Isnin, 10 Februari 2014

BLOG - BLOG PARTI PAS

BLOG - BLOG PARTI PAS


MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

Posted: 09 Feb 2014 09:30 AM PST

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM


Gembiranya Bersama Pas

Posted: 08 Feb 2014 06:50 PM PST

Idris Hj Ahmad
6/2/14

Selain daripada nikmat Iman dan Islam yang merupakan anugerah Allah kepada hambanya, maka nikmat berjamaah adalah yang ketiga. Banyak manusia leka dan lalai tidak sedar bahawa berjamaah juga merupakan tuntutan di dalam Islam. Bukan semua orang dapat menikmati kelazatan berjamaah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud " Wajib atas kamu berjamaah" Maksud hadis yang lain " Berjamaah itu rahmat, berpecah merupakan musibah"

Gembiranya bersama Pas kerana dasar yang diperjuangkan oleh Pas ialah Islam seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Pas, perkara 3 Dasar Pas ialah Islam. Dasar yang tidak pernah dimamah usia, sentiasa relevan dalam semua keadaan, samaada waktu senang atau waktu susah, waktu menang atau waktu kalah. Dasar inilah yang menyebabkan Pas sentiasa segar di dalam mana- mana keadaan. Dasar ini menyebabkan pendokongnya merasa perlu beramal dengan Islam dalam semua keadaan. Mungkin sebelum menyertai Pas, peribadinya tidak berapa elok dari segi penghayatan Islam. Keadaanya sudah berubah apabila ia bersama dengan Pas. Perasaan malu datang dengan sendiri kerana panji yang dia pegang ialah Islam. Jika sebelumnya aurat tidak terjaga apabila bersama dengan Pas, secara automatik ia merasa malu jika masih mendedahkan aurat. Berapa ramai di kalangan pimpinan dan ahli Pas telah berhenti merokok. Walau pun mereka ini berada ditahap perokok yang tegar. Mereka berhenti merokok bukan kerana kesihatan, tetapi kerana merasa malu jika masih merokok. Jika ada masih merokok mereka akan menyorok, ertinya tidak merokok di hadapan orang ramai.

Bersama Pas masa tidak terbuang dan sentiasa terisi dengan program yang bermanfaat. Perkara ini amat terasa, terutama bagi mereka yang pernah berada di dua zaman. Satu semasa sebelum bersama Pas, kedua selepas daripada menyertai Pas. Ertinya tidak ada kerehatan. Jika mereka yang bekerja di siang hari, malam ke kuliah di surau kemudian ke program parti . Sehingga ada yang menjawab kita akan berehat di syurga nanti, itulah kerehatan yang sebenar bagi seorang hamba sebagai mana yang pernah dinyatakan oleh Imam Shafie. Maklumlah hari cuti am merupakan hari Pas. Sentiasa ruang dan masa disi dengan program yang membangunkan masyarakat. Malahan dianggap oleh ahli Pas sebagai satu hiburan hati dan satu kepuasan apabila dapat menyumbang kepada perjuangan Pas. Mereka gelisah dan tidak tenang hati jika tidak ada program. Inilah nikmat berjuang.

Bersama dengan Pas memberi ruang untuk mendekati ulamak muttaqin yang sentiasa berjihad di jalan Allah. Mereka tidak peduli keredaan manusia, yang dituntut ialah keredaan Allah. Mereka merupakan tonggak kejayaan Pas untuk menarik sokogan rakyat di peringkat akar umbi. Banyak ijtihad politik seperti tahaluf siasi tidak akan berjaya tanpa restu daripada ulamak. Ulamak cuba menggali khazanah ilmu di zaman silam dengan dipadankan dengan situasi semasa. Daripada sejarah awal penubuhan Pas mempunyai kaitan dengan institusi ulamak dan pondok. Tan Sri Sanusi Jonid bekas Setiausaha Agung Umno pernah mengungkapkan 3 P ( Padi, Pondok dan Pas). Walaupun pondok bukan dikendalikan oleh Pas secara ulangsung. Namun pengajian yang diajar mempunyai persamaan dengan apa yang diperjuangkan oleh Pas. Ulamak inilah yang banyak membantu Pas. Tokoh- tokoh ulama awal yang menggerakkan Pas di peringkat awal seperti Tuan Guru Haji Husin Rahimi Bunut Payung, Tuan Guru Haji Abd Ghani Kubang Bemban Pasir Emas, Tuan Guru Haj Hashim Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Yahya Junid Padang Lumat Kedah, Tuan Guru Pak Man Bukit Besar, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin Pokok Sena Seberang Perai, Tuan Guru Abd Samad Noh Padang Rengas dan lain-lain lagi. Umno cuba untuk menaja ulamak supaya menyertai mereka, setakat hari ini masih gagal. Ulamak yang muttaqin tidak boleh berlakon dan berpura-pura di dalam kehidupan mereka. Mereka tidak boleh terima perjuangan Umno kerana kontra dengan ilmu yang mereka pelajari. Tambahan pula dari segi rekod, Umno hanya menggunakan ulamak ketika berhajat untuk melawan Pas, selepas itu mereka akan ditinggal begitu sahaja seperti habis madu sepah dibuang. Di dalam Pas jika ada ulamak yang mempunyai agenda peribadi bukan agenda ummah, secara automatik mereka akan terpelanting daripada saf kepimpinan.

Bersama Pas akan melebarkan kenalan di serata dunia. Dalam erti kata yang lain, penyokong Pas akan berada di semua tempat, di mana ada bulan di situ ada orang Pas. Pas menitik berat soal ukhwah, yang menjadi agenda penting di dalam tarbiah Pas. Ukhwah yang merentasi sempadan dan daerah memberi keseronokan kepada kita yang bersama dengan Pas ketika senang atau susah. Pengalaman penulis sendiri, sewaktu penulis diarahkan bertukar daripada Intitut Teknogi Mara ( sekarang UITM) Shah Alam ke Melaka pada awal 1990. Ketika itu saya tidak mempunyai saudara mara yang terdekat untuk uruskan soal rumah dan kemudahan-kemudahan lain. Tetapi alhamdulillah berkat bersama Pas perkara ini begitu mudah diselesaikan dengan bantuan sahabat-sahabat Pas Melaka. Begitulah juga menjadi kelaziman sebagai penceramah yang menjelajah ke seluruh pelusuk kampung, kadang-kadang kenderaan buat hal di tengah jalan.Maka ketika inilah bantuan sahabat Pas yang berdekatan akan membantu. Memang terasa nikmat bersama dengan Pas, walaupun kadang-kadang memenatkan, namun inilah kemanisan perjuangan yang tidak dirasai oleh orang lain. Kemanisan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, pangkat dan harta. Jika hendak merasai nikmat maka marilah bersama dengan Pas.


Posted via Blogaway

Jasindaily Online

Posted: 09 Feb 2014 09:03 AM PST

Jasindaily Online


NGO ISLAM LUMUR DARAH AYAM CEMAR IMEJ ISLAM DAN NEGARA

Posted: 08 Feb 2014 11:08 PM PST

TAIPING – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad menyelar tindakan kumpulan yang menggelarkan diri mereka Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia dan melakukan upacara penyembelihan ayam pada gambar pemimpin PKR dan DAP. Beliau berkata, tindakan tersebut yang dilakukan kira-kira 50 individu di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur itu boleh disifatkan sebagai sesuatu yang memalukan. "Lebih malang apabila kumpulan terbabit menggunakan nama Islam, sedangkan ia tiada dalam ajaran Islam itu
sendiri," katanya pada sidang media di Pejabat Pas Bukit Gantang, semalam. Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kumpulan terbabit yang bertindak melakukan penyembelihan dan melumur darah pada kain rentang yang terdapat wajah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon. Idris berkata, kejadian seumpama itu tidak sewajarnya berulang kerana ia hanya akan merosakkan imej negara. "Oleh itu, kita amat berharap pihak polis dapat bertindak dengan sewajarnya kerana gambar-gambar juga ada, mustahil mereka tindakan tidak boleh diambil," katanya.

PAS SAMBUT BAIK KONSESUS NASIONAL

Posted: 08 Feb 2014 11:07 PM PST

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik cadangan Konsensus Nasional yang dilontar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib baru-baru ini. Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, cadangan itu juga selari dengan keperluan muzakarah yang dilontar beliau dalam penggulungan Muktamar PAS ke 59 yang lalu.

"PAS ingin menegaskan bahawa sebarang tujuan murni ke arah keharmonian dalam masyarakat adalah wajar diperkukuhkan, sebagaimana yang pernah disumbangkan oleh PAS menerusi berbagai jawatankuasa dan majlis perundingan negara," kata beliau dalam satu kenyataan malam ini. Berikut kenyataan penuh beliau; Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengadakan perbincangan di kalangan pimpinan PAS Pusat untuk meneliti berbagai aspek dalam menekuni persoalan "Konsensus Nasional" yang telah dilontarkan oleh Perdana Menteri selepas mesyuarat kabinet baru-baru ini. Sehubungan dengan itu, PAS menyambut baik cadangan tersebut sebagai usaha merungkai serta menyelesaikan kemelut dalam negara kita ini. PAS ingin menegaskan bahawa sebarang tujuan murni ke arah keharmonian dalam masyarakat adalah wajar diperkukuhkan, sebagaimana yang pernah disumbangkan oleh PAS menerusi berbagai jawatankuasa dan majlis perundingan negara. Ianya juga adalah selari dengan keperluan muzakarah yang saya sebutkan dalam penggulungan Muktamar PAS ke 59 yang lalu. Lanjutan dari itu, maka PAS berharap agar pihak kerajaan dapat menyatakan terma - terma dan proses Konsensus Nasional ini sebagai langkah bergerak ke hadapan.

Soalan Seks Memalukan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan

Posted: 08 Feb 2014 11:05 PM PST


SEREMBAN - Soalan berunsur seks dalam borang soal selidik yang diedarkan kepada murid sekolah rendah di Nilai mendorong dua wakil rakyat membuat aduan sekali gus menuntut tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, semalam. Adun Nilai, J Arul Kumar yang hadir bersama Adun Senawang, P Gunasekaran, mempersoalkan apa relevannya soalan berkaitan keguguran kandungan, kaedah mencegah kehamilan, penukaran jantina, masturbasi, bertukar-tukar pasangan dan hubungan seks luar tabii ditanya kepada murid sekolah rendah.

 "Soalan seperti ini tidak sepatutnya ditanya kepada murid sekolah rendah," kata Arul Kumar. Beliau turut menunjukkan borang soal selidik itu yang antara soalannya ialah 'Saya mempunyai keinginan seks terhadap (a) kaum (jantina) sejenis (b) keinginan untuk menjadi berlainan jantina'. Satu lagi soalan, 'saya pernah melakukan perkara-perkara berikut (a) membaca/ menonton bahan-bahan lucah (b) melancap/ masturbasi (merangsang diri sendiri secara seksual). Sinar Harian difahamkan, borang soal selidik itu diedarkan di sekolah-sekolah di negeri ini. Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu Jumaat lalu oleh ibu bapa murid tahun empat yang bimbang persoalan yang dibangkitkan dalam soal selidik itu mencemarkan pemikiran anak mereka. "Setelah diteliti, kita dapati soalan pada halaman tiga itu memang tidak sepatutnya diajukan kepada murid sekolah rendah. Kita pun hairan bagaimana pihak berkenaan boleh terfikir untuk menyoal selidik budak sekolah rendah dengan soalan seperti itu. 

