Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SEPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpesan agar jemaah Malaysia tidak bimbang berkenaan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sebaliknya menumpukan perhatian terhadap amal ibadat agar dapat melaksanakan segala rukun dan syarat haji serta umrah dengan sempurna.

"Dan juga, sebagai tetamu ALLAH, doa tuan-tuan amat mahal dan mustajab di sisi ALLAH, oleh itu mohon disudikan untuk tuan-tuan mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara, para pemimpin serta rakyat keseluruhannya," katanya dipetik Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelepasan jemaah haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Seramai 400 imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara yang belum pernah mengerjakan ibadat haji diberi peluang menjadi tetamu ALLAH secara percuma melalui program itu kali ini, di mana surat tawaran diserahkan kepada mereka oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos lalu.

Ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama 111 imam dan Pengerusi JKKK menerima tajaan itu tahun lalu.
Pesanan itu memperkuatkan spekulasi bahawa PRU13 kemungkinan besar tidak akan diadakan tahun ini walaupun pemerhati dan penganalisis melihat ia akan dilangsungkan tahun ini.

Kelmarin, Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno membayangkan PRU13 kemungkinan besar hanya akan diadakan tahun depan.

Najib, Pengerusi Barisan Nasional (BN), memberikan nasihat ini ketika spekulasi menyebut bahawa PRU13 akan dipanggil November ini.

Berita penuh klik http://www.sinarharian.com.my/politik/jangan-risau-tarikh-pru-pm-nasihat-jemaah-haji-1.87573