Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau boleh merasai betapa kecewanya Najib ke-rana Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu diberi taklimat mengenai jaminan bahawa parti tersebut boleh menang tetapi akhirnya keputusan lebih buruk dicapai.


"Ini satu cabaran kepada saya. Dalam pilihan raya umum lalu mungkin beliau diberikan taklimat dan keyakinan BN boleh menang tetapi kalah lebih teruk, jadi tentunya satu perasaan yang saya boleh rasa, beliau cukup kecewa dengan apa berlaku.


"Insya-Allah saya akan pikul dengan kawan-kawan, saya seorang pun tak mampu buat. Saya perlu sokongan bahagian dan cawangan baru kita boleh tunaikan harapan Presiden," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen UMNO Selangor 2014 di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai teguran keras Perdana Menteri terhadap kemelut politik yang melanda UMNO Selangor sebelum ini, sehingga menyebabkan parti itu hanya memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


Menyentuh transformasi politik yang akan dijayakan beliau selepas mengambil alih kepimpinan UMNO Selangor, Noh berkata, badan perhubungan negeri akan mengurangkan program parti sebaliknya memberi tumpuan kepada gerak kerja bagi mendekati pengundi.


"Kita beri penekanan kepada gerak kerja dengan terus kepada pengundi. Kita akan kurangkan program besar-besar tetapi tumpuan diberi kepada program bersifat akar umbi dengan gerak kerja kita seolah-oleh esok pilihan raya, bukan lagi seperti sebelum ini," ujarnya.


Terdahulu ketika berucap pada konvensyen tersebut, Noh berkata, masalah dalaman UMNO Selangor seperti soal kepimpinan, organisasi, keberkesanan program dan usaha menarik minat masyarakat menjadi anggota parti perlu diberi perhatian utama oleh seluruh kepimpinan negeri.

Ke arah itu katanya, Badan Perhubungan UMNO Selangor telah menghasilkan lima gerak kerja iaitu memperkasa dan merancang strategi, memperkasa jentera parti, memasyarakatkan parti, memikat pengundi dan memenangi kembali negeri tersebut. - UtusanOnline