Umat Islam hari ini berhimpun selepas solat Jumaat di seluruh negara untuk mengecam penerbitan filem "Innocence of Muslims" yang didakwa menghina Rasulullah SAW.

pas muktamar 130610 abdul hadi awangDi Masjid Rusila, Marang Terengganu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai kira-kira 500 orang yang meluahkan kemarahan mereka di perkarangan masjid tersebut.

Mereka berhimpun selama 30 minit mulai jam 2 petang yang turut disertai pemimpin PAS negeri, antaranya Ketua Dewan Pemudanya, Mohd Noor Hamzah.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu Muhammad Zaidan Abdullah berkata perhimpunan itu antara lain mendesak penerbit filem tersebut memohon maaf berhubung penyiaran filem tersebut.

"Kita juga mendesak kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini seperti mana yang dilakukan oleh negara-negara lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Muhammad Zaidan juga berkata pihaknya akan mengatur rancangan memberi kefahaman kepada umat Islam berhubung filem yang menghina Rasulullah.

NONESedutan filem tersebut di Youtube, telah mencetuskan bantahan PAS dan Pemuda Umno, yang turut membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Dilaporkan berlaku demonstrasi besar di kedutaan Amerika Syarikat di Mesir oleh penunjuk perasaan yang tidak puas hati dan mereka menurunkan bendera negara itu serta menggantikannya dengan bendera hitam tertulis dua kalimah syahadah.

Lebih buruk lagi, agensi media antarabangsa melaporkan, kemarahan itu juga menyebabkan duta Amerika Syarikat di Libya Chris Stevens terbunuh pada Selasa malam akibat serangan di Benghazi.

Sementara itu, di Masjid Amaniah, Gombak Selangor, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil mengetuai ratusan umat Islam berhimpun mengutuk penerbit dan pengarah filem tersebut.

NONEMereka yang berhimpun selama setengah jam selepas menunaikan solat Jumaat, turut mendesak kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam filem tersebut.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan mengadakan perhimpunan yang lebih besar di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat dan menghantar memorandum bantahan jika tiada tindakan dibuat.

Sementara itu, The Star Online melaporkan kira-kira 30 penyokong Gabungan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) berhimpun di luar kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara hari ini membantah sedutan video klip daripada filem tersebut.

Mereka juga menyerahkan memorandum mendesak pihak berkuasa Amerika Syarikat mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menerbit dan mengedarkan video klip itu.

Mereka juga mendesak kerajaan Amerika Syarikat memohon maaf kepada umat Islam di seluruh dunia.