Dalam kenyataannya hari ini, beliau mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya membuat potongan itu sebanyak 25 peratus berkuatkuasa serta merta untuk mengelakkan perjalanan yang merugikan kerajaan.

Rafizi turut menggesa kerajaan menghentikan amalan mencetak kad jemputan yang mahal dan dihantar secara pos laju.

Sebaliknya, Rafizi yang pengarah strategi PKR berkata, kaedah penghantaran jemputan rasmi kerajaan itu boleh digantikan melalui email dan laman sosial secara percuma.

"Ketiga-tiga langkah ini boleh menjimatkan jutaan wang rakyat setiap tahun jika dilaksanakan serta-merta.

"Saya menunggu arahan-arahan ini dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak jika benar beliau mengambil berat kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat keputusannya menaikkan harga minyak," katanya.

Berdasarkan jawapan bertulis di Parlimen, perbelanjaan Najib ke luar negara menelan belanja sebanyak RM44 juta dalam tempoh lima tahun.

Rafizi berkata, beliau menunggu pengumuman Najib mengenai langkah penjimatan khusus untuk mengurangkan keborosan kerajaan sekaligus membentang perincian program dan perbelanjaan yang akan dihentikan oleh kerajaan.

"Setiap langkah ini perlulah diperincikan sasaran penjimatan yang akan dicapai dan penjimatannya dilapor di Parlimen setiap 3 bulan, seperti mana organisasi korporat menjalankan program penjimatan kos," katanya.

Rafizi juga mencabar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya mengemukakan usul tergempar membahaskan tindakan BN menaikkan harga minyak dan kesannya jika ikhlas untuk berbahas mengenai permasalahan rakyat.

"Saya menunggu tindakan selanjutnya dari Saudara Khairy Jamaluddin untuk mengemukakan usul di Parlimen untuk membuktikan bahawa tindakan beliau menolak jemputan berdebat bukanlah kerana beliau tidak berani berhadapan dengan suara rakyat.

"Jika tidak ada apa-apa tindakan di pihak beliau, ternyatalah bahawa beliau hanya memberi alasan kerana tidak berani untuk berdebat," katanya.

Malaysiakini/-