Mujur semangat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud tidak sekeras besi apabila beliau menarik balik surat pengisytiharan keluar dari UMNO pagi tadi dan kembali menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Perkara itu disahkan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan,Kesenian dan Warisan Terengganu, Dato Mohd Jidin Shafie, lapor agensi berita Bernama malam Selasa.
Perkembangan mutakhir ini sekaligus memberi harapan kemelut politik yang melanda Terengganu ketika ini mampu ditamatkan lebih awal tanpa perlu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dan mengadakan pilihan raya negeri.
Roslee Daud ADUN Bkt Besi
Roslee Daud, ADUN Bukit Besi kembali rujuk dengan BN selepas 12 jam.
Ini juga bermakna kedudukan kerusi di DUN Terengganu kembali setara kepada 15 milik BN, dan 15 Pakatan Rakyat (14 PAS dan 1 PKR) serta 2 ADUN Bebas.
Jika mengambil kira kerusi Speaker DUN, setakat jam 9.30 malam Selasa, BN memilik 16 kerusi di DUN Terengganu.
Mohd Jidin, yang juga ADUN Permaisuri berkata, Roslee menarik kembali keputusan beliau untuk keluar daripada UMNO menjadi wakil rakyat Bebas selepas dinasihati rakan-rakan seperjuangan.
"Kenapa beliau membuat keputusan tersebut awal pagi tadi tak perlu kita sebut lagi.
"Tetapi, yang penting kita dalam parti perlu bersatu padu," kata Mohd Jidin ketika dihubungi Bernama.
Beliau berharap situasi pergolakan politik yang berlaku di Terengganu dapat ditangani dengan baik dan selesai dalam waktu terdekat.
Sementara itu sumber yang rapat dengan Roslee memberitahu ADUN Bukit Besi itu menarik balik keputusan beliau yang diumumkan pada sebelah pagi Selasa kerana memikirkan parti lebih penting.
"Keputusan yang dibuat pada sebelah pagi tadi, disebabkan beliau terlalu emosi apabila dimaklumkan mengenai situasi terkini di Terenganu.
"Insyallah saya akan tarik balik" katanya kepada sumber berkenaan sejurus sebelum beliau berlepas ke Kuala Lumpur bagi menghadiri perjumpaan tertutup dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri mulanya dikatakan akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan semua ADUN BN Terengganu malam ini, tetapi ditanggguhkan ke esok pagi.
Roslee pada pagi Selasa mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas, mengikut jejak bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta ADUN Ajil, Ghazali Taib yang berbuat demikian pada Isnin malam.
Ahmad Said dan Ghazali bertindak demikian selepas ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu pada malam Isnin bagi menggantikan Ahmad Said yang meletak jawatan pada sebelah paginya.
Roslee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri mengumumkan perkara itu melalui sepucuk surat bertarikh 13 Mei yang salinannya dihantar kepada agensi berita Bernama pagi Selasa.
"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta merta," kata  beliau dalam surat berkenaan.-bnbbc.my