburan KWSP dalam  konsesi tol hanya akan ‘dicairkan’ untuk membayar kadar tol sehari-  hari.
 Tambahan pula, tidak semua rakyat dinegara ini mempunyai simpanan KWSP.
 “Kalau dimansuhkan tol, kelebihan yang diterima rakyat lebih banyak  daripada apa yang dibayar oleh KWSP. KWSP hanya dibayar oleh 5.4 juta  rakyat saja, bukan semua pekerja Malaysia,” ujar Charles.
 Charles berkata, kerajaan persekutuan tidak boleh menafikan hakikat  rakyat dibebankan dengan kos yang tinggi untuk satu- satu perjalanan  dalam sehari.
 ” Apa yang kita fikir ialah tol ini merupakan satu kos yang besar  kepada pekerja-pekerja dan juga pengusaha-pengusaha. Kalau kita lihat  kalau kita ke Klang sekarang, untuk satu perjalanan sahaja lebih kurang  RM4 sama ada kita menggunakan KESAS atau Lebuhraya Persekutuan,” ujar  Charles.
 Charles berkata demikian mengulas editorial diportal berita  Malaysiakini yang mengatakan cadangan pemansuhan tol dalam buku Jingga  Pakatan Rakyat indah khabar dari rupa.
 Editorial itu turut menyatakan jika cadangan itu dilaksanakan tidak  mungkin KWSP mampu menjamin dividen untuk pencarum sebanyak 2.5 peratus  dan ia katanya akan merugikan pencarum.
 “Banyak wang daripada KWSP digunakan untuk menolong kroni UMNO BN.  Itu macam mana pula ? Itu cara tolong kroni yang mana memiskinkan  pencarum KWSP,” tegas Charles lagi.
 Editorial itu turut memetik kenyataan Pengerusi KWSP, Tan Sri  Samsudin Osman yang mengatakan pendapatan pelaburan pertubuhan itu  memberangsangkan pada tahun 2010 hasil pelaburan ekuiti.
 KWSP melabur dalam beberapa syarikat konsesi tol antaranya Lebuhraya  Plus, Expressway Lingkaran Tengah Sdn Bhd (ELITE), Linkedua (Malaysia)  Berhad (Linkedua), Konsortium Lebuhraya Butterworth-Kulim (KLBK) Sdn  Bhd, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di bawah MTD Group, Lebuhraya Pantai  Baharu (NPE), Besraya (M) Sdn Bhd dan Lebuhraya Kajang Seremban Sdn Bhd  (LEKAS) di bawah IJM.
 “Kalau kita mansuhkan, kalau kita buat kajian kos faedah, kita dapati  bahawa ia lebih baik untuk rakyat. Sebab itu akan mengurangkan kos. Itu  yang penting. Itu yang menakutkan mereka dan berkata ia akan  memiskinkan rakyat,” ujar Charles.
 Charles turut membidas hujah rapuh yang dibangkitkan dalam editorial  itu yang megatakan Pakatan Rakyat tidak memikirkan nasib pekerja tol  yang berdepan dengan risiko hilang mata pencarian.
 “Ia bukan masalah, bukan beribu- ribu orang berkerja di tol. Ia  masalah untuk menyerap mereka masuk ke industri lain yang sedia ada.  Isunya adakah mereka dibayar dengan kadar yang patut ?,” soal Charles.
 Charles menegaskan sebelum cadangan ini dikemukakan, Pakatan Rakyat  terlebih dahulu membuat kajian dan penyelidikan agar ia tidak memberi  impak buruk kepada ekonomi negara.
 Kenyataan ini sekaligus menempelak rekasi spontan beberapa ahli  parlimen UMNO BN yang membayangkan negara akan bankrup jika tol  dimansuhkan.
 Beliau berkata, keyakinan pelabur dalam dan luar negara terhadap  kestabilan ekonomi dan politik di Malaysia yang akan menentukan samaada  negara ini akan bankrup atau tidak.
 “Lagi pula kita mendapati berbilion-bilion ringgit keluar dari bank  Malaysia dan dana-dana kita pergi ke negara lain secara tidak sah.  Secara haram. Ini sebenarnya yang akan menyebabkan negara bankrap.”
 Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan semberono  membayangkan negara akan muflis dalam tempoh 2 tahun jika Pakatan Rakyat  diberi peluang menerajui Putrajaya.
 Manakala, Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir berkata cadangan  pemansuhan tol itu menjuruskan negara kearah hutang yang tidak terkawal.
 Sementara Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mohktar berkata cadangan  itu sekadar janji kosong gagasan Pakatan Rakyat untuk meraih undi rakyat  menjelang pilihan raya umum ke- 13 akan datang.
 Charles juga tidak menolak bahawa Barisan Nasional telah membaca Buku  Jingga yang dihasilkan Pakatan Rakyat dan kini berada dalam keadaan  ketakutan jika perjanjian yang dibuat ini mampu dilaksanakan.
 Pakatan Rakayat memperkenalkan agnda mereka yang dikenali sebagai  Buku ingga pada Konvensyen Pakatan kedua di Kepala Batas tahun lalu.
 Buku Jingga turut menggariskan agenda pada 100 hari pertama  pentadbiran Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang menerajui negara.
 Antara yang dicadangkan ialah mereformasikan institusi penting negara  seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  untuk mengembalikan kewibawaan sistem pentadbiran kerajaan dan  memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
 Turut dicadangkan ialah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, KWSP  dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya  untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaaan dengan  tujuan menghapuskan tol.
  
  
  
  
    
 
 
 
 
 
 
 
  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan