Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata pemuda itu telah mengalami demam, sakit perut dan sakit kepala.


"Mangsa mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad pada hari yang sama. Setelah dua hari dirawat di wad, pesakit kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) setelah keadaannya bertambah serius," katanya dalam kenyataan semalam.


Beliau berkata kawasan kediaman lelaki itu merupakan kawasan wabak denggi dan hasil pemeriksaan Aedes di sekitar kediamannya, pihaknya menemui pembiakan nyamuk itu di dalam akuarium, bekas polistrine, botol, tayar dan tong.

Susulan itu, katanya dua gotong royong dilakukan di di kawasan berkenaan dengan kerjasama penduduk dan agensi berkenaan untuk memusnahkan tempat-tempat pembiakan Aedes.

Dr Lokman berkata jumlah kematian kes denggi itu meningkat sebanyak 29 kematian berbanding 32 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata sebanyak 1,547 kes demam denggi dilaporkan berlaku dalam tempoh 27 Okt hingga 2 Nov lepas menjadikan jumlah kes demam denggi di seluruh negara dari Januari hingga 3 Nov ialah 29,754 kes.

"Berlaku peningkatan sebanyak 11,486 kes yang dilaporkan atau 63% berbanding 18,268 kes denggi dalam tempoh sama tahun lepas," katanya.

Menurutnya sebanyak 409 lokaliti aktif wabak denggi dipantau di seluruh negara di mana ia merupakan jumlah tertinggi pernah dilaporkan setakat ini.

Sebanyak 327 lokaliti dilaporkan di Selangor, 36 lokaliti di Johor, 15 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, 10 lokaliti di Perak, enam di Pulau Pinang, lima di Negeri Sembilan, empat di Melaka, tiga di Pahang serta masing-masing satu di Kedah, Terengganu dan Sarawak.

Daripada jumlah itu, sebanyak 72 lokaliti tompok panas dilaporkan di Selangor dan Pulau Pinang.

Dr Lokman juga meminta orang ramai menjalankan aktiviti gotong-royong untuk memusnahkan tempat pembiakan Aedes manakala mereka yang tinggal di kawasan pesisir pantai dan sungai dinasihatkan tidak membuang sampah merata-rata bagi mengelakkan kewujudan tempat berpotensi pembiakan Aedes.

"Masyarakat turut dinasihatkan supaya menyembur racun serangga aerosol sekiranya terdapat nyamuk di dalam rumah dan menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik bagi memastikan bekas menyimpan air tidak menjadi tempat pembiakan Aedes," katanya.

- Bernama