 "Cuba bayangkan, apa yang kanak-kanak ini faham tentang keguguran kandungan, kaedah pencegahan kehamilan, penukaran jantina, masturbasi, bertukar-tukar pasangan dan hubungan seks luar tabii," katanya. Arul Kumar berkata, tidak timbul masalah jika soalan itu diajukan kepada golongan remaja, khususnya pelajar sekolah menengah memandangkan topik dibangkitkan bersesuaian dengan mereka untuk tujuan kesedaran. "Ibu bapa itu sendiri kata kepada saya, mereka serba salah apabila anak-anak yang masih kecil ini balik bertanya kepada mereka soalan-soalan yang mereka sendiri tak boleh nak jawab. Pada saya, perkara seperti ini boleh dedahkan anak-anak kepada perkara yang mereka tak sepatutnya tahu lagi pada peringkat usia itu," katanya. 

 Sehubungan itu, Arul Kumar minta Jabatan Pendidikan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden sama tidak berulang. "Kita harap Jabatan Pendidikan negeri memandang serius perkara ini kerana mengikut maklumat diterima, dipercayai kaji selidik berkenaan bukan saja diedarkan di sekolah terbabit, malah di semua jenis sekolah rendah di negeri ini sejak tahun lalu. "Bagaimanapun, kita terpaksa menanti sehingga hari ini (semalam) untuk bertindak selepas mendapat bukti mencukupi," katanya. Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid ketika dihubungi Sinar Harian berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kaji selidik berkenaan dibuat klinik kesihatan berdekatan tanpa pengetahuan dan kebenaran Jabatan Pendidikan negeri.

 "Setakat ini, kita tak pasti berapa banyak yang sudah diedarkan dan sekolah mana terlibat. "Buat permulaan kita minta pengurusan sekolah yang menerima borang kaji selidik ini supaya menghentikan pengedarannya," katanya. Kalsom berkata, pihaknya akan membuat siasatan lebih lanjut sebelum sebarang tindakan diambil.

Tindakan melampau, jangan dakwa wakili NGO Islam

Posted: 08 Feb 2014 11:03 PM PST

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengingatkan organisasi yang mendakwa membela Islam dan Melayu agar tidak melakukan sesuatu yang menimbulkan tanggapan negatif masyarakat terhadap Islam. "Malah ia menunjukkan tindakan melanggar adab Islam boleh mendatangkan fitnah kepada masyarkat Islam dan Islam itu sendiri," kata Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan. Beliau berkata, betapa marah sekalipun terhadap perlakuan pihak lain tidak boleh menjadi alasan untuk menunjukkan kelakuan melampau yang tidak diajar dalam Islam. 

"Sesungguhnya tingkah laku orang lain tidak boleh menjadi pedoman kepada kita melakukan sesuatu yang sama atau melampau sebagai tindak balas," ujarnya lagi. Katanya, kelakuan seperti yang ditunjukkan oleh beberapa NGO dan perkumpulan Melayu itu tidak boleh mendakwa mewakili NGO Islam, jauh sekali mewakili bangsa Melayu mahupun Islam. 
 Lebih parah lagi, ujar beliauperbuatan itu menonjolkan sikap nasionalisme yang menyimpang dari kehendak Islam dan boleh menimbulkan kebencian orang lain terhadap Islam. "Kami berpandangan umat Islam dinegara ini tidak memerlukan perjuangan seperti yang ditunjukkan oleh kumpulan tersebut kerana betapapun kemarahan meluap-luap ia tidak boleh mendakwa memperjuangkan Islam," katanya. 

 Menurutnya lagi, menghalalkan perbuatan batil untuk mencapai matlamat yang sah adalah tertolak sementara melakukan kemudaratan kecil untuk mengundang kemudaratan lebih besar sama sekali tidak boleh diterima. "Kami menggesa supaya perjuangan memperkukuhkan status bangsa dan Islam jangan dicemari oleh perlakuan yang tidak senonoh," katanya. Justeru, kata beliau semua pihak mesti menunjukkan kematangan yang lebih dihormati berdasarkan ilmu dan hujah yang kukuh, bukan dengan cara yang bersifat cabar mencabar serta membakar emosi yang tidak bermanfaat. Menurutnya, menunjukkan sifat ranggi dan samseng bukan cara orang Melayu yang diasuh oleh perjuangan Islam yang tulen. 

 Tegasnya, perjuangan Melayu yang berteraskan nasionalisme cauvinis tidak boleh mewakili perjuangan Islam yang mulia. "Kami menggesa pihak berkuasa tidak memandang ringan intimidasi yang merbahaya dan boleh mencetus ketegangan antara kaum," ujarnya. Beliau menambah, perbuatan seperti yang ditunjukkan oleh pihak berkenaan adalah resepi untuk mencetus keganasan yang tidak boleh dikompromi.

PRK Kajang : BN Bakal Hilang Sokongan Kaum India

Posted: 08 Feb 2014 11:00 PM PST

KUALA LUMPUR: Kedudukan BN atau kerajaan bukan saja dilihat sukar di Kajang, bahkan juga untuk mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya akan datang, tulis Shahbudin Husin. Ini, menurut beliau, ditambah dengan adanya serangan terbuka terhadap Najib daripada dalam Umno sendiri, sokongan rakyat secara keseluruhan tidak bertambah baik, pengundi Cina kekal menolak BN, Pakatan Rakyat makin meningkatkan tekanan menghadapi PRU14, dan kini Hindraf pula memutuskan ikatannya lantaran kecewa kerana janji-janji tidak ditunaikan.

 "Hindraf pula, melakukan tamparan kepada Najib ini bukannya kerana adanya ganjaran terbuka yang ditawarkan oleh Anwar atau Pakatan Rakyat tetapi barang kali dengan berbuat demikian, faedah untuk kaum India sudah boleh dibayangkan untuk diperolehi melalui Selangor yang bakal mendapat ketua kerajaan yang baru selepas ini, sebelum manfaat selebihnya akan dikutip selepas PRU14 nanti," tulisnya di dalam blognya, seperti di bawah.
Sementara ramai tertunggu-tunggu siapakah yang berani menyahut cabaran untuk menampar muka Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok demi untuk mendapatkan ganjaran wang tunai RM1,200 yang ditawarkan oleh sebuah NGO, secara tiba-tiba keluar berita mengenai peletakan jawatan pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Dewan Negara berkuatkuasa 10 Februari ini. Meletak jawatan dalam suasana politik tidak menentu sambil menuduh Najib dan Putrajaya sebagai pemungkir janji, pedihnya lebih memeritkan berbanding tamparan yang singgah di pipi.

Sebagaimana yang dipetik daripada kenyataan Setiausaha Hindraf, P Ramesh bahawa perletakan jawatan itu adalah kerana kegagalan Putrajaya menunaikan janjinya kepada masyarakat India seperti yang dimeterai antara Najib dengan Waytha, beberapa hari sebelum pilihan raya umum lalu.

Dengan adanya perjanjian itu yang didapati menyaksikan beralihnya sebahagian sokongan pengundi India kepada BN sebagaimana yang dibuktikan melalui kemenangan MIC yang lebih baik berbanding pilihan raya 2008 dan juga melalui peti undi di kawasan yang didiami mereka, Waytha kemudian telah dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

 Namun hanya kira-kira lapan bulan berada dalam kerajaan dan menunggu janji-janji kepada kaum India masih seperti menunggu buah yang tak gugur, Hindraf akhirnya memutuskan Waytha perlu "mencampakkan" semua jawatan yang diberikan Najib itu berikutan tiada tanda-tanda ianya akan ditunaikan oleh kerajaan. Menurut Ramesh lagi, pihaknya telah melakukan segala yang boleh, menandatangani perjanjian dengan musuh semata-mata untuk kepentingan masyarakat India serta dengan kepercayaan segala janji yang ditandatangani akan menjadi kenyataan. Malangnya, tambah Ramesh, setelah lapan bulan menanti dan bersabar, Hindraf sudah putus asa dengannya. 

