Sidang televideo antara rakyat Malaysia di Beijing dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan diadakan pada 3 petang pada hari pertama Aidilfitri.
  
"Kira-kira 30 daripada kami akan berpeluang berinteraksi dengan Perdana Menteri, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan anggota-anggota Kabinet.
  
"Ini merupakan peluang kepada pegawai, pelajar dan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara untuk berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin di Malaysia," kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin kepada Bernama di Beijing.

Iskandar berkata selepas pada 2010, ini merupakan kali kedua bagi rakyat Malaysia di Beijing berpeluang berkongsi kegembiraan menyambut lebaran menerusi sidang televideo pada Hari Raya ini.
  
Sementara itu, Iskandar akan mengadakan rumah terbuka di kediaman rasmi beliau, Rumah Malaysia di sini pada 26 Ogos dari 7.30 malam hingga 9.30 malam.

"Kita akan jemput pelajar, komuniti Malaysia, diplomat, dan rakan warga China untuk merayakan Hari Raya mengikut cara Malaysia. Juadah istimewa Malaysia akan dihidangkan," katanya.- Bernama