Ketua Istiadat Istana Kelantan Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Datuk Tengku Feissal mengetuai senarai 644 penerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran, bintang, pingat, surat kepujian dan pelantikan Jaksa Pendamai sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V ke-44 hari ini.

Pada istiadat penganugerahan di Istana Balai Besar di Kota Baharu, Dr Tengku Mohamed Faziharudean dianugerah gelaran kebesaran daripada Sultan Muhammad V itu yang membawa gelaran Tengku Kaya Perkasa.

Seramai 34 individu lain dianugerahkan pelbagai darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk, didahului oleh Penasihat Kepada Tengku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Datuk Nik Kamaruddin Ismail yang merupakan penerima tunggal Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK).

Sementara itu Pengurus Besar Tan Chong Motor Group Datuk Nadzam Mohd Din merupakan penerima tunggal untuk anugerah Ahli Yang Kehormat Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) manakala Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Datuk Sri Rodzali Daud merupakan penerima tunggal Ahli Yang Kehormat Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK). Kedua-dua anugerah itu membawa gelaran Datuk.

Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan anugerah Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) yang membawa gelaran Datuk kepada tiga penerima.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Dr Zainuddin Ibrahim dan Captain Airbus A380 Fleet Malaysia Airlines Flight Operations Division Kapten Datuk Zulkifly Zainal Abidin.

Seramai empat orang menerima Ahli Yang Kehormat Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Speaker Kelantan Abdullah Ya'kub dan Exco Kerajaan Kelantan Hanifa Ahmad pula adalah antara enam penerima Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk.

Empat lagi penerima darjah kebesaran itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tawang daripada PAS Hassan Mohamood, Adun Bukit Bunga daripada Barisan Nasional Mohd Adhan Kechik, Akauntan Chua&Chu Chartered Chua Eyu Bee dan Tengku Rozanna Petri Tengku Mohamed Nasrun.

Pengarah Urusan Bandar Kinrara Properties Sdn Bhd Yeo Boon Leong pula adalah penerima tunggal darjah Ahli Yang Kehormat Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk.

Ketua Jabatan Anestesiologi dan Pakar Bius Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Brig Jen Dr Suhaimi Che Mat dan Panglima Kejuruteraan Markas Kejuruteraan Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Pertama Datuk Wan Othman Wan Abdul Rahman dianugerah darjah Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) yang membawa gelaran Datuk.

Pengarah Artileri Markas Tentera Darat Brig Jen Nordin Salleh adalah penerima tunggal bagi darjah Ahli Yang Kehormat Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) yang membawa gelaran Datuk.

Sultan Kelantan turut menganugerahkan darjah Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang juga membawa gelaran Datuk kepada 10 penerima.

Mereka ialah Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood, Duta Besar Malaysia ke Myanmar Dr Ahmad Faisal Muhamad, Pengurus Besar (Operasi Domestik) Lembaga Tabung Haji Ahmad Ruzman Ahmad Razali, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan Arifin Che Mat, Penolong Pengurus Besar Sumber Manusia Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad Mahmud Muhayyidin Mohamed Nawi.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan Mat Rahim Ismail, Pensyarah Diploma Qiraat dan Taranum Jabatan Al-Quran dan Hadis Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra Nik Jaafar Nik Ismail, Pakar Perunding dan Ketua Jabatan Pembedahan Hospital Raja Perempuan Zainab II Dr Nik Mohamad Shukri Nik Yahya, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Dr Siti Norlasiah Ismail dan Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Wan Hashim Wan Jusoh.

Empat penerima dikurniakan darjah Ahli Yang Kehormat Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang membawa gelaran Datuk iaitu Timbalan Akauntan Negara (Operasi) Jabatan Akauntan Negara Hawazain Shaari, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Jamaluddin Abd Majid, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah dan Pengarah JKR Kelantan Ir Syed Abdul Rahman Syed Abdullah.

Seramai 14 orang menerima Ahli Yang Ketiga (Taulan) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (JMK), 10 orang menerima Ahli Yang Ketiga (Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (PKK), 47 individu menerima Ahli Yang Ketiga (Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (PSK), 76 orang menerima Ahli Yang Keempat (Bentara) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (BSK) dan 61 orang menerima Ahli Yang Kelima (Ahli) Bagi Darjah
Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (ASK).

Seorang daripada penerima ASK itu ialah Penyunting di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Santhy Devi A/P Ayadurai.

Bagi penerima Bintang-Bintang pula, seramai 30 orang menerima Bintang Seri Mahkota Kelantan (SMK), 45 orang Bintang Seri Kelantan (SK) dan 90 orang Bintang Ahli Kelantan (AK) manakala 53 orang menerima Pingat Bakti (PB), 83 Pingat Setia Mahkota Kelantan (PS), 48 Pingat Taat (PT) dan 39 Pingat Perangai Baik (PPB).

Tiga lagi menerima Surat Kepujian dan sembilan menerima Jaksa Pendamai.

Pada majlis hari ini seramai 252 menerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran dan Jaksa Pendamai daripada Sultan Muhammad V manakala baki penerima yang lain akan diadakan pada tarikh lain.

Bernama