 Di ketika kepimpinan Najib begitu dipertikaikan sebagai lemah, tidak tegas, gagal menunaikan janji, tidak mengutamakan rakyat sebagaimana yang dijanjikan sebelum pilihanraya, melupakan beberapa akujanjinya sendiri serta banyak lagi, peletakan jawatan pemimpin Hindraf itu yang bermakna mereka sudah menarik balik sokongan yang pernah diberi sebelum ini, keadaan ini tentunya merupakan tamparan yang menyakitkan bagi Perdana Menteri. Ditambah dalam suasana BN perlu menghadapi pilihanraya kecil Dun Kajang pada 23 Mac depan, putusnya ikatan kasih antara kerajaan dengan Hindraf ini pastinya juga bakal menyaksikan sebahagian lagi daripada jumlah 10 peratus pengundi India di Dun Kajang tidak akan memberikan undinya kepada BN. 

 Jika
Teresa Kok sedang kerisauan kiranya cabaran menamparnya disambut oleh mana-mana pihak yang pendek akal, lebih-lebih lagi setelah Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa ganjaran yang ditawarkan oleh sebuah NGO mengenainya tidak boleh dikira sebagai ugutan serta tidak perlu disiasat polis, tamparan yang dilakukan oleh Hindraf ini jauh lebih menyakitkan Najib. 

 Dengan adanya serangan terbuka terhadap Najib daripada dalam Umno sendiri, sokongan rakyat secara keseluruhan tidak bertambah baik, pengundi Cina kekal menolak BN, Pakatan Rakyat makin meningkatkan tekanan menghadapi PRU14, dan kini Hindraf pula memutuskan ikatannya lantaran kecewa kerana janji-janji tidak ditunaikan, kedudukan BN atau kerajaan bukan saja dilihat sukar di Kajang, bahkan juga untuk mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya akan datang. Hindraf pula, melakukan tamparan kepada Najib ini bukannya kerana adanya ganjaran terbuka yang ditawarkan oleh Anwar atau Pakatan Rakyat tetapi barang kali dengan berbuat demikian, faedah untuk kaum India sudah boleh dibayangkan untuk diperolehi melalui Selangor yang bakal mendapat ketua kerajaan yang baru selepas ini, sebelum manfaat selebihnya akan dikutip selepas PRU14 nanti.

Salam Takziah Untuk Keluarga Allahyarham Pak Yazid @ Ustaz Yazid Jaafar

Posted: 08 Feb 2014 10:54 PM PST

KUALA LUMPUR: Veteran PAS dan pendakwah terkenal, Yazid Jaafar meninggal dunia pagi ini di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua. Jenazah dibawa ke rumahnya di Kampung Baru untuk disempurnakan. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang selepas solat Zohor. Allahyarham Pak Yazid ialah seorang pesara tentera. Pernah menjawat Yang Dipertua Persatuan Bekas Perajurit Force 136, beliau mengetuai perbarisan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. 


Pak Yazid menyertai PAS pada 1956 dan pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor pada 1970-1974. Pada pilihan raya umum (PRU) 1969, beliau bertanding mewakili PAS di kawasan Parlimen Pekan melawan Tun Abdul Razak Husein daripada Perikatan. Menjadi petugas sepenuh masa Pejabat Agung PAS dari 1964 hingga 1974, beliau juga pernah menjadi guru agama dan pendakwah di Lembah Klang dari dekad 1960 hingga ke akhir hayat. Kediaman beliau di Kampung Baru pernah dijadikan lokasi kuliah mingguan dan menjadi tempat tumpuan popular para pencinta ilmu pada setiap hujung minggu. 

Ceramah agama yang sering diselitkan dengan kisah masyarakat dan unsur humor menjadikan Pak Yazid antara pendakwah terkemuka pada dekad 80-an dan 90-an. Semoga Allah SWT menempatkan roh beliau bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan orang-orang yang Saleh. Al-Fatihah.K

Tiada ulasan:

Catat Ulasan