Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim ketika ditemui pada satu wawancara eksklusif di pejabatnya. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
KUALA LUMPUR - Populariti Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatasi Datuk Seri Najib Tun Razak dari aspek siapa lebih layak jadi perdana menteri kali ini, demikian menurut hasil kajian terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel).

Kajian membabitkan 1,407 responden itu dijalankan bermula hari pembubaran Dewan Rakyat sehingga 20 April lalu, iaitu pada hari penamaan calon.

"Peratusan keseluruhan siapa yang layak menjadi perdana menteri menunjukkan Anwar (dapat) 43 peratus manakala Najib 39 peratus," kata Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Baki adalah mereka yang tidak pasti pendirian.

"Populariti Anwar ini meningkat apabila beliau memulakan siri jelajah ke seluruh negara," ujar beliau.
Menurut hasil kajian itu lagi katanya, 54 peratus daripada pengundi Melayu turut memilih Anwar sebagai perdana menteri manakala 34 peratus pula memilih Najib.

Anwar turut popular di kalangan pengundi kali pertama yang cenderung memilih beliau sebagai perdana menteri.

Berdasarkan hasil kajian yang membabitkan pelbagai latar belakang umur, kaum, pekerjaan dan pendidikan itu di Semenanjung Malaysia, Najib mengungguli aspek pemimpin yang rapat dan mesra pengundi atau rakyat.