Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari

SAYA berasa amat dukacita dan kecewa membaca serangan (bekas Naib Pengerusi DAP) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim ke atas keturunan dan nama baik keluarga saya.

Saya percaya bahawa politik sebegini tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita, dan saya kesal kenyataan ini datangnya daripada seorang yang berkedudukan seperti beliau.

Saya tahu siapa ayah saya, dan bagi saya itu sudah mencukupi.

Saya berbesar hati menyatakan bahawa saya bukan sahaja telah mewarisi darahnya, malah saya harap saya telah juga mewarisi integriti, ketabahan dan prinsip-prinsipnya. Sepertimana sifat-sifat ini telah menjadi panduan kepada kerjaya politiknya yang dihormati ramai, insya-ALLAH ia juga akan menjadi panduan kepada saya.

Arwah ayah saya, Allahyarham Tan Sri Khir Johari tidak pernah sesekali pun mengalah dalam perjuangannya untuk tanah air.

Saya sedar bahawa mereka yang menganiayai saya ingin menghancurkan semangat saya. Namun begitu, sekiranya saya mengalah, saya bukan sahaja akan mengkhianati diri, malah mengkhianati warisan ayah saya.

Ini saya tidak sanggup lakukan sama sekali.

* Zairil Khir Johari, